SETELAH tiga tahun menderita kanser rahang, anggota Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Koperal Azmi Kamarudin dilaporkan meninggal dunia tengah hari tadi.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menerusi Facebooknya.

“Dukacita dimaklumkan Koperal Azmi Kamarudin telah meninggal dunia sebentar tadi. Salam takziah buat keluarga Allahyarham.

“Marilah sama-sama kita doakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. InsyaAllah,” tulisnya.

Media tempatan melaporkan sebelum ini, hasrat anggota polis berusia 34 tahun itu ingin bertemu dengan bekas rakan setugas tercapai selepas menerima kunjungan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) di kediamannya di Taman Bertam Perdana, Kepala Batas, semalam.

Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor turut meluangkan masa kira-kira 30 minit menziarahi Azmi, selain turut menyampaikan sumbangan lampin pakai buang beserta barangan keperluan lain.

Difahamkan Koperal Azmi adalah bekas anggota yang pernah bertugas di Bahagian Stor Barang Kes Berpusat di Kepala Batas sebelum bertukar ke Bahagian Jenayah Berat (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

Isterinya, Koperal Noor Ifa Md Sukari, 36, berkata penyakit suaminya mulai dikesan sejak tiga tahun lalu.

Menurutnya, sebelum ini dia menjalani rawatan kemoterapi dan radioterapi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sebelum dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP).

Walau bagaimanapun, kesihatannya semakin merosot sejak Jumaat lalu dan selepas menerima rawatan di Hospital Kepala Batas (HKB), mereka sekeluarga memilih untuk membawa pulang.

Kata Noor Ifa, dia hanya memaklumkan secara dalaman sahaja tentang hasrat suaminya ingin berjumpa rakan sejawat namun ia menjadi tular.

Iklan

Namun reaksi suami apabila menerima kunjungan rakan-rakannya menunjukkan bahawa dia sangat gembira dan mengenali semua yang datang melawatnya.

Baca juga [VIDEO] Kreatif sungguh warganet, lagu nasyid Raihan diubai suai jadi lagu PKP, memang layan…

Katanya lagi, mungkin dia ingin mencari semangat dan doa daripada rakan-rakannya ekoran penyakit yang dialaminya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor mengesahkan Azmi menghembuskan nafas terakhir pukul 12.18 tengah hari tadi di rumahnya di Taman Bertam Perdana, Kepala Batas, Pulau Pinang.

Iklan

Al-Fatihah. Semoga Allah merahmati rohnya dan menempatkan Allahyarham dalam kalangan orang-orang yang beriman.

Salam takziah kepada keluarga.