Menjejaki rasa yang kian hilang, misi 'Sedap Do’oh' pelihara jiwa kulinari Terengganu

No Image Caption
A
A
A

APABILA sebuah resipi tradisional lenyap ditelan zaman,iaa bukan sekadar kehilangan satu hidangan di atas meja. Malah, kita sedang menyaksikan sebahagian daripada lembaran sejarah, identiti dan jiwa sesebuah bangsa padam buat selamanya.

Bertitik tolak daripada kebimbangan ini, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Rich Talents International College (RTiC), Prof Datuk Chef Zamzani Abdul Wahab menghasilkan sebuah buku Sedap Do’oh: Menjejaki Resipi Warisan Terengganu.

Baru-baru ini World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) menyaksikan satu detik penting kulinari Terengganu.

Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin berangkat mencemar duli melancarkan secara rasmi karya berkenaan.

No Image Caption

Majlis yang para kerabat diraja, tokoh akademik, penggiat industri dan pencinta seni kulinari itu juga menyaksikan lahirnya sebuah dokumentasi budaya komprehensif yang dihasilkan melalui keringat dan usaha gigih selama hampir tiga tahun oleh RTiC.

mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan, naskhah berharga itu melibatkan kajian mendalam, dokumentasi, pembangunan semula resipi dan fotografi makanan yang diterajui oleh para pensyarah, pakar kulinari tempatan serta para pelajar.

Chef Zam dalam kenyataan menegaskan bahawa makanan mempunyai kedudukan yang sama tinggi dengan manifestasi budaya yang lain.

"Warisan tidak hanya terletak pada bangunan bersejarah, manuskrip lama atau seni persembahan. Makanan juga adalah warisan budaya yang sangat penting kerana ia menceritakan sejarah, nilai dan identiti sesuatu bangsa," ulas beliau penuh bermakna.

Artikel Berkaitan:

Terengganu, sebuah negeri yang indah menghadap Laut China Selatan, sememangnya dikurniakan dengan kepelbagaian gastronomi yang tiada tolok bandingnya. Gabungan hasil laut segar seperti ikan, sotong, dan udang bersama bahan asas seperti santan, bawang merah, halba, halia dan lengkuas telah membentuk DNA masakan negeri tersebut.

Namun, menurut Chef Zam, keistimewaan sebenar masakan Terengganu bukan terletak pada kemewahan bahan, melainkan pada kebijaksanaan generasi terdahulu. Mereka mampu melahirkan hidangan yang mempunyai profil rasa yang kompleks dan kaya, hanya dengan menggunakan peralatan dapur yang ringkas dan bahan-bahan asas yang ada di sekeliling mereka.

Menyelamatkan menu yang kian pupus

Salah satu tarikan utama buku "Sedap Do’oh" adalah usahanya mengangkat kembali hidangan-hidangan tradisional yang kini semakin jarang ditemui. Nama-nama eksotik seperti Kueh Keang, Tonyoh Ubi, Nekbat, Qasidah, Urat Jati, Ba’it dan Nasi Telur kini menjadi asing pada lidah dan telinga generasi muda.

No Image Caption

Menurut Chef Zam, fenomena generasi muda yang tidak lagi mengenali makanan tradisi negeri sendiri amat membimbangkan. Oleh itu, usaha mendokumentasikan resipi-rsipi ini menjadi satu misi kritikal yang tidak boleh ditangguh lagi.

Bagi memastikan ilmu ini sampai ke segenap lapisan masyarakat, buku ini diterbitkan dalam format paperback yang lebih praktikal dan mampu milik. Matlamatnya jelas: supaya buku ini boleh dimiliki dan dijadikan rujukan harian oleh suri rumah, pelajar kulinari, chef muda, mahupun pengkaji makanan.

Platform melahirkan generasi pelapis

Menariknya, projek pembikinan buku ini tidak berjalan sehala. Ia telah dijadikan sebagai platform pembelajaran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang dinamik bagi pelajar kulinari di RTiC. 

Para pelajar terlibat secara langsung dalam setiap fasa termasuk penyelidikan awal, penyediaan hidangan di dapur, sehinggalah kepada seni penataan gaya serta fotografi .

"Bagi kami, kejayaan sebenar bukan sekadar menghasilkan sebuah buku, tetapi memastikan ilmu dan kemahiran warisan ini dapat dipindahkan kepada generasi pelapis yang akan meneruskan legasi kulinari negara," tambah Chef Zam.

Usaha murni memartabatkan seni kulinari Terengganu itu turut mendapat pengiktirafan dan naungan tertinggi. Menerima galakan dan disokong sejak awal lagi daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan dan Sultanah Terengganu, ia turut dijayakan menerusi Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK) daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) serta WTCKL sebagai rakan strategik lokasi.

 

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang