PCOS boleh sebabkan kemandulan, kanser, diabetes dan serangan jantung.

Sebelum itu, kadangkala kita melihat orang sekeliling kita yang sudah lebih sedekad berkahwin, tetapi tidak memiliki cahaya mata.

Jangan sesekali menghamburkan kata-kata sinis kepada mereka. Perlu difahami dengan sejelas-jelasnya bahawa setiap wanita memiliki tahap kesihatan berbeza.

Antara kemungkinan seseorang sukar untuk hamil adalah disebabkan oleh masalah Sindrom Ovari Polisistik (PCOS).

Namun, adakah PCOS menjadi satu-satunya halangan utama? Adakah terdapat risiko penyakit lain yang boleh dihadapi wanita dengan PCOS?

Sehubungan itu, bagi mendapatkan kepastian, SinarPlus mendapatkan Profesor dan Pakar Perunding Kanan, Fakulti Perubatan, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Prof Dr Mohamad Nasir Shafiee (gambar).

Jelas Dr Mohamad Nasir, PCOS merupakan masalah endokrin atau hormon yang mempengaruhi fungsi metabolisme badan seseorang wanita.

Statistik menunjukkan, dua hingga tiga dalam 10 orang wanita berumur 18 hingga 45 tahun menghadapi krisis kesihatan itu.

Berikut antara petanda-petanda PCOS:

-Kitaran haid tidak teratur. Biasanya hanya ‘datang bulan‘ tiga hingga empat kali setahun atau pendarahan haid yang panjang dan banyak.
-Kulit muka berminyak, berjerawat termasuk tumbuh bulu yang lebih ketara pada muka dan badan.
-Keguguran rambut dan berat badan naik.
-Kehadiran sista (cyst) pada ovari yang banyak seperti ‘rantai mutiara‘.
-Hormon badan yang tidak seimbang (estrogen, progesteron dan testosteron)

Pencetus kanser, kemandulan?

Mengulas lanjut, Dr Mohamad Nasir berkata, secara amnya, sindrom PCOS akan menyebabkan tahap estrogen hormon yang tinggi yang tidak dapat di kawal oleh hormon progesteron.
Keadaan menjadi semakin rumit apabila kadar hormon testosteron yang tinggi akan ditukarkan kepada hormon estrogen.

“Di bawah pengaruh hormon estrogen, lapisan di dalam rahim yang dikenali sebagai endometrium boleh mengalami ketumbuhan abnormal yang dipanggil kanser rahim,“ jelasnya.

Statistik pada tahun 2020 menunjukkan, sebanyak 417,000 kes baharu dan 97,000 kes kematian akibat kanser rahim direkodkan di seluruh dunia. Ia menunjukkan peningkatan sebanyak 8.4 peratus dan 7.3 peratus berbanding tahun 2018.

Di Malaysia sahaja, sebanyak 1,401 kes dicatatkan dan pakar epidemiologi meramalkan, jumlahnya akan terus melonjak sebanyak 50 hingga 100 peratus menjelang tahun 2030.

Hal itu tidak mustahil berlaku kerana berlakunya peningkatan kadar obesiti yang merupakan salah satu risiko utama kanser rahim. Kegemukan sememangnya sering dikaitkan dengan PCOS.

Menurut pakar itu, kajian HCTM menunjukkan, gen yang terlibat dalam keseimbangan kawalan insulin (IGF) dan lemak badan (SREBP) adalah tinggi bagi wanita PCOS dan juga penghidap kanser rahim berbanding mereka yang normal.

Ia sekali gus membuktikan bahawa metabolisme badan bagi pesakit PCOS dan kanser rahim adalah sama iaitu ke arah pembentukan kanser.

“Selain itu, kajian validasi molekul NAD(P)H Quinone dehydrogenase juga memainkan peranan dalam menggalakkan peningkatan pertumbuhan sel pada endometrium wanita PCOS dan penghidap kanser rahim.

“Menarik juga apabila didapati, gen PTEN yang sepatutnya menghalang pembentukan kanser, didapati berkurangan dalam kalangan pesakit PCOS. Keadaan itu seterusnya akan meningkatkan risiko kanser rahim,” ujarnya.

Ujar Dr Mohamad Nasir, fakta turut mendapati, sebelum tercetusnya barah, akan berlaku suatu perubahan kepada lapisan endometrium yang dipanggil sebagai endometrial hyperplasia.

“Ia adalah tanda amaran iaitu selangkah sebelum kanser terjadi. Biasanya, akan disusuli dengan simptom pendarahan haid yang abnormal atau banyak,” jelasnya.

Justeru, bagi memastikan gejala tersebut tidak sinonim dengan kanser, doktor akan melakukan pemeriksaan ultrasound untuk melihat ketebalan dinding rahim dan pembengkakan ovari bersama sista-sista serta perlu mengambil sedikit isi atau sampel rahim untuk diperiksa di makmal, kata beliau.

Sekiranya berlaku perubahan ke arah pembentukan kanser, kaedah rawatan akan dibincangkan bergantung kepada keterukan, umur dan juga perancangan untuk hamil.

“Walaupun pembedahan adalah rawatan yang definitif, namun setiap pesakit perlu dirawat secara individu dan eksklusif. Kadang-kadang penggunaan ubat hormon mungkin boleh merawat keadaan hyperplasia ini seterusnya menjadi normal kembali,” beritahunya.

Penerangan Dr Mohamad Nasir itu sekali gus menjawab risiko lain yang bakal dialami oleh penghidap PCOS, selain kesukaran untuk mengandung.

Bukan itu sahaja, terdapat beberapa mudarat lain yang mungkin terpaksa diharungi. Antaranya seperti kemandulan termasuk penyakit metabolik yang lain seperti diabetes, hipertensi dan serangan jantung.

BACA JUGA Pesakit PCOS disaran turunkan berat badan, itu cara mudah untuk hamil

BACA JUGA Haid lewat, senggugut teruk? Jangan keliru antara endometriosis dan Sindrom Ovari Polisistik

Kegemukan mendatangkan masalah

Dalam apa jua penyakit, sekiranya dapat dikesan lebih awal, ia dapat dicegah sebaiknya. Begitu juga dengan PCOS.

American Cancer Society (ACS), Amerika Syarikat berkata, antara pendekatan ampuh yang boleh dilakukan adalah seperti berikut:

1) Wanita perlu memiliki berat badan yang ideal dan sihat
Seseorang yang obes hingga tiga kali ganda, lebih berkemungkinan mendapat kanser endometrium.
“Kajian juga mengaitkan tahap aktiviti fizikal yang lebih tinggi dengan risiko kanser endometrium yang lebih rendah. Jadi, bersenam dapat merendahkan risiko kanser ini.
“Gaya hidup yang aktif juga boleh membantu mengekalkan berat badan yang sihat, selain mengurangkan risiko tekanan darah tinggi dan diabetes,“ kata ACS.
Senada dengan organisasi antarabangsa itu ialah Dr Mohamad Nasir.Kata beliau, penurunan 5 hingga 10 peratus berat badan melalui senaman dan diet dapat mengembalikan kitaran haid yang normal setinggi 80 peratus, di samping meningkatkan sensitiviti insulin di dalam badan.

2) Bincangkan kebaikan dan keburukan terapi hormon dengan doktor
Estrogen untuk merawat gejala menopaus boleh didapati dalam pelbagai bentuk seperti pil, skin patches, suntikan, krim atau vaginal rings.
Jika seseorang wanita berfikir menggunakan estrogen untuk gejala menopaus, tanya doktor tentang bagaimana ia akan menjejaskan kanser endometrium anda.
Progestin (ubat seperti progesteron) juga boleh mengurangkan risiko kanser endometrium yang mengambil terapi estrogen, tetapi gabungan ini meningkatkan risiko kanser payudara. Apa-apapun, pesakit sangat digalakkan berdiskusi dengan doktor terlebih dulu.

Dalam pada itu, Healthline turut mengesyorkan beberapa saranan. Antaranya seperti:

i) Dapatkan rawatan untuk pendarahan faraj yang tidak normal
Seandainya pendarahan disebabkan oleh hyperplasia endometrium, tanya doktor tentang pilihan rawatan terbaik.

ii) Tanya doktor tentang potensi manfaat kontraseptif
Pil perancang kehamilan dan alat dalam rahim (IUS-levonorgestrel) telah dikaitkan dengan pengurangan risiko kanser endometrium.
Doktor boleh memaklumkan kepada pesakit kebaikan dan keburukan menggunakan ubatan atau alatan berkenaan.

iii) Sejarah sindrom Lynch (kondisi yang membuat penderitanya rentan mengalami jenis kanser tertentu)
Jika ahli keluarga mempunyai sejarah sindrom Lynch, pihak hospital mungkin akan menyarankan untuk membuat ujian genetik.
Barangkali mereka akan meminta pesakit mempertimbangkan untuk membuang rahim, ovari dan tiub fallopio untuk mengelakkan kanser daripada berkembang dalam organ tersebut.

Dr Mohamad Nasir turut ditanya lanjut mengenai langkah pencegahan kanser rahim dalam kalangan wanita PCOS.

Ujar beliau, penyelidikan di HCTM mendapati, penggunaan metformin (ubat diabetes) oleh penghidap PCOS dapat mengembalikan kitaran haid normal sebanyak 67.5 peratus selepas tiga bulan penggunaannya.

Selain menurunkan paras glukosa, kolesterol dan trigliserida, ia juga meningkatkan aktiviti gen penghalang kanser (p53) di lapisan rahim.

“Ubat hormon bagi menstabilkan tahap estrogen, progesteron atau testosteron adalah perlu terutama sekali bagi wanita yang mengalami kitaran haid yang abnormal.

“Penting untuk saya katakan, kaum Hawa perlu prihatin dengan segala perubahan yang berlaku kepada tubuh mereka dan cepat bertindak.

“Malu dan lari daripada sebarang masalah tidak dapat menyelesaikan kemelut yang melanda. Ingat, kanser ialah musuh tersembunyi,“ katanya.

Apa yang dimakan pesakit PCOS, beri kesan ketara kepada kesihatan

SEPERTI yang dibincangkan, Sindrom Sindrom Ovari Polisistik (PCOS) boleh membawa kepada cabaran kesihatan serius yang lain seperti diabetes, masalah kardiovaskular termasuk peningkatan risiko kanser endometrium.

Pun demikian, beberapa penyelidikan sahih telah menunjukkan bahawa diet boleh membantu mengurangkan kesan PCOS.

Menurut Medical News Today, hasil kajian mendapati, apa yang dimakan oleh pesakit PCOS, memberi impak yang ketara kepada mereka.

Meskipun, pada masa ini tiada diet standard untuk penyakit itu, terdapat persetujuan meluas tentang tiga diet yang mendatangkan manfaat kepada golongan tersebut. Berikut huraiannya:

i) Diet indeks glisemik (GI) rendah
Apabila badan mencerna makanan dengan GI rendah dengan lebih perlahan, ia tidak akan menyebabkan paras insulin meningkat dengan banyak atau secepat makanan lain. Contoh makanan diet rendah GI termasuk bijirin penuh, kekacang, kacang, biji, buah-buahan, sayur-sayuran berkanji dan makanan rendah karbohidrat yang tidak diproses.

ii) Diet antiradang
Makanan seperti beri, ikan berlemak, sayur-sayuran berdaun dan minyak zaitun boleh mengurangkan gejala yang berkaitan dengan keradangan seperti keletihan.

iii) Diet DASH
Doktor sering mengesyorkan diet Dietary Approaches to Stop Hypertension (DASH) untuk mengurangkan risiko atau kesan penyakit jantung. Ia juga boleh membantu menguruskan gejala PCOS.
Diet tersebut kaya dengan ikan, ayam, buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin penuh dan hasil tenusu rendah lemak.
Kajian pada tahun 2015 mendapati, wanita gemuk yang mengikuti diet DASH selama lapan minggu berjaya mengurangkan rintangan insulin dan lemak pada perut.
Dalam artikel yang sama, Medical News Today turut menyenaraikan makanan yang perlu dielakkan oleh mereka yang sedang menjalani diet PCOS.

Berikut perinciannya:

-Pastri dan roti putih.
-Makanan bergoreng seperti makanan segera.
-Minuman manis seperti soda dan minuman tenaga.
-Daging yang diproses seperti sosej.
-Lemak pepejal termasuk marjerin, shortening dan lemak babi.
-Lebihan daging merah seperti stik, burger dan daging babi.

Nampak seperti klise, tetapi wanita yang menghidap PCOS mampu menguruskan masalah mereka dengan sokongan orang sekeliling, kata laman web perubatan yang menjadi rujukan dunia itu.

“Mengurangkan tekanan melalui amalan penjagaan diri seperti mendapat tidur yang cukup, mengelakkan komitmen yang berlebihan dan meluangkan masa untuk berehat juga boleh membantu seseorang menguruskan PCOS dengan penyakit-penyakit lain,“ ujar mereka.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan.