PENTADBIRAN Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika atau singkatannya NASA merupakan badan pemerintah Amerika Syarikat yang bertanggungjawab mengelola dan mentadbir program angkasa lepas dijalankan negara itu.

NASA bertanggungjawab terhadap penyelidikan aeroangkasa ketenteraan dan awam jangka panjang. Sejak Februari 2006, misi NASA ialah merintis masa depan dalam penjelajahan angkasa lepas, penemuan saintifik dan penyelidikan aeronautik.

Moto institusi berprestij itu ialah ‘per aspera ad astra’ iaitu suatu ungkapan bahasa Latin yang bermaksud menuju ke bintang melalui kesukaran.

Sudah tentu mereka yang terpilih dan mempunyai pencapaian hebat sahaja mampu berkhidmat di sana.

Baca juga: Irdina Shahriman, pelajar cemerlang M’sia CGPA 4.0 raih tempat pertama di Virginia Tech

Baru-baru ini Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar menzahirkan rasa bangga atas kejayaan wanita kelahiran Muar, Florence Tan yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Juruteknologi NASA.

Menerusi hantaran di Facebook rasmi baginda hari ini, Sultan Ibrahim bertitah, pencapaian membanggakan wanita itu telah mengharumkan nama Johor di peringkat antarabangsa.

“Saya mengucapkan tahniah dan menzahirkan rasa bangga atas kejayaan anak kelahiran Johor ini sehingga menempa nama di luar negara.

“Ini juga merupakan satu kejayaan yang turut membanggakan rakyat serta mengharumkan nama Johor di peringkat antarabangsa,” titah baginda.

Menurut Sultan Ibrahim, kejayaan Florence akan menjadi dorongan serta inspirasi kepada seluruh rakyat untuk mencatatkan lebih banyak kejayaan di peringkat dunia.

Kisah Florence Tan cukup membanggakan kita. Sesuai dijadikan inspirasi generasi muda untuk mendalami bidang melakukan terbaik dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Baca juga: Suami isteri genggam PhD usia 26 tahun, berkahwin dan ada anak bukan penghalang

Berikut enam fakta menarik mengenai wanita hebat ini;

1-Florence lahir di Muar, Johor dan merupakan bekas pelajar Maktab Rendah Sains MARA Kuantan, Pahang.

2-Dia kemudian melanjutkan pengajian ijazah sarjana muda dalam bidang kejuruteraan elektrik di University of Maryland di Amerika Syarikat.

3-Tidak terhenti di situ, Florence terus menggali ilmu ke peringkat ijazah sarjana dan ijazah kedoktoran dalam kejuruteraan elektrik di Universiti Johns Hopkins.

4-Florence menyertai NASA sejak 1986 selepas diterima sebagai pelatih di Pusat Penerbangan Angkasa Goddard NASA berdasarkan pengajiannya dalam teori elektromagnet. Selepas menamatkan PHD, Florence mula bekerja di situ sebagai pengaturcara.

Iklan

5-Ibu kepada dua cahaya mata itu terlibat dalam misi eksplorasi NASA untuk planet Marikh.

6-Florence difahamkan kini memiliki kewarganegaraan Amerika Syarikat.

Perjalanan menuju kejayaan pasti berliku. Antara yang tular mengenai Florence ialah beberapa resipi kejayaan dikongsikannya;

1. Belajar berkomunikasi dengan baik.
2. Jangan mengambil kesempatan ke atas orang lain.
3. Ingat bahawa kita bekerja dengan orang, jadi jangan membuat andaian.
4. Bercakap untuk mengajar orang lain.
5. Saling menghormati.
6. Jujur

Iklan

Terdahulu, seorang lagi rakyat Malaysia, Prof Madya Dr. Wan Wardatul Amani Wan Salim mencipta sejarah sebagai wanita Malaysia pertama terlibat dalam program penyelidikan pesawat ulang-alik NASA ke Marikh.

Kini pakar satelit itu sudah kembali ke Malaysia dan mencurahkan bakti di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak.

Baca juga: Universiti Harvard antara berprestij dunia, terima enam pelajar Malaysia tahun ini

Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI