MANIS bijak, ramah dan senang didekati. Itu antara gambaran yang sering diberikan tentang personaliti Adriana Adnan, pengacara yang cukup sinonim dengan program hLive yang kini semakin rancak mengatur langkah dalam bidang lakonan.

Kepetahan berbicara dan keyakinan beliau saat berada di depan lensa kamera menjadikan Adriana antara selebriti televisyen (TV) yang mempunyai pengikutnya tersendiri.

Malah pesona yang dimilikinya juga turut membuka peluang wanita berusia 27 tahun ini mengembangkan bakat beliau dalam bidang lakonan pula.

Ungkap Adriana, meskipun pengacaraan adalah keutamaan, minat dalam bidang lakonan semakin mekar setelah pertama kali berlakon drama arahan Michael Ang, Suri Hati Mr Pilot pada 2016.

“Alhamdulillah selepas berlakon drama Suri Hati Mr Pilot, ramai yang mula nampak bakat saya dalam lakonan. Banyak tawaran yang diterima.

“Bagaimanapun ketika itu saya terikat dengan komitmen kerja sebagai wartawan penyiaran dan pengacara program hLive di Astro. Jadi saya perlu utamakan tugas hakiki dan mengetepikan seketika tawaran berlakon.

“Namun selepas pandemik Covid-19 melanda, jadual kerja sudah berubah dan saya mempunyai masa untuk kembali mengintai peluang dalam bidang lakonan,” ujarnya.

Meski sudah mempunyai nama dan pengaruh dalam industri, sekali gus memberi laluan mudah kepada anak sulung daripada tiga beradik itu untuk mendapat pelbagai peluang, beliau bagaimanapun memilih sebaliknya dengan menghadiri pelbagai sesi uji bakat.

Berkat usaha itu, Adriana baru-baru ini berjaya tampil sebagai teraju utama drama bersiri Seribu Nina yang ditayangkan di saluran penstriman Viu.

“Bila dengar ada casting untuk Seribu Nina, saya pergi untuk cuba nasib. Pada awalnya dapat untuk watak lain, tetapi apabila berada di sana untuk fitting baju, pengarah minta saya casting untuk watak Nina pula, iaitu watak utama.

“Akhirnya saya diterima untuk watak yang mempunyai lapan karakter berbeza itu. Terkejut tapi dalam masa sama bersyukur dapat peluang sebegitu besar,” ujarnya.

Tambah Adriana, sesi uji bakat bagus untuk seseorang pelakon menunjukkan bakat yang mereka ada.

“Saya faham kalau ada sesetengah pelakon yang sudah ada nama tidak mahu pergi casting. Bukan sebab mereka berlagak, tetapi mungkin rasa risau tak diterima dan akan buat mereka hilang semangat.

“Namun bagi saya, sesi tersebut adalah platform untuk orang nampak bakat kita. Kalau tak diterima untuk watak hari itu, siapa tahu mereka menawarkan watak untuk projek lain.

Iklan

“Sebab itulah saya tidak kisah pergi casting kerana banyak pengalaman dapat dari situ dan kita tidak tahu akan dapat rezeki yang macam mana,” katanya.

Selain Seribu Nina, bintang sedang meningkat naik itu juga bakal tampil dengan telefilem Orang Gaji ke-19 di TV Okey dan drama Suri Hati untuk siaran TV3 tidak lama lagi.

Restu suami

Meski sibuk di lokasi penggambaran, beliau yang juga merupakan anak kepada pengacara dan penyampai berita RTM, Zamzarina Zambri, bagaimanapun menegaskan untuk tidak meninggalkan bidang pengacaraan.

“Pengacaraan adalah cinta pertama saya. Diam tak diam, saya juga sudah tujuh tahun bersama hLive, selain aktif sebagai pengacara majlis untuk pelbagai acara.

“Kedua-dua bidang ini akan berjalan seiring. Cuma mungkin saya kena bahagikan masa dan menyusun jadual kerja dengan baik,” katanya.

Iklan

Dalam pada itu, Adriana mengakui mendapat restu sepenuhnya daripada suami, Harez Hazim Hazrin untuk terus ‘terbang tinggi’ dalam kerja seni beliau.

“Suami sangat memahami dan sentiasa menyokong apa yang saya lakukan. Malah, kami berdua juga sibuk membina kerjaya masing-masing ke tahap terbaik. Apa yang penting, kita tidak abaikan antara satau sama lain.

“Mungkin ada yang tertanya status rumah tangga saya apabila jarang berkongsi foto bersama suami di media sosial. Sebenarnya suami seorang yang tidak begitu aktif di media sosial.

“Jadi saya lebih banyak menggunakan media sosial untuk berkongsi tentang kerjaya dan aktiviti bersama rakan-rakan sahaja. Hanya sesekali berkongsi foto berdua dan itu sudah memadai,” tegasnya.

(FOTO: Instagram Adriana Adnan)