GURU, profesion yang hebat dan mulia. Mereka bukan sahaja mengajar, malah menyemai nilai positif dalam diri pelajar.

Siapalah kita tanpa guru. Merekalah yang menggalakkan, menyokong dan benar-benar memberi kesan kepada kehidupan pelajar.

Guru Malaysia yang kini bertugas di Keningau, Sabah, Mohd Al-Khaliffa Mohd Affnan mengharumkan nama negara apabila memenangi Anugerah Guru Berdedikasi Cambridge 2022.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan tahniah atas kejayaan Khalifa.

“Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa sukacita dan bangga di atas kejayaan beliau yang sekali gus mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

“Khaliffa Affnan telah melakar sejarah negara setelah muncul guru Malaysia pertama terpilih merangkul anugerah berkenaan dan juga terdahulu di peringkat serantau, atas pencapaiannya.

“Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan harapan agar pencapaian cemerlang ini menjadi suntikan semangat kepada beliau dan juga rakyat untuk terus bekerja keras dan mencapai kejayaan di masa hadapan di bidang masing-masing,” kata Istana Negara dalam kenyataan.

Baca juga: Irdina Shahriman, pelajar cemerlang M’sia CGPA 4.0 raih tempat pertama di Virginia Tech

Baca juga: Anak jati Muar Timbalan Ketua Juruteknologi NASA, 6 fakta menarik Florence Tan

Momen membanggakan itu turut dikongsikan Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia, Datuk Mohamad Alamin.

Bukan calang-calang bagi meraih anugerah itu, Khaliffa dikatakan menewaskan 7,000 pencalonan lain dari 113 negara seluruh dunia.

Malah, Khalifa juga rakyat Malaysia pertama menerima anugerah berprestij tersebut yang dimulakan buat pertama kali pada tahun 2018.

Baca juga: Dahulu ikut abah meniaga pasar malam, kini muncul antara 10 wanita hebat di ASEAN

Guru Kolej Vokasional Keningau (KVK) Sabah itu dinobatkan anugerah berkenaan sebagai pengiktirafan atas usaha, inisiatif dan pencapaiannya dalam melatih pelajar-pelajar beliau dalam subjek-subjek berasaskan komunikasi, teknologi dan kejuruteraan seperti dron, robotik dan pengekodan.

Selain subjek berkaitan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), guru  yang berasal dari Shah Alam, Selangor itu turut mengajar subjek-subjek bahasa.

“Usaha Khaliffa telah membantu meningkatkan dengan drastik penglibatan ketara pelajar-pelajar khususnya pelajar perempuan dan yang berkeperluan khas.

Iklan

“Penglibatan pelajar-pelajar ini pula membawa kepada penghasilan projek-projek mereka sendiri yang turut mendapat pengiktirafan antarabangsa.

“Khaliffa turut memperkenalkan program pertukaran budaya di antara KVK dengan institusi-institusi pendidikan di Korea Selatan,” titip Mohamad Alamin.

Lebih membanggakan, sebagai penerima anugerah global tersebut, mulai Februari 2023, Khalifa akan menghiasi muka hadapan setiap buku teks baharu terbitan “Cambidge University Press Education”.

Difahamkan, Cambridge akan membekalkan Khalifa bahan-bahan bantuan mengajar dalam bentuk buku dan digital yang disertakan sekali dengan pakej pembangunan profesional.

“Bagi pihak Kementerian Pendidikan Malaysia, kita ucapkan syabas dan tahniah atas usaha cemerlang Cikgu Khaliffa ini. Kita yakin beliau akan terus bersungguh-sungguh meningkatkan kecemerlangan kolej vokasional dan membuka mata dunia kepada kualiti tinggi guru di Malaysia. Syabas Cikgu Khaliffa!” titipnya.

Iklan

Ramai pelajar Khaliffa telah mendapat pengiktirafan antarabangsa termasuk meraih tempat ketiga pada kejohanan Robotik Korea 2018 dan menjadi penceramah ucaptama di sidang kemuncak STEM British pada 2020. Wow!

Anugerah Guru Dedikasi Cambridge ialah pertandingan global di mana anda boleh mencalonkan guru sekolah rendah atau menengah atas sumbangan hebat mereka.

Baca juga: Suami isteri genggam PhD usia 26 tahun, berkahwin dan ada anak bukan penghalang

Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI