11 tahun kaji mengenai ketum, pakar USM menangi anugerah penyelidikan antarabangsa

A
A
A

KETUM ialah sejenis tumbuhan yang banyak di Semenanjung Malaysia.

Ketum sering dikaitkan dengan ketagihan sehingga penanamannya dilarang kerana didapati lebih banyak memberikan kesan buruk kepada kesihatan berbanding kebaikan.

Kajian tumbuhan itu oleh pakar Universiti Sains Malaysia telah memenang anugerah penyelidikan antarabangsa baru-baru ini.

Penyelidik dari Pusat Penyelidikan Dadah Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Zurina Hassan menerima anugerah penyelidikan antarabangsa pada 4 Ogos lalu.

Penyelidik berasal dari Pulau Pinang itu menerima anugerah penyelidikan Georg Forster dari Yayasan Alexender Von Humbolt Jerman di atas kajiannya berkenaan ketum.

PEROLEHI DANA RM294,679

Bertugas sebagai pensyarah dalam bidang farmakologi, Zurina serta pemenang lain diberikan dana berjumlah 60,000 euro (RM294,679) untuk menyambung penyelidikannya di negara itu.

“Untuk program ini, saya diberi tempoh enam hingga 12 bulan untuk selesaikan kajian dengan dana sebanyak 60,000 euro disediakan.

“Saya bercadang untuk pergi ke Universiti Erlangen, Jerman bagi memulakan kajian saya pada Januari tahun depan,” katanya ketika dihubungi portal berita Malaysiakini.

Zurina, 45, berkata penyelidikannya melihat bagaimana ketum dapat memberi kesan kepada ingatan manusia dan menyebabkan ketagihan.

“Saya nak lihat macam mana ketum akan ‘bekerja’ apabila masuk ke badan manusia, contohnya berapa dos yang boleh menyebabkan ketagihan dan berapa dos yang beri kesan kepada memori manusia,” katanya yang telah memulakan penyelidikan berkenaan ketum sejak 2010.

BUNGA TELANG RAWAT DEMENTIA DAN ALZHEIMER

Selain itu, Zurina juga berhasrat untuk membawa hasil penyelidikannya berkenaan bunga telang dan potensinya untuk merawat penyakit dementia dan Alzheimer untuk dibincangkan di Jerman.

“Saya gunakan bunga telang yang biasa kita buat nasi kerabu itu untuk memulihkan ingatan terutamanya orang-orang tua yang selalu lupa.

“Kalau boleh saya nak bawa pergi sana untuk bertanya dan berbincang dengan mereka berkenaan cara untuk komersialkannya.

“Saya bercadang untuk jadikannya dalam bentuk kapsul dan boleh dijual di pasaran,” katanya lagi.

Zurina merupakan penasihat pakar sementara Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2015 dan 2016.

Beliau juga pernah dijemput oleh Institut Penyalahgunaan Dadah Kebangsaan (Nida) untuk membentangkan kajian berkenaan ketum di San Diego, Amerika Syarikat.

TERPILIH DARIPADA LEBIH 2,000 PENYERTAAN

Mengulas tentang pemilihannya, Zurina, 45, berkata ia bukanlah perkara mudah kerana dia perlu bersaing dengan lebih dua ribu penyertaan dari seluruh dunia dan hanya sepuluh penyelidik yang akan terpilih.

“Cabaran memang berat kerana kebanyakan mereka yang terpilih adalah profesor yang sangat berkaliber,” katanya.

Katanya lagi, Jerman menganjurkan program tersebut untuk menggalakkan penyelidik dari luar terutama di negara membangun menyumbang kepakaran masing-masing kepada institusi penyelidikan di sana.

Baca juga Suami Isteri Genggam PhD Usia 26 Tahun, Berkahwin Dan Ada Anak Bukan Penghalang

“Anugerah ini berdasarkan pencapaian kita dalam penyelidikan yang dibuat sebelum ini.

“Tujuannya adalah untuk kita kongsikan kepakaran kita di sana, jadi ia akan banyak memberi faedah kepada mereka.

“Setelah tamat program ini, mereka akan minta kita kongsikan pengalaman tinggal di sana, buat penyelidikan di sana dan juga kebudayaan masyarakat Jerman,” katanya lagi

Penyelidikan saintifik adalah salah satu kaedah yang dapat menghasilkan ketepatan dan membuktikan sesuatu kebenaran.

Semoga kejayaan Prof Madya Zurina Hassan ini memberi suntikan semangat buat kita semua.

Jangan lupa follow Sinarplus di Instagram! 

Sumber: Malaysiakini

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca