AKTIF dengan kerja-kerja amal dan kebajikan, pengacara Datuk Aznil Hj Nawawi sekali lagi menunjukkan keprihatinannya dengan membantu anak-anak tahfiz di Maahad Tahfizul Al-Quran Anawiyah, Cheras, Kuala Lumpur.

Pusat tahfiz tersebut dalam keadaan serba kekurangan dan memerlukan bantuan kewangan untuk membaiki dan membaik-pulih kemudahan sedia ada.

Aznil atau lebih mesra disapa sebagai Paknil mengggerakan usaha untuk membantu dan mengajak para pengikut laman Instagramnya menderma ke pusat tahfiz berkenaan.

“Saya juga nak kejar saham akhirat. Dalam masa sama, saya juga nak ajak semua ke arah sama. Ini antara cara saya nak membantu apa adanya.

“Alhamdulilah, ada ramai yang bermurah hati mengurangkan beban sekali gus membantu pihak pusat tahfiz ini memperbaiki apa yang kurang.

“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan lalu mereka terus diuji. Banyak sudut di pusat tahfiz itu rosak. Ada yang dimakan anai anai. Malah bumbung tempat mereka berteduh pun bocor hingga dimasuki air hujan.

“Malah masih tinggi lagi tanggungan yang pusat tahfiz ini perlu demi meneruskan operasi. Sekurang kurangnya dengan bantuan yang menderma dapat mengurangkan masalah ditanggung,” ujar Aznil.

Hasil derma dan usaha bersama peminat dan orang ramai itu, sejumlah RM31,000 berjaya dikumpul untuk disalurkan ke pusat tahfiz berkenaan.

Menurut Aznil lagi, bapa kepada salah seorang pelajar di pusat tahfiz tersebut  kebetulannya ada kemahiran bertukang dan dia melakukan kerja membaik pulih pondok tahfiz itu tanpa mengambil upah.

“Derma yang dikumpul itu sebahagiannya dapat digunakan untuk membayar kos barangan yang dibeli.

“Kalau ada yang mahu terus menderma, boleh ke Instagram saya @aznilnawawihm,” katanya yang baru sahaj tampil dengan single berjudul Apo.

Berkongsi lebih lanjut, Aznil berkata, dia mula mengetahui tentang pusat tahfiz yang menampung seramai 30 orang pelajar itu, kira-kira tiga tahun lalu selepas diperkenalkan oleh pengurusnya.

Iklan

“Saya pernah menganjurkan majlis khatam al-Quran untuk anak tahfiz di situ sebelum ini.

“Dalam hati pernah juga terdetik nak jadikan beberapa orang daripada anak tahfiz itu sebagai anak angkat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Aznil yang terkenal dengan sikap pemurah turut menganjurkan Class Of Infuencer secara percuma di Shah Alam, Sabtu lalu.

Bengkel perkongsian ilmu mengenai kepentingan kuasa vokal dalam dunia digital itu membabitkan 16 influencer popular.

Iklan

“Bengkel ini seiring dengan peranan saya sebagai duta produk kesihatan Eskayvie tetapi peranan saya tidak terhad kepada hal kesihatan semata-mata.

“Pada masa sama juga mahu memberikan satu tanggungjawab sosial kepada masyarakat.

“Biarpun dulu saya tidak berguru dengan sesiapa pun untuk berada pada tahap sekarang, ia bukan alasan untuk saya tidak berkongsinya dengan orang lain.

“Pada tahap sekarang, ada hal tertentu tidak membabitkan ganjaran wang. Saya percaya dengan banyak memberi, ada saja rezeki lain akan masuk, insya-ALLAH,” katanya.