“BUAT sementara ini, permintaan adik beradik nak jumpa mak dan ayah, tahan dulu mereka…”

Begitulah perkongsian video daripada pengacara terkenal, Paknil atau nama sebenarnya, Datuk Aznil Nawawi, di Instagram miliknya.

Menerusi video itu, Paknil menyeru orang ramai bersama-sama lindungi warga emas semasa Covid-19 yang sedang mengganas semula di negara kita ini.

Ujarnya, usaha adalah bermula daripada kita sendiri. Jika susah nak tegur dan buat orang lain faham, boleh bertindak kirim sahaja video tersebut kepada grup famili.

Paknil turut berkongsi kisah bagaimana menjaga ibunya suatu ketika lalu yang mana sama seperti SOP Covid-19 ketika ini juga.

Katanya, ibu tercinta dijemput Ilahi pada Jun 2016.

“Kami adik-beradik berpakat menjaga mak… kami tidak merasa ralat kerana kami menjaga mak dengan sebaik-baiknya.

“Ketika menjaga ibu yang sedang sakit, kami akan pastikan badan sihat, tidak selsema dan batuk untuk masuk ke bilik mak. Sebab kami tak nak terdedah kepada sebarang penyakit pada usia dan keadaan mak ketika itu.

Artikel berkaitan: K-Clique teruja tercalon di Anugerah Muzik Eropah MTV 2020

Tambah Paknil, ketika itu keadaan jerebu panas, cuaca tak menentu, beliau sekeluarga tidak berani ambil risiko.

“Kami tahu ada adik beradik mak dan saudara yang datang melawat mak terasa hati kerana tindakan kami demi menjaga kesihatan mak.

“Kami tak mahu mak dijangkiti dengan sebarang penyakit walau sekecil selsema pun kerana keadaan mak ketika itu tak boleh dijangkiti.

Tambah Paknil, apabila Covid-19 melanda dan Kementerian Kesihatan (KKM) menyarankan kepada warga emas terutama yang mempunyai penyakit kronik tidak didedahkan, dia terus teringat apa yang dilakukan pada ibunya dahulu itu merupakan tindakan yang betul.

Iklan

“Kami dah amalkan #kitajagakita dari dulu. Saya minta sangat kepada anak-anak yang tinggal bersama ibu ayah, tolonglah kawal diri.

“Kalau balik dari luar, bersihkan diri dahulu baru dekati mereka. Yang jauh, jika tak perlu balik kampung, jangan balik dulu.

“Walaupun kerajaan umumkan sekolah ditutup dan kerja dari rumah, berpakatlah adik-beradik supaya mak ayah yang tua jauh daripada risiko,” pesannya.

Sementara itu, KKM sebelum ini telah mengeluarkan senarai golongan paling berisiko tinggi iaitu warga emas, wanita mengandung, pesakit kronik dan pesakit imuniti rendah (kanser, HIV).

Selain itu, menurut Jabatan Penerangan, ini tindakan yang boleh dilakukan oleh anak atau penjaga yang tinggal berjauhan, pastikan;

Iklan
  1. Barangan keperluan harian mereka mencukupi
  2. Bekalan ubatan mencukupi dan patuhi temujanji rawatan
  3. Kekal berhubung walaupun berjauhan
  4. Memberi sokongan psikologi
  5. Mendapatkan rawatan segera jika sakit

Bersama-sama kita putuskan rantaian jangkitan Covid-19. Jangan lupa amalkan penjarakan sosial dan sentiasa pakai pelitup muka.