PENYANYI legenda Datuk Jamal Abdillah menegaskan tidak pernah bersikap pilih kasih terhadap anak-anaknya dan sentiasa memberikan layanan dan kasih sayang sama rata.

Menafikan anggapan sesetengah pihak yang mengatakan hubungannya dengan anak kedua, Zaki Yamani renggang disebabkan perkara tersebut, Jamal, 63, berkata, biarpun tidak tinggal bersama, dia sentiasa menjalankan tugasnya sebagai bapa.

“Hubungan kami kembali jernih. Saya juga baru sahaja menjalani rakaman bersama Zaki untuk satu program realiti TV, Ceria Popstar Xtra yang disertainya. Selepas menyanyi, dia terus hubungi dan saya memberikan sokongan penuh kepadanya.

“Secara jujurnya saya tidak pernah membezakan kasih sayang anak-anak, semuanya sama rata. Saya juga telah menyediakan rumah seorang satu untuk anak-anak.

”Jadi tiada isu pilih kasih di sini. Insya-ALLAH bila saya tiada suatu hari nanti, semuanya dah ada rumah,” ujarnya kepada SinarPlus.

Jamal yang ditemui pada sidang media Konsert Tribute Seniman Negara, Datuk Seri Ahmad Nawab di Istana Budaya, Kuala Lumpur, pada Khamis bagaimanapun berharap agar isu tersebut tidak lagi dipanjangkan.

Penyanyi yang sinonim dengan gelaran Raja Pop itu juga tidak mahu mengeruhkan keadaan dan mencetuskan perbalahan dengan ibu Zaki yang juga merupakan bekas isterinya disebabkan perkara tersebut.

“Saya serah pada ALLAH sahaja. Saya tak boleh buat apa kerana kuasa lebih kepada ibunya.

Iklan

“Saya tidak mahu bergaduh, nanti anak pula yang susah. Jadi saya serahkan pada bekas isteri untuk uruskan. Sekiranya Zaki mahu tinggal bersama saya pun, saya memang okey,” jelasnya.

Kontroversi hubungan Jamal dan Zaki mula diperkatakan apabila anak keduanya itu meluahkan rasa rindu untuk selepas enam tahun tidak dapat beraya dengan bapanya.

Sementara Jamal pula mendakwa dihalang bertemu dengan anaknya selepas berpisah dengan bekas isteri, Fatimatuzahra Samad.

Iklan

Selain Zaki, Jamal turut mempunyai anak lelaki, Osama Yamani hasil perkahwinan dengan Intan Noraina Mohd Yusof.

Semnetara perkahwinan terkini bersama Zai Izzati Khiruddin pula, Jamal dikurniakan tiga anak iaitu Nur Azura Yamani, 3, El Isaac Yamani, 2, dan Iskandar Rayyan Yamani yang berusia empat bulan.