Berat dugaan wanita ini, tiga anaknya diuji pelbagai penyakit termasuk sakit buah pinggang tahap 5, muntah darah
“SAYA terpaksa berlakon menjadi ibu yang kuat supaya anak-anak tidak susah hati. Hanya ALLAH sahaja yang tahu perasaan saya mengenangkan seorang permata hati yang sedang bertarung nyawa di ICU (Unit Rawatan Rapi), seorang lagi sakit di dalam perut sehingga najisnya berdarah dan yang bongsu pula sering muntah darah."
Itu luahan hati seorang ibu, Rozita Ramli ketika ditanya tentang kondisi tiga anaknya yang berdepan dengan pelbagai masalah kesihatan.
Pada masa sama, dirinya juga menderita apabila terpaksa bergantung dengan alat bantuan pernafasan disebabkan masalah jantung.
Mendengar suaranya yang tidak bermaya menerusi corong telefon, penulis dapat membayangkan betapa rapuhnya emosi wanita berusia 43 tahun itu.
Ketika menceritakan tentang keadaan putera ketiganya, Muhammad Azri Danial Hasbullah yang mesra dipanggil Acik, rasanya Rozita sudah menumpahkan air matanya.
Beritahu beliau, Acik yang berusia 17 tahun baru disahkan menghidap penyakit buah pinggang tahap 5 pada Mei lalu, kini tidak sedarkan diri selepas menerima rawatan hemodialisis di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HPRZ II) di Kota Bharu, Kelantan.
"Hati saya memang sudah tidak tenang memikirkan keadaan Acik. Sudah empat kali masuk ICU disebabkan keadaannya yang kritikal. Hanya kepada ALLAH saya memohon agar Acik selamat dan sembuh seperti sedia kala," katanya penuh harapan.
Tidak terhenti setakat di situ sahaja, fikiran Rozita semakin berkecamuk apabila menerima kiriman foto daripada anak bongsunya, Aleeya Maisara, 15, yang muntah darah secara tiba-tiba ketika menjaga abangnya di hospital.
Tatkala cuba menenangkan diri, beliau sekali lagi menerima perkhabaran duka apabila anak keduanya, Muhammad Airis, 19, mengalami masalah najis berdarah.
Tidak keruan
"Ujian datang bertimpa-timpa. Pada saat hati ini risau mengenangkan Acik yang kritikal, dua anak pula sakit secara tiba-tiba. Saya sudah tidak tahu mana satu yang perlu didahulukan. Mahu ambil Aleeya di hospital, namun siapa pula yang akan menjaga Acik di sana?
"Jiwa saya cukup serabut. Nasib baiklah suami, Hasbullah Mohamad, 52, masih kuat dan boleh diharapkan. Seharian kami uruskan hal anak-anak dan berulang alik ke hospital,” katanya yang turut mendapatkan rawatan perubatan Islam untuk anaknya.
Kepada penulis, Rozita terus berkongsi rasa. Katanya, keadaan Acik yang kritikal membuatkannya terbayang-bayang wajah anak sulung beliau, Muhammad Asyhraf yang meninggal dunia dua tahun lalu ketika berusia 21 tahun akibat penyakit yang sama.
"Selepas 12 hari ditahan wad, dia pergi tinggalkan kami. Tahun ini, genap dua tahun arwah tiada dan pada bulan sama, Acik sakit.
"Saya memang tak sanggup lagi berdepan kehilangan anak lagi,” kata peniaga baju dan aksesori jam di Pasar Borong Wakaf Che Yeh di Kota Bharu itu yang sedang berusaha mengumpul duit untuk membeli mesin dialisis untuk Acik.
Apabila ditanya mengenai kos rawatan termasuk mesin tersebut, beliau berkata, pendapatannya semakin merosot sejak sejak perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan tahun lalu.
"Kami suami isteri memang bergantung sepenuhnya dengan jualan barang di pasar. Kami memang buntu memikirkan kos rawatan dialisis dan cuci darah tiga kali seminggu yang dianggarkan berjumlah RM840.
"Kami sebenarnya merancang untuk membeli mesin dialisis cuci air kerana itu antara pilihan lebih murah berbanding mesin cuci darah, namun berisiko untuk mendapat jangkitan kuman," katanya.
Justeru, ujar Rozita, dirinya tiada pilihan melainkan memohon simpati orang ramai bagi membantu meringankan beban anak-anaknya.
"Dengan rasa rendah diri, saya memohon keprihatinan semua agar dapat membantu merealisasikan impian kami untuk membeli mesin dialisis buat Acik dan pada masa sama, dapat menampung perbelanjaan kos perubatan yang tidak tertanggung ini," katanya yang menetap di Kampung Kubang Siput, Pasir Tumboh.
Kepada pembaca SinarPlus yang terbuka hati untuk menyalurkan keceriaan dan bantuan kepada keluarga susah itu, boleh menyalurkan dana terus ke akaun Bank Islam 03111020313273atas nama Rozita Ramli.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang