BERIKUTAN hujan lebat pada sebelah petang beberapa hari ini menyebabkan kesesakan trafik yang teruk di beberapa lokasi ibu kota susulan banjir kilat.

Dilaporkan juga beberapa jalan raya turut dinaiki air kelmarin seperti Jalan Kuching di Taman Wahyu menghala Bulatan Batu Caves; Jalan Cheras di Cheras Sentral ke bulatan Billion dan kedua-dua arah Jalan Maharajalela berhampiran Stesen Monorail Maharajalela dan Jalan Raja Chulan.

Tidak terkecuali, peniaga-peniaga bazar Ramadan di sekitar kawasan Wangsa Maju turut terkena tempiasnya.

Sebak dan sayu melihat situasi itu, pendakwah dan dermawan terkenal, Ustaz Ebit Lew turun ke lokasi meninjau keadaan di situ.

Menerusi perkongsian beliau di Facebook, Ustaz Ebit telah membelikan tujuh khemah baru untuk peniaga yang terkesan.

“Sebak sayu rasa hati semalam bila tengok khemah mak cik jual Yong Tau Fu di Wangsa Maju runtuh rosak diterbangkan angin waktu hujan ribut kuat semalam.

“Baru hari pertama berniaga. Semuanya rosak. Dekat RM800 juga semuanya modal.

“Berat ujian mereka. Di sinilah rezeki dan harapan mereka. Ujian mereka.

“Saya terus ke sana tadi. Saya belikan tujuh khemah baru beli untuk mereka buat tujuh peniaga yang tiada khemah.

“Berikan sedikit duit belanja buat sebahagian peniaga. Betapa besar harapan seorang peniaga menanti bazar Ramadan ini.

“Dengan nak dapat tapak. Ramai yang nak masuk. Dengan keadaan Covid-19 sekarang. Allahuakbar,” tulisnya.

Ustaz Ebit turut berkesempatan memberi sedikit bantuan wang dan memborong juadah.

“Bila saya beri sedikit duit tadi wajah mak cik ni berubah sebak sayu je. Ucap terima kasih. Gembira rasa dapat melihat beberapa peniaga gembira hari ini.

“Saya borong dekat tiga kedai tadi. Beli makanan mereka dengan bekas-bekas saya pinjam dahulu sebab nak jamu orang buka puasa.

“Melihat senyuman mereka buat saya gembira. Ada ibu tunggal. Ada bawa anak tolong berniaga.

“Ramai berlari-lari ajak ambil gambar dan hadiah saya apa sahaja mereka jual. Saya juga beri sedikit belanja hadiah buat mereka.

“Musim hujan sekarang. Agak kurang orang membeli. Tengok makanan banyak rasa sedih. Tapi kata peniaga di sini. Beginilah ustaz cari rezeki. Adat berniaga. InsyaAllah sekejap lagi ramai datang membeli. Allahuakbar.

“Berapalah sangat untung mereka. Tapi demi rezeki halal. Bagi kita mungkin sedikit tetapi bagi peniaga 50 sen itu rezeki buat mereka,” ujarnya.

Baca juga Anak sedih kawan baik tak makan sekali, Datuk Lee Chong Wei terasa bersalah

Iklan

Di samping itu, Ustaz Ebit turut mendoakan kepada semua peniaga bazar seluruh negara.

“Saya doakan Allah berkatkan dan mudahkan buat semua peniaga bazar Ramadan dan pasar malam di seluruh Malaysia,” doa beliau.

Sementara itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi peringatan kepada orang ramai supaya lebih berwaspada berikutan cuaca buruk yang dijangka berterusan di ibu kota hingga Sabtu ini.

DBKL menerusi Facebook berkata, ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dari 11 hingga 17 April menunjukkan amaran ribut petir pada sebelah petang setiap hari di beberapa tempat.

Iklan

Warga kota dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan perubahan cuaca yang berlaku.

Boleh hubungi Bilik Gerakan DBKL di talian 03-40244424 untuk tindakan kecemasan jika berlaku banjir kilat di kawasan korang.