NAMA dan kelibat jejaka ini di dalam industri seni barangkali tidak perlu diperkenalkan lagi.

Mula menyertai industri seni seawal usia 14 tahun menerusi filem Mukhsin, nama Syafie Naswip terus bersinar apabila sentiasa tampil dengan lakonan mantap dalam setiap karyanya.

Bahkan bakat lakonannya itu sudah mendapat pengiktirafan dalam tempoh setahun penglibatannya apabila dipilih sebagai pemenang Pelakon Kanak-Kanak Terbaik di Festival Filem Malaysia ke–20 dan seterusnya Pelakon Lelaki Terbaik di Anugerah Skrin ke–11 pada tahun 2007.

Biarpun sudah hampir 15 tahun berkecimpung dalam dunia seni dengan pelbagai pengiktirafan yang diterima, pemilik nama penuh Mohd Shafie Naswip mengakui belum mencapai kepuasan dalam berkarya.

Menurut jejak berusia 28 tahun itu, masih banyak watak-watak yang ingin dicuba dan diteroka.

“Kadangkala bila saya tonton karya-karya di Netflix contohnya, timbul rasa cemburu. Saya rasa masih banyak lagi watak yang saya ingin jayakan tapi peluang itu belum tiba.

“Sejujurnya saya impikan karakter yang lebih besar ataupun watak itu ditulis khas untuk saya seperti watak Natalie Portman dalam Black Swan, watak untuk Leonardo DiCaprio dalam Titanic.

“Walaupun saya pernah dapat sebuah naskhah masterpiece macam Mukhsin, tapi saya mahu yang lebih besar lagi. Masih rasa watak-watak yang dijayakan belum mencukupi atau mencapai kepuasan.

“Saya tak kisah watak itu jahat atau baik, apa yang penting bila orang menonton, orang akan ingat sampai bila-bila,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Gila Gusti di APAC Wrestling, Kota Damansara, pada Khamis.

Syafie dikenali sebagai pelakon versatil yang sentiasa tampil dengan lakonan mantap.

Dalam pada itu, ditanya harapan dan misinya untuk tahun 2021, Syafie berkata, dia terpaksa membawa banyak hasrat yang tidak tercapai pada 2019 ke 2021, setelah misi itu gagal dilaksanakan pada tahun ini.

“Banyak niat saya pada 2019 tak tercapai, jadi saya bawa ke tahun ini. Namun sebab tak tercapai juga, terpaksalah bawa ke tahun lepas.

“Niatnya nak dimurahkan rezeki, kumpul duit untuk mulakan perniagaan dan dapat karakter yang lebih baik.

“Soal kahwin tidak menjadi keutamaan saya setakat ini. Kalau ada jodoh, adalah. Buat masa ini calon pun tak ada. Kalau ada saya beritahu, saya tak pandai menipu.

“Kalau tak ada kekasih sekarang pun saya tak kisah sebab boleh fokus pada ibu bapa dan diri sendiri,” jelasnya yang sudah memulakan perniagaan berasaskan makanan seperti sambal, kek dan roti bagi mengisi masa lapang sepanjang tempoh kawalan pergerakan baru-baru ini.

Gila Gusti

Iklan

Sementara itu, berkongsi penglibatannya dalam Gila Gusti, Syafie berkata, dia bakal menjayakan watak sebagai Mamat.

Bagaimanapun dia tidak dapat berkongsi lanjut mengenai wataknya kali ini kerana belum mendapat penerangan lanjut daripada pihak produksi.

“Ikutkan saya baharu sahaja menerima tawaran ini akhir November lalu dan penggambaran akan bermula selepas Krismas nanti.

“Walaupun masa agak suntuk, tetapi saya tertarik untuk membintangi filem ini kerana kelainan watak yang akan saya bawakan.

“Lagipun filem ini lebih kepada aksi dan selalunya watak yang ditawarkan kepada saya lebih kepada emosi. Penat juga kalau asyik bawa watak yang memerlukan permainan emosi. Jadi kita cuba sesuatu yang berbeza pula,” katanya.

Iklan
Syafie bersama barisan pelakon, pengarah (tiga dari kiri) dan penerbit (dua dari kanan) Gila Gusti.

Tambah Syafie, sebagai persediaan awal, dia membuat latihan seperti kardio dan memastikan dirinya kelihatan fit sebelum memulakan penggambaran.

Selain itu, anak jati Kuala Lumpur ini menonton filem-filem aksi mempertahankan diri luar negara sebagai rujukan.

“Bila cakap pasal filem aksi, orang mesti bayangkan pelakon itu berbadan sado (kekar), tetapi saya nak lari daripada pandangan skeptikal itu dan tampil dengan badan yang biasa.

“Bagaimanapun dalam masa sama, saya buat kardio dan pastikan badan nampak fit, bersesuaian dengan karakter saya yang mungkin akan menjayakan babak gusti nanti,” ujarnya.

Selain Gila Gusti, dua lagi filem lakonan Syafie iaitu Sumpahan Jerunei bersama Uqasha Senrose dan Kenderaan Berat Ikut Kiri bergandingan bersama Sweet Qismina masih menunggu tarikh tayangan.