Terbuka terima kritikan, Hawa Rizwana pilih bersabar dan berfikiran positif

A
A
A

KEMUNCULAN pengacara Hawa Rizwana Ahmad Redzuan dalam industri penyiaran sekitar tahun 2017 telah mencuri perhatian khalayak apabila dikatakan memiliki raut wajah persis selebriti tersohor, Neelofa.

Mungkin yang membezakan mereka cuma posisi kedudukan tahi lalat pada muka masing-masing. Biarpun pelbagai 'analisis' yang dilakukan netizen, Hawa Rizwana atau senang disapa sebagai Hawa tetap berdiri kukuh dengan kemahiran dan kemampuannya sendiri.

Tambahan, tuan punya badan juga memiliki penampilan dan personaliti berwibawa tatkala melaksanakan tugas sebagai pengacara dan pembaca berita.

 

Baca juga:Sherry Alhadad tidak gentar lagi meskipun pernah menjadi mangsa buli

Baca juga:Membeli-belah bantu Fatin lepaskan diri daripada fikiran negatif

 

Populariti yang dikecapi beliau sudah pastinya membuatkan anak dara kepada Prof Datuk Dr Ahmad Redzuan Abdul Rahman menjadi tumpuan lebih-lebih apabila muncul di kaca televisyen.

Berkesempatan bersembang dengannya baru-baru ini, SinarPlus bertanyakan tentang Ramadannya dan apakah pilihan gayanya pada Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi termasuk hal-hal lain. Ikuti wawancara bersamanya baru-baru ini.

SINARPLUS (SP): Sebelum itu, bagaimanakah rutin harian Hawa sepanjang bulan Ramadan kali ini?

HAWA: Saya bekerja seperti biasa. Mengacara program, membaca berita dan kini turut menjadi penyampai radio. Jadi, boleh dikatakan sepanjang Ramadan, jadual kerja saya agak padat apabila perlu ke udara bermula seawal jam 6 pagi.

Jika terpaksa berbuka di pejabat, saya hanya menjamah sedikit makanan sebelum membaca berita pukul 8 malam. Setelah selesai, baru saya sambung makan di rumah. Sekiranya berkelapangan, saya akan ke bazar Ramadan sekali-sekala.

Kuih tepung pelita antara makanan yang menjadi kegemaran Hawa.

Kebiasaannya, saya gemar membeli bihun sup dan kuih tepung pelita. Kedua-dua menu itu memang wajib ada. Kalau juadah berbuka, selalunya ibu sudah sediakan di rumah, cukup untuk kami empat beranak, ayah, saya dan adik.

SP: Sebagai seorang yang dikenali, adakah Hawa mementingkan penampilan lebih-lebih lagi ketika berhari raya?

HAWA: Sejujurnya saya bukanlah seorang yang pandai berdandan (ketawa). Saya suka imej santai seperti memakai jeans dan sneakers lebih-lebih lagi ketika awal-awal menjadi wartawan penyiaran. Semakin dewasa dan lebih banyak menimba pengalaman, saya sedar akan pentingnya menjaga penampilan agar lebih berketerampilan. Pada saya, apa yang kita pakai juga mempengaruhi keyakinan lebih-lebih lagi ketika berurusan dengan orang lain.

Bercakap tentang hari raya pula, saya bersederhana.Saya hanya menyediakan satu atau dua pasang baju kurung sahaja dan selalunya mendapat tajaan. Setiap tahun, saya akan bekerja pada hari raya pertama dan membiarkan mereka yang lain pulang ke kampung terutama yang sudah berkeluarga.

SP: Bolehkah kongsikan pengalaman hari raya Hawa sebelum ini?

HAWA: Lazimnya, selepas beberapa hari, saya sekeluarga akan pulang ke kampung di Langkawi, Kedah. Setiap kali beraya di kampung, kebanyakan kedai memang tutup. Jadi, pada kesempatan itu, saya banyak habiskan masa menziarahi rumah sanak saudara.

SP:Secara peribadi, bagaimanakah Hawa menjaga fizikal dan kesihatan diri?

HAWA: Pada saya, kesihatan mental dan rohani perlu dijaga kerana semuanya bermula dari dalam. Kemudian, barulah diteruskan kepada pengambilan makanan dan amalan hidup yang sihat.

SP: Apa yang Hawa lakukan untuk membentuk keyakinan diri saat berdepan dengan kritikan khalayak?

HAWA: Sejujurnya saya tidak sangka khalayak menyedari kehadiran saya dalam dunia penyiaran. Awalnya, saya memang agak terasa apabila dikatakan tidak cukup baik dan pastinya ia satu perkara yang mengecewakan. Namun, saya tetap terus memperbaiki diri dan menerima teguran dengan hati terbuka.

Sekiranya hanya seorang yang mengatakan saya tidak bagus, manakala lain tidak, itu mungkin individu terbabit mempunyai masalah peribadi. Namun, jika ramai yang berkata, bermakna ada yang perlu saya perbetulkan. Paling penting, kita sentiasa mempunyai semangat untuk mempelajari perkara baharu dan tidak mudah mengalah.

Tambahan, menjadi individu yang dikenali masyarakat pastinya membuatkan mereka akan sering dinilai, tetapi paling penting sabar dan berfikiran positif.

SP: Apakah perkara yang perlu ada untuk menjadi seorang pengacara?

HAWA: Peka kepada keadaan sekeliling termasuk situasi yang berlaku. Kadangkala kita tidak boleh jangka apa yang akan terjadi lebih-lebih lagi apabila mengendalikan rancangan siaran langsung. Sebaiknya, cuba kawal perasaan dengan baik dan kekal bertenang.

Kerjasama dengan rakan sekerja penting agar dapat mengatasi sesuatu perkara dengan baik seperti apa yang pernah terjadi sekitar Mac lalu ketika Roslan Shah secara tiba-tiba pengsan ketika hadir ke rancangan Wanita Hari Ini.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca