Dari jual sambal dan kosmetik ke tauke batu permata, transformasi luar biasa Aleeya Avenys jadi Inspirasi

No Image Caption
A
A
A

DI sebalik gaya elegan dan kejayaan yang dipamerkan hari ini, perjalanan hidup usahawan Aleeya Zailan bukanlah seindah kilauan berlian yang kini menjadi sumber rezekinya.

Wanita yang kini lebih dikenali sebagai Aleeya Avenys itu membesar dalam latar kehidupan yang penuh cabaran.

Lahir dalam keluarga yang berpecah-belah dan melalui fasa hidup serba kekurangan, ibu kepada tiga cahaya mata tersebut menjadikan setiap episod pahit sebagai pelajaran paling mahal dalam hidupnya.

Bagi Aleeya, masa silam bukan untuk ditangisi, tetapi untuk dijadikan bahan bakar membina masa depan.

Langkahnya dalam dunia perniagaan juga tidak berlaku dalam satu malam. Sebelum ini, beliau mencipta nama menerusi jualan sambal, produk penjagaan kulit serta suplemen.

Konsisten dan berani mencuba, dia bangkit membuktikan wanita juga mampu membina empayar sendiri jika ada kesungguhan.

Terbaharu, isteri kepada Azri Aziz atau lebih dikenali sebagai Big Boss itu tampil dengan cabang perniagaan baharu di bawah jenama Avenys & Co, memfokuskan kepada barang kemas, khususnya berlian dan batu permata.

Menariknya, semuanya bermula tanpa perancangan rapi.

“Berlian dan permata memang teman akrab wanita. Macam lagu mendiang Marilyn Monroe, Diamonds Are a Girl’s Best Friend,” katanya berseloroh.

Daripada sekadar membeli untuk kepuasan diri, minat itu bertukar menjadi keterujaan. Dari situ, beliau mula mencari berlian terbaik, kemudian ‘terbabas’ membeli dalam kuantiti lebih banyak.

Minat terhadap batu permata pula hadir secara semula jadi. Lama-kelamaan, rasa cinta terhadap keindahan rekaan barang kemas membuatkan dia nekad menceburi bidang tersebut secara serius.

Lebih istimewa, setiap rekaan adalah hasil ilhamnya sendiri. Bukan sekadar menjual, tetapi mencipta identiti.

Kini, sekitar 80 peratus fokusnya terarah kepada perniagaan barang kemas. Baki 20 peratus lagi diberikan kepada perniagaan penjagaan kulit jenama Avenys yang sudah bertapak kukuh dalam pasaran. Produk tersebut kini boleh didapati di pelbagai premis termasuk Guardian dan Aeon Wellness.

“Jenama penjagaan kulit ini sudah ada pasukan sendiri. Ada hos siaran langsung di TikTok yang aktif menjual. Alhamdulillah, pelanggan setia pun ramai,” katanya.

No Image Caption

Made to order

Bagaimanapun, Aleeya mengakui peralihan fokus kepada berlian bukan semata-mata kerana minat. Ada misi yang ingin dibawa bersama.

Katanya, ramai pembeli mudah terpedaya kerana kurang pengetahuan tentang selok-belok barang kemas. Ada yang berbelanja besar, namun akhirnya mendapat batu yang tidak berkualiti atau lebih malang, palsu.

Justeru, dia memilih konsep ‘made to order’ sebagai permulaan, selain menerima tempahan secara dalam talian.

Baginya, pendidikan tentang kualiti, ketulenan dan nilai sebenar batu permata perlu diberi perhatian agar pembeli tidak mudah ditipu.

Di sebalik kejayaan, Aleeya juga tidak terlepas daripada ujian dunia digital. Akaun Instagram peribadinya yang pernah mencecah lebih 900,000 pengikut digodam.

Kehilangan itu bukan sekadar angka, tetapi memori dan usaha bertahun-tahun membina jenama.

“Memang sedih. Dari situlah saya bina pengaruh dan empayar perniagaan perlahan-lahan. Tapi saya cuba dapatkan semula, nampaknya agak sukar. Akhirnya saya reda,” katanya.

Dia kemudian membuka akaun baharu, namun jumlah pengikut yang berjaya dikumpulkan jauh lebih kecil.

Kini, Aleeya lebih aktif menggunakan Facebook dan TikTok, walaupun platform itu juga pernah beberapa kali menyekat akaun perniagaannya.

Malah, dirinya mendakwa akaun TikTok perniagaannya pernah diharamkan sehingga empat kali, menyebabkan kerugian termasuk kehilangan wang syarikat yang tersimpan di platform berkenaan. Aduan telah dibuat, namun tidak membuahkan hasil yang diharapkan.

Dalam masa sama, Aleeya turut mengakui pernah memperlahankan aktiviti siaran langsung kerana bimbang dengan penyakit ain.

No Image Caption

Atas faktor itu, dia menggunakan khidmat hos untuk mengendalikan sesi jualan secara langsung.

“Kita tak tahu apa yang ada dalam hati orang. Jadi lebih baik berjaga-jaga,” ujarnya.

Namun semangatnya kembali membara kebelakangan ini. Aleeya mula aktif semula menghasilkan kandungan termasuk vlog di TikTok dan media sosial lain.

Percutian mewahnya selama tiga minggu ke benua Antartika bersama suami baru-baru ini turut mencuri perhatian netizen.

Ada yang menyamakan kos perjalanan tersebut dengan pakej VIP menunaikan haji. Pelbagai andaian dan komen dilontarkan, namun Aleeya memilih untuk tidak melatah.

“Saya dah imun,” katanya ringkas.

Hakikatnya, perjalanan hidup Aleeya bukan sekadar kisah seorang pempengaruh bertukar menjadi tauke berlian. Ia adalah kisah tentang wanita yang belajar daripada kepayahan, membina kekuatan daripada luka, dan berani mencuba sesuatu yang di luar zon selesa.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang