IMPIAN wanita ini untuk menjejakkan kaki ke tanah suci mengerjakan umrah dimakbulkan YANG MAHA ESA.

Kisah tersebut SinarPlus ada memuat naik sebelum itu DI SINI.

Semuanya berlaku selepas Norharizan Uda Osman, membeli baju Melayu yang membolehkannya layak menyertai peraduan Imbas dan Menang anjuran jenama popular Bulan Bintang.

Video yang memaparkan kemenangan tersebut tular. Sehingga kini, video yang dimuat naik di laman sosial meraih lebih 1 juta tontonan.

Rata-rata warganet yang menonton video berkenaan melahirkan rasa sebak sambil menitipkan ucapan tahniah kepada ibu tunggal tersebut.

Memetik laporan Harian Metro, Muhammad Akmal Firdaus Hushaimi, yang juga anak wanita itu yang bertanggungjawab memuat naik video ibunya,

“Mak memang sudah lama teringin nak ke Tanah Suci menunaikan umrah. Alhamdulillah, Allah kabulkan dengan menang peraduan Imbas dan Menang Bulan Bintang. Doa ibu memang tak nafi keberkatannya. Mak teringin nak pergi Tanah Suci, lepas tekan tebus, Alhamdulillah impian mak tercapai.

“Mak memang tak sangka dan sampai sekarang masih tak percaya yang dia menang umrah. Memang itu impian dia dan terima kasih banyak banyak untuk pengasas Bulan Bintang kerana merealisasikan impian mak,” katanya.

Lebih istimewa lagi, video berkenaan turut meraih perhatian pengasas jenama itu, Azzim Zahid Azmi atau Meri.

Malah, beliau bertindak turun padang semata-mata untuk bertemu sendiri wanita itu di Ipoh, Perak.

Dalam satu video temu bual yang dikongsikan di TikTok antara Meri dengan Norharizan,wNita berumur 49 tahun itu mengakui sudah lama memasang impian untuk ke sana.

“Saya sudah tiga tahun berimpian nak jejak kaki ke sana (Mekah), tak sangka bila beli baju Melayu Bulan Bintang untuk anak-anak, ini yang saya dapat. “Bagi kami yang kurang kemampuan, inilah rezekinya. Saya memang terharu kerana tak sangka, rezeki saya nak tunai Umrah, nak melihat Kaabah bakal tercapai, Alhamdulillah. ALLAH dah jawab doa saya,”

Iklan

“Saya beli tiga pasang baju Melayu untuk tiga orang anak teruna saya. Pada mulanya, anak saya mahukan PS5 jika ada rezeki memenangi peraduan ini. Pada saya, jika ada rezeki, Insya-Allah. Cubaan pertama untuk anak sulung, kami tidak memenangi sebarang hadiah dan untuk anak kedua pula, kami memenangi baucer.

“Bagi percubaan terakhir, anak-anak mahukan saya sendiri yang menekan telefon pintar. Saya hanya bertawakal dan tak sangka saya memenangi pakej Umrah. Syukur Alhamdulillah, “ katanya.

Lebih mengharukan, itulah kali pertama dirinya berbelanja baju sedondon untuk anak-anak dan tidak sangka ia menjadi punca rezeki untuk dirinya menunaikan ibadah terbabit.

“Saya belum pernah ke Makkah, tahun lalu kakak saya sekeluarga ada ke sana. Saya gembira lihat mereka tapi saya sayu dan memasang keinginan itu, tetapi Allah masih belum izinkan. Selepas saya menang peraduan itu, saya tertanya, betul ke? Bukan ‘scam’ ke? Anak cakap tak, memang betul dapat.

“Saya membeli baju sedondon berwarna biru untuk anak-anak saya pakai di Hari Raya nanti sebab sebelum ini, kami tak pernah merasa. Saya tak sangka, rezeki pakej umrah ini yang saya dapat selepas berbelanja untuk anak-anak,” katanya lagi.

Iklan

Untuk rekod, Norharizan memenangi pakej Umrah untuk dua orang dengan nilaian RM12,090 untuk setiap seorang.

Sekadar makluman, label berkenaan sebelum itu melancarkan kempen Terrrrpaling Raya Bulan Bintang yang menawarkan hadiah bernilai lebih RM3 juta untuk semua pelanggan tahun ini.

Antara hadiah yang ditawarkan adalah 10 Perodua Myvi dan Bezza, iPhone 15, emas 999, pakej umrah dan banyak lagi.