TIADA siapa yang tahu sampai bila nyawa ini akan dipanggil Ilahi.

Namun yang pasti, setiap muslim yang hidup menginginkan pengakhiran yang baik, dalam husnul khatimah..

Ya, siapa yang tidak inginkan meninggal dunia dalam keadaan terbaik dan mendapat kemuliaan Allah SWT kan?

Pagi ini, media sosial dihujani tentang kematian terindah seorang muazin yang meninggal ketika melaungkan azan.

Menurut AJK Surau Ar-Rayan, seluruh penghuni Apartment Sri Ixora Seksyen 27, Shah Alam berasa pelik kenapa azan subuh dari Surau Ar-Rayyan pagi ini cuma kedengaran dua rangkap dari kalimah yang mulia (Allahu Akbar dan Ashadu alla illaha illa Allah) dan kemudian terhenti. Kemudian bersambung di corong pembesar suara semacam cemas.

Menurutnya, selang kemudian terdengar AJK lain membuat pengumuman menyeru ahli keluarga En Man dari blok 45 turun ke surau dengan kadar segera dan kelihatan ambulan tiba di kawasan surau.

Katanya, setibanya di ruang solat surau, kelihatan sekujur tubuh kaku terbaring di ruang azan.

“Abang Rosliman atau lebih mesra dengan panggilan Abang Man, telah kembali bertemu PenciptaNya dalam keadaan semua orang beriman impikan.

“Arwah meninggal dunia ketika melaungkan azan pada kalimah Allahu Akbar dan Shahadah.

“Sebak dan bergenang air mata ini para jemaah sahabat rapat.

“Malam tadi baru dia yang beriya-iya mahu menjayakan majlis kenduri kesyukuran Ustaz Sahari yang baru keluar hospital yang akan diadakan di surau. Dia yang nampak sangat gembira dengan menu yang dicadangkan. Dia yang menawarkan diri untuk menyediakan kopi o kaw. Rupanya dia Allah panggil dalam keadaaan sangat-sangat kami cemburu.” ujar salah seorang jemaah.

Artikel berkaitan: “Ma dah boleh ambil wuduk dalam bilik sendiri dah. Alhamdulillah”- Pemuda tangguh beli kereta

Apa yang mengejutkan, hari ini hari ketiga beliau melaungkan azan subuh di surau itu.

“Paling kami terkejut hari ini adalah hari ketiga arwah memberanikan diri dan juga sangat teruja untuk azan subuh walaupun beliau bukan bilal surau. Beliau merupakan AJK Pemeriksa Kira-kira surau,” ujarnya.

Allah sayang Abang Man lebih dari kami semua bang. Abang Man pernah berseloroh;

Iklan

“Kita jaga amanah surau ni bukan untuk kita sekarang, tapi gunanya bila kita kat sana nanti”.

Moga Allah pilih Abang Man menjadi penghuni Al-Firdaus. Allah Maha Mengetahui.

Iklan

Sementara itu, menurut seorang penghuni, dia turut terkejut dengan kejadian itu.

“Memang ada dengar azan, tiba-tiba azan terhenti dan dengar tercungap-cungap dari speaker,” katanya kepada SinarPlus.

Kredit : AJK Surau Ar-Rayan