PELAKON, penyanyi dan pengacara, Zizan Razak berpendapat, penonton di Malaysia tidak sepatutnya dipersalahkan seandainya mereka mempunyai pandangan skeptikal mengenai sesebuah karya, waima hanya melihat menerusi poster naskhah itu sahaja.

Ujar Zizan atau nama sebenarnya Muhammad Razizan Abdul Razak setiap orang memiliki pendapat mereka tersendiri.

“Kita tidak boleh salahkan mereka sebab semua orang ada cita rasa mereka sendiri. Karya ini macam makanan, kalau tak sedap, orang tak suka dan takkan kita nak paksa orang makan pula.

“Kalau sedap, orang akan cari dan bila mereka suka, mereka sendiri yang akan ulang. Begitu jugalah dengan filem atau karya tempatan.

“Semuanya berbalik pada kualiti. Bila kita persembahkan kualiti yang baik, orang tentu akan suka,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media kerjasama Astro dan Netflix pada Selasa di PJPAC Bandar Utama pada Selasa.

Tambah selebriti berusia 37 tahun itu, penggiat seni sepatutnya perlu mengkaji apa kekurangan atau kelemahan karya mereka dan bagaimana untuk menambah baik pada masa akan datang.

Katanya, pembikin filem atau drama bersiri tidak sepatutnya terlalu melihat jauh ke depan untuk menyaingi karya Hollywood contohnya, kerana karya tempatan juga mampu menyerlah di peringkat antarabangsa jika kena dengan acuannya.

“Kita lihat bagaimana siri Squid Game yang mengangkat beberapa permainan tempatan mereka dan mendapat sambutan hangat di seluruh dunia.

“Lihat filem-filem Thailand yang penuh dengan budaya mereka, cemerlang di peringkat antarabangsa dan banyak negara lain lagi. Mereka membawa budaya, makanan dalam karya mereka dan ia berjaya mempengaruhi ramai orang.

“Sebenarnya kita juga ada budaya, permainan tradisional dan makanan yang bila dicuba oleh orang luar, mereka pun suka. Tetapi kita belum cuba untuk gabungkan ia di skrin.

“Sebab itu kita perlu kaji dan belajar lagi apa yang perlu kita perbaiki,” jelasnya.

Iklan

Akui selektif

Ditanya adakah dia lebih selektif dalam berkarya, anak kelahiran Du­ngun, Terengganu itu tidak menafikannya.

Bagaimanapun akui Zizan, ada antara karya yang dipersetujui dibuat atas dasar simpati dan persahabatan.

“Saya akui saya agak memilih juga. Tetapi kadang-kadang saya terfikir tentang orang lain. Ada antara produksi yang dari awal sudah meletak nama saya dalam skrip atau sudah lama berhasrat untuk bekerja dengan saya.

Iklan

“Jadi sukar saya tolak sebab semuanya berbalik pada rezeki dan saya juga membantu orang lain seperti kru belakang tabir bekerja.

“Biasanya kalau saya tolak disebabkan saya pernah bawa watak sama atau watak itu kurang relevan dengan penonton masa kini,” jelasnya.

FOTO IHSAN : ASTRO