Rupanya ada pantang larang buat kuih bakul! Peniaga ini siap kongsi resipi bagi yang nak mencuba

No Image Caption
A
A
A

KUIH bakul, atau nian gao merupakan kuih tradisi masyarakat Cina yang terkenal terutama semasa musim perayaan Tahun Baharu Cina. Mempunyai tekstur yang kenyal, kuih bakul antara hidangan yang wajib semasa perayaan tersebut.

Bagi mereka, memakan kuih bakul dipercayai membawa tuah kerana namanya 'nian gao' yang bermaksud 'tinggi' dan melambangkan erti 'semakin tahun semakin tinggi' atau ringkasnya 'setahun lagi kehidupan setingkat lagi kemajuan'.

Kini, ia mudah didapati diluar musim perayaan dan bila-bila masa.

SinarPlus sempat menemu bual pemilik Farrah Diba Bakeri yang menjadikan kuih tersebut sebagai sumber pendapatannya.

Menurut cerita Nur Farrah Diba Azhar, beliau mendapat resipi daripada jirannya yang berbangsa Cina selepas wanita itu memberikan kuih tersebut kepadanya.

No Image Caption

"Saya memang suka makan kuih bakul dan meminta beliau ajarkan cara membuatnya.

"Saya memang berasal dari keturunan Cina kerana ibu seorang mualaf. Kebetulan ketika itu, tok wan yang berasal dari China ada dan saya memberi nya rasa.

"Tok wan memuji hasil air tangan saya dan mengatakan rasanya sama seperti kebanyakan orang lain buat," kata beliau yang memulakan perniagaannya pada tahun 2015.

Akui Farrah, membuat kuih bakul tersebut bukan mudah dan banyak pantang larang. Demi menjaga kualiti dan rasa yang sama, beliau masih mengekalkan cara tradisional.

"Untuk menghasilkan kuih bakul ini perlu sabar, mood juga harus sentiasa baik barulah menjadi dan tahan lama.

"Bukan sahaja peralatan dan kawasan untuk membuatnya bersih,demikian juga dengan hati," kata wanita berusia 34 tahun itu lagi.

Tambah Farrah, permintaan produknya sentiasa ada, lebih-lebih lagi ketika musim perayaan.

Namun begitu, beliau memilih untuk tidak menambah kuantiti produk sebaliknya lebih utamakan kualiti.

"Pelanggan tetap sudah sedia maklum saya tidak menambah bilangan produk ketika perayaan. Oleh sebab itu, mereka akan membuat pesanan awal," ujar beliau.

Apa yang beliau harapkan untuk masa hadapan, kuih bakul berkenaan lebih dikenali dan dihargai oleh generasi akan datang.

Selain itu, beliau juga ingin menjadikan premis atau kilangnya salah satu tempat yang boleh dilawati oleh orang ramai terutamanya pengunjung

luar.

No Image Caption

No Image Caption

Resipi Kuih Bakul

Bahan-bahan:

500 gram tepung pulut

500 gram beras pulut

1200 gram gula pasir

1400 milimeter air

Minyak kacang

garam

No Image Caption

Cara membuat:

1. Masukkan gula pasir dan air ke dalam periuk. Kacau sehingga larut dan biarkan sejuk.

2. Sementara itu, masukkan tepung pulut ke dalam mangkuk.

3. Tuangkan larutan gula tadi beserta minyak kacang ke dalam tepung pulut. Kacau sehingga sebati.

4. Masukkan adunan tepung pulut yang telah sebati itu ke dalam kuali dan kacau sehingga adunan menjadi likat.

5. Sementara itu, alas tin dengan daun pisang, pastikan daun pisang melebihi bahagian atas tin agar mudah mengikatnya di sekeliling tin. (Daun pisang dikelepetkan ke bawah)

6. Didihkan air dalam periuk kukusan dan kecilkan api.

7. Tuangkan adunan ke dalam tin yang telah dialas tadi. Kukus selama 16 jam. Pastikan air yang ditambah ke dalam pengukus adalah air mendidih.

8. Penutup kukus hendaklah dibungkus dengan beberapa lapisan kain muslin/kain kasa/ pembalut aluminium agar wap air tidak meniti ke atas kuih.

9. Bila cukup masa, angkat kuih dan sejukkan. Sedia untuk dinikmati.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang