BUKAN sahaja tampil dengan jalan cerita dan barisan pelakon hebat, tetapi filem Juang yang bakal menemui penonton tidak lama lagi turut menyaksikan pembabitan penyanyi legenda tanah air, Datuk Sheila Majid mendendangkan lagu temanya, Wira Hatiku.

Lagu ciptaan sepenuhnya oleh Rynn Lim ini merupakan sebuah dedikasi khas buat semua pejuang yang telah berkorban dalam setiap keperitan menentang virus Covid-19.

Pembabitan Sheila meminjamkan suara emasnya dalam projek ini adalah sebuah pengiktirafan bukan sahaja untuk produksi Juang, tetapi juga menghargai barisan petugas hadapan yang banyak melakukan pengorbanan untuk masyarakat dan negara.

Sheila menyifatkan Wira Hatiku sebagai sebuah lagu yang ‘cantik’ untuk didendangkan.

“Saya selalu ingin melakukan sesuatu untuk frontliners, sesuatu yang sangat bermakna buat mereka.

“Jadi untuk terlibat menjayakan projek mega ini secara langsung, mendendangkan lagu Wira Hatiku adalah sebuah penghormatan yang cukup besar terhadap setiap pengorbanan yang telah mereka lakukan kepada kita semua,” ujarnya.

Menariknya, Wira Hatiku turut didukung pasukan pemuzik profesional yang tidak mahu terlepas momen bergabung dalam sebuah projek bersejarah itu.

Mereka adalah pemuzik orkestra daripada Orkestra Filharmonik Malaysia atau Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) yang memberikan persembahan penuh penghormatan, selain dikuatkan dengan susunan muzik daripada Mac Chew.

Iklan

Ketua Bahagian Pembangunan Bakat Malaysian Philharmonic Orchestra, Ahmad Muriz Che Rose mengakui teruja kerana diberi penghormatan untuk terlibat dengan projek yang disifatkannya sebagai epik itu.

“Peluang yang diberi oleh pihak produksi untuk kolaborasi bersama Datuk Sheila Majid dan karya epik sebagai tribute untuk frontliners kita ini adalah sebuah kerjasama yang baik dan kami amat menghargainya,” katanya.

Iklan

Sementara itu, muzik video Wira Hatiku yang dirakam di dalam Dewan Filharmonik dengan adegan meruntun jiwa berjaya melahirkan rasa patriotisme buat mereka yang menonton.

Filem Juang yang dibintangi Zizan Razak, Janna Nick, Izzue Islam, Sangeeta Krishnasamy, Zul Ariffin dan lain-lain itu bakal menemui penonton pada 8 September depan.