NAMANYA lama dikenali susulan kepakarannya di dalam bidang Obstetrik dan Ginekologi (O&G). Malah ada yang menggelarnya Pak Bidan.

Pakar Sakit Puan, Datuk Dr Hamid Arshat, 76, adalah antara pakar O&G terawal muncul di persada perubatan Malaysia.

Susulan pengalaman yang luas, beliau merupakan sumber rujukan orang ramai bagi masalah kesuburan.

Hari ini, beliau menerusi laman Facebook rasmi mengumumkan untuk mengundurkan diri dari bidang kepakarannya.

Baca juga: Wanita Terengganu antara 43 orang di dunia miliki ‘darah emas’ paling ‘rare.’ “You are the special one sis!”

“Alhamdulillah. Segala puji bagi ALLAH. Melimpah nikmat dikurniakan kepada diri saya dan keluarga.

“Lebih 51 tahun diberi peluang jadi doktor dan lebih 45 tahun jadi pakar bidan.

“Tiba masa untuk saya mengundur diri dan bersara. Banyak perkara peribadi dan keluarga perlu diselesaikan selum bertemu dengan Maha Pencipta.

“Semoga sedikit sisa-sisa hidup yang masih ada dilimpahi dengan segala nikmat dan keberkatan dari ALLAH SWT serta dapat pengampunan segala dosa,” titipnya.

Baca juga: Dr Amalina rangkul anugerah di Britain, Women of Future Awards 2021

Datuk Dr Hamid di samping keluarga.

Pakar yang disegani itu sedih dan pilu dalam membuat keputusan bersara sementelah khidmatnya masih diperlukan pasangan yang mendambakan cahaya mata.

“Bukan mudah untuk mengambil satu keputusan yang amat besar ertinya dalam hidup saya.

“Masih ramai yang memerlukan perkhidmatan saya, malah staf saya perlu menolak permohonan pesakit untuk buat janji temu dengan saya.

“Situasi begini menjadikan hati saya amat sedih dan pilu kerana tidak dapat membantu mereka yang memerlukan.

“Adakala timbul perasaan berbelah bagi, namun saya terpaksa cekal dan mengawal perasaan. Semoga ini adalah satu keputusan muktamad dan saya tidak akan merasa kesal kemudian hari,” katanya.

Baca juga: “Selamat Tinggal Didi, Nana, Jojo, Pak Atan…” Peminat Sebak Baca Coretan Jatuh Bangun Pengasas Didi & Friends

Dalam pada itu, beliau mengalungkan penghargaan kepada bekas pesakit yang telah memberikan kepercayaan kepadanya selama ini.

“Jutaan terima kasih atas kepercayaan kepada saya memberi nasihat dan buat rawatan kepada pesakit-pesakit saya. Kepada mereka yang berjaya mendapat zuriat dan sembuh daripada penyakit, tahniah saya ucapkan.

“Bagi yang belum berjaya dan tidak kesampaian hajat, bersabar dan terus berdoa sambil jangan putus usaha,” titipnya.

Malah beliau yang memulakan tugas sebagai Doktor Pelatih di Hospital Melaka pada April 1970 turut memohon ampun dan maaf atas kekurangan mahupun kelemahannya sepanjang memberikan khidmat.

Titipan doa turut dipohon agar beliau semua agar dikurniakan kekuatan iman, kesihatan , kebahagiaan dan kesejahteraan hidup.

“Kita tidak terlepas dari ujian ALLAH, itu semua adalah lumrah hidup. Adakala kita naik menjulang tinggi dan ada kala kita jatuh ke lurah jauh ke bawah.

Iklan

“Hanya ketabahan dan kesabaran serta keyakinan terhadap pertolongan ALLAH SWT yang boleh membantu kita menneruskan perjalanan hidup.

“Hapuskan perangai hasad dengki, iri hati dan dendam kerana ke semua itu perosak pembangunan insan dan ummah,” titipnya.

PERJALANAN KERJAYA DATUK DR HAMID ARSHAT


Beliau mendapat pendidikan asas di Johor dan melanjutkan pengajian Medicine Bachelor and Bachelor of Surgery (MBBS) di Universiti Malaya pada tahun 1970.

Seterusnya pada tahun 1976 beliau mendapat Member of the Royal College of Obstetricians and Gynaecologists dari London diikuti Fellow of the Royal College of Obstetricians and Gynaecologists juga dari London pada tahun 1987.

Bermula dari itu berputiklah karier perolehi sepanjang kerjaya hidupnya menjadi seorang doktor pakar sakit puan.

Beliau pernah menjadi pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia sehingga meraih gelaran Profesor.

Seterusnya beliau dilantik menjadi Pengarah dan Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dari tahun 1985 hingga 1989.

Setelah itu beliau membuka klinik pakar khas, sebagai seorang konsultan untuk memenuhi permintaan yang tinggi untuk perkhidmatannya khusus untuk masalah kesuburan dan masalah sakit puan.

Iklan

Baca juga: Suami Isteri Genggam PhD Usia 26 Tahun, Berkahwin Dan Ada Anak Bukan Penghalang

Warganet meluahkan rasa sebak atas persaraan beliau. Malah bekas pesakit turut menitipkan doa dan penghargaan buatnya.

–  “Selamat bersara Doktor. Terima kasih atas segala rawatan. Sepanjang saya hamil ketiga- tiga anak saya dalam pantauan Doktor. Mendengar azan dan kalimah ALLAH pertama kalinya daripada Doktor juga. Alhamdulillah mereka membesar dengan sihat. Doa saya semoga doktor sentiasa dalam keadaan sihat dan ceria bersama keluarga tercinta.”

-“Terima kasih atas khidmat Doktor. Atas kepakaran Doktor, rahmat dan izin dari ALLAH, 11 tahun lepas isteri saya berjaya mengandung dan dikurniakan anak sulung. Selamat bersara dan semoga ALLAH memudahkan urusan Doktor.”

– “Selamat bersara Dr Hamid Arshat terima kasih untuk rawatan. Alhamdulillah penantian lima tahun akhirnya dikurniakan ank asbab rawatan Doktor dan pasukan. Terima kasih ALLAH. Semoga Doktor sihat selalu dan panjang umur dan dalam peliharaan ALLAH.”

– “Selamat bersara doktor. Terima kasih kerana membantu ibu saya hampir 40 tahun lalu kerana dengan khidmat Doktor, saya lahir ke dunia.”

Baca juga: 1 Dari 5 Kanak-Kanak Malaysia Bantut. Buka Sekolah Anak Masih Muat Baju Lama, Kurang Membesar Masa Pandemik

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Sumber: Facebook Dr Hamid Arshat, Blog hamidarshat7