Biskut sampan isi membukit. Kuih raya nostalgia orang dulu-dulu!

No Image Caption
A
A
A

IMBAU kembali zaman beraya ke rumah jiran tetangga sekitar tahun 70 hingga 90-an, ada satu menu biskut yang ditunggu-tunggu untuk dijamah.

Lain tidak bukan adalah biskut sampan.

Siapa sangka, biskut sampan yang sangat terkenal pada masa dahulu kini kembali tular dan menjadi sebutan orang ramai beberapa tahun kebelakangan ini.

Ia sekali gus membuatkan generasi lama mengimbau kenangan Aidilfitri zaman lampau.

Biskut ikonik itu berbentuk seakan-akan sampan dan terdapat inti di atasnya.

Mewarisi resipi daripada arwah ibu, siapa sangka perkongsian lelaki ini tentang biskut sampan menjadi pencetus populariti makanan warisan Melayu ke tanah Indonesia.

Menurut Nasrullah Mohd Redzuan, orang luar tertarik dengan biskut tersebut kerana reka bentuknya yang unik dan tidak pernah dilihat sebelum ini.

Jika dahulu, inti asalnya terdiri daripada serbuk kelapa parut kering dan ceri, namun kini seiring dengan pemodenan zaman resipinya sudah diolah dari segi bahannya.

Oleh sebab itu, video beliau yang dimuat naik pada Ramadan lalu kembali tular sejak Januari.

“Kini, ramai yang ubah suai resipinya dengan menambah ekstra ramuan seperti nestum, cornflakes dan bahan lain.

“Malah, orang zaman dahulu hanya menggunakan marjerin saja, mereka tidak guna mentega macam kita sekarang,“ kata beliau kepada SinarPlus.

No Image Caption

Tambah lelaki berusia 35 tahun itu, hanya beliau seorang sahaja dalam lima adik-beradiknya yang mewarisi ilmu membuat kuih raya berkenaan daripada arwah ibu.

Cerita Nasrullah, beliau sudah terbiasa membantu ibu menyiapkan tempahan biskut raya orang ramai sejak zaman sekolah lagi.

“Sebenarnya saya hanya buat untuk makan sendiri saja, tidak mengambil sebarang tempahan walaupun ramai yang pujuk.

“Ini kerana saya hanya buat biskut ini seorang diri saja dan tiada pembantu.

“Setiap tahun saya akan buat paling kurang 20 jenis biskut raya. Resipinya terdiri daripada koleksi arwah ibu dan ciptaan sendiri.

“Dulu, arwah ibu saya akan buat lebih kurang 15 jenis biskut dan selebihnya air tangan saya sendiri.Kami akan berlumba-lumba buat kuih.

“Bila dia sudah tiada, saya teruskan tradisi membuat biskut untuk dapatkan mood dan semangat dia dulu,“ imbaunya yang juga merupakan seorang tenaga pengajar dalam bidang seni reka fesyen di Institut Kemahiran Tinggi Perda, Pulau Pinang.

No Image Caption

Ketika diajukan tentang perancangan akan datang, akui anak jati Alor Setar itu, beliau masih mencari kekuatan dan masa yang sesuai untuk mulakan perniagaan seperti arwah ibunya.

Malah, keluarganya juga beri sokongan penuh sekiranya beliau mahu melibatkan diri ke dunia perniagaan.

“Kalau ikut perancangan, insya-ALLAH saya memang nak ambil tempahan atau serius dalam bisnes kuih raya. Saya juga mahu ada kedai sendiri dan fokus pada pembuatan kuih raya.

“Selain tu, saya ada niat nak berkongsi ilmu, mungkin dengan buat kelas atau tulis buku resipi arwah ibu.

“Cuma, saya mungkin tunggu masa yang sesuai untuk merealisasikan,“ ujar Nasrullah menutup kata.

No Image Caption

Resipi Biskut Sampan Legend

Bahan doh sampan:

250 Gram pure butter

100 Gram gula icing

1 Biji telur M

1 Sudu teh esen vanila

30 Gram susu tepung

500 Gram tepung gandum diayak

Bahan inti:

120 Gram pure butter

150 Gram kelapa kering

30 Gram gula icing

50 Gram badam cincang dipanggang

2 Sudu kecil bijan hitam

2 Sudu kecil bijan putih

Ceri merah dan hijau dipotong kecil

20 Gram kismis hitam kecil

Cara membuat inti:

1. Pukul butter dan gula icing sehingga sebati.

2. Kemudian, campurkan semua bahan-bahan yang lain, gaul sebati. Ketepikan.

Cara membuat doh sampan:

1. Satukan butter dan gula icing, pukul hingga sebati.

2. Masukkan telur dan esen vanila, gaul sebati.

3. Masukkan susu tepung, gaul sebati.

4. Akhir sekali masukkan tepung gandum, uli sehingga menjadi doh yang lembut.

5. Ambil doh, tekap pada acuan sampan. Lubangkan ditengah untuk masukkan inti.

6. Masukkan inti hingga padat.

7. Bakar pada suhu 160 darjah selama 20 minit atau hingga masak.

8. Tunggu biskut sejuk dan tanggalkan dari acuan. Selamat mencuba.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang