SINDROM Ovari Polisistik (PCOS) adalah satu sindrom yang boleh memberi kesan kepada kitaran haid, kesuburan dan rupa fizikal seseorang wanita yang mengidapinya. Pesakit PCOS akan menghadapi masalah kitaran haid yang tidak menentu disebabkan ketidakseimbangan hormon dalam badan.

Isteri kepada pelakon aksi, Adam Corrie turut menghidap penyakit PCOS. Jika sebelum ini tubuh Fazema Mohd Fuad agak berisi namun kini berat badannya susut sehingga membuatkan ramai warga maya perasan dan tertanya-tanya sama ada beliau sedang berdiet.

Baca juga: PCOS boleh sebabkan kemandulan, kanser, diabetes dan serangan jantung. Ini cara mencegah

Melalui hantaran yang dikongsikan diakaun TikTok, Fazema memuat naik satu video bagi menjawab persoalan warga maya. Selalunya bila seseorang itu memiliki tubuh yang berisi dan kemudiannya turun berat badan, pasti ramai yang menganggap individu itu sakit.

Akui Fazema, beliau tidak sakit. Beliau cuba mahu menjaga kesihatan maka sebab itulah beliau berusaha menurunkan berat badan. Fazema juga berkongsi tip agar dapat dijadikan panduan buat mereka yang sedang berusaha mendapatkan berat badan ideal.

“Saya mengamalkan berjalan laju atau brisk walk setiap hari, kalori defisit dan tidur awal. Paling lewat tidur pun pukul 9.00 malam. Alhamdulillah hanya dalam masa tiga bulan berjaya menurunkan 16 kilogram (kg) berat berat badan. Terima kasih kerana mengambil berat tentang diri saya,” tulis Fazema.

Menurut Fazema, bukan mudah untuk wanita yang menghidap PCOS dan berusia pertengahan 40 tahun sepertinya menurunkan berat badan.

Namun beliau tetap ingin mencuba. Mengamalkan diet suku suku separuh, ternyata usaha Fazema berjaya membuahkan hasil.

Baca juga: Pesakit PCOS disaran turunkan berat badan, itu cara mudah untuk hamil

Untuk info, Fazema dan Adam Corrie mendirikan rumah tangga pada 21 November 2008.

Pasangan itu dikurniakan seorang anak lelaki, Adam Fateh Lee yang kini berusia empat tahun selepas 10 tahun menanti kelahiran cahaya mata.

INFO PENYAKIT SINDROM OVARI POLISISTIK (PCOS):

1. Pengidap PCOS mempunyai level hormon lelaki (androgen) yang lebih tinggi, hirsutism, rambut kepala nipis di bahagian ubun-ubun (botak) dan jerawat.

2. PCOS melibatkan lima hingga 10 peratus wanita dalam usia reproduktif mereka.

Iklan

3. Kebanyakan wanita yang menghidap PCOS juga akan mempunyai berat badan yang berlebihan (obes) dan boleh mengidapi diabetes, obstructive sleep apnea dan banyak lagi masalah jangka masa panjang.

4. Boleh menyebabkan ketidaksuburan (infertility) disebabkan telur (ovum) yang tidak menetas keluar, akan tetapi ada ubat-ubatan kesuburan yang boleh membantu masalah ini.

5. Gejala PCOS mungkin berbeza-beza. (gejala ringan dan lebih teruk). Simptom PCOS termasuklah:

– Kitaran haid yang tidak teratur atau tidak datang sama sekali,
Hirsutism (mempunyai banyak bulu di muka atau badan yang lebih dari biasa)
– kehilangan rambut.
– Obesiti
– Jerawat atau kulit muka berminyak.
– Kemurungan atau berubah suasana hati

Baca juga: Haid lewat, senggugut teruk? Jangan keliru antara endometriosis dan Sindrom Ovari Polisistik

Iklan

Sumber: Tiktok Puan Fazi Fuad, myhealth.gov.my

Kredit foto:
Tiktok Puan Fazi Fuad, Instagram Adam Corrie

Oleh: Norhasliza Mohd Shafi

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi