BEAUTY with brain, itu frasa tepat buat anak kelahiran Kuala Rompin, Pahang ini apabila dinobatkan sebagai doktor gigi pertama Orang Asli di Malaysia.

Dr Tan Bee Hui menjadi sebutan di laman sosial selepas hantaran mengenai kejayaannya tular di laman sosial Facebook Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

“Persatuan Mahasiswa Orang Asli Malaysia (PMOA) ingin mengucapkan sekalung tahniah kepada saudari Tan Bee Hui A/P Tan Boon Huat kerana telah berjaya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pembedahan Gigi (Bachelor of Dental Surgery) dari MAHSA University,” kongsi laman itu baru-baru ini.

Baca juga: Susherrie Suki cipta sejarah, mahasiswa orang Asli pertama raih ijazah first class universiti ternama

Tan Bee Hui, gadis dari suku Jakun mendapat pendidikan awal di SJK (C) Kuala Rompin dan Sekolah Menengah Kebangsaan Rompin sebelum menyambung pelajaran di Kolej Mara Banting.

Minatnya dalam akademik didorong oleh semangat ibunya yang rajin mengajar beliau dan adiknya di rumah.

Meskipun tidak pernah mendapat akses dan peluang kepada pendidikan sebelum ini, si ibu tekad mengutamakan pelajaran anak-anak.

Ia juga membuatkan Bee Hui percaya pendidikan mampu mengubah nasib keluarganya untuk keluar daripada kepompong kemiskinan.

Baca juga: Pencapaian luar biasa buat anak Orang Asli, kisah Edmund tamatkan pengajian di luar negara cetus inspirasi

“Membesar sebagai Orang Asli, saya sering mendapati diri saya dipersoalkan oleh orang ramai tentang bangsa saya, kebolehan saya untuk belajar dengan baik dan sumbangan kepada masyarakat.

“Saya belajar bersungguh-sungguh untuk menjadi diri saya hari ini untuk membuktikan mereka Orang Asli juga boleh menjadi doktor gigi.

“Sekarang saya berkhidmat di hospital saya dilahirkan, membantu komuniti saya sendiri. Jangan sesekali meragui diri sendiri hanya kerana orang tidak mempercayai anda, terima siapa diri anda. Bekerja keraslah dan jangan lupa asal usul. Lakukan apa yang baik untuk diri, hidup ini terlalu singkat untuk terganggu dengan apa yang orang katakan tentang kita,” kata Bee Hui.

Baca juga: Guru dari India kongsi hadiah kemenangan Guru Global, Cikgu Sam teruskan misi bantu anak Orang Asli

Dalam pada itu, beliau juga berpesan kepada seluruh mahasiswa dan mahasiswi Orang Asli supaya tidak pernah merasa rendah diri dan segan untuk mengaku bangsa sendiri apabila ditanya. Lebih-lebih lagi terhadap mereka yang berdarah campuran.

Iklan

” Terus ingat akan asal usul, adat resam dan cuba sedaya upaya untuk membantu kelompok sendiri dan terus menjadi inspirasi kepada mereka yang memerlukan dengan menghulurkan bantuan mengikut kemampuan. Percaya kepada diri sendiri,”kongsinya.

Baca juga: Orang Asli suku Temuan baru berusia 22 tahun mampu miliki kebun sayur dan gaji enam pekerja

Bukan calang-calang latar belakang wanita muda ini. Bee Hui mula melakar kecemerlangan sejak awal lagi apabila berjaya memperolehi keputusan cemerlang 5A dalam Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR) dan 8A dalam Peperiksaan Menengah Rendah (PMR).

Kegemilangannya diteruskan dengan meraih 8A dalam Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM). Selain cemerlang dalam bidang akademik, anak sulung daripada dua adik-beradik ini turut aktif dalam bidang kokurikulum.

Iklan

Manakala di peringkat universiti pula, dia aktif bermain sukan bola jaring dan menjadi ahli aktif Dental Student Society dan Persatuan Mahasiswa Orang Asli.

Tahniah Dr Tan Bee Hui, semoga kejayaan yang diraih beliau menjadi inspirasi!

Sumber: Facebook Jabatan Kemajuan Orang Asli / Persatuan Mahasiswa Orang Asli

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!