Dr Fatimah Hamid Don, profesor wanita Melayu pertama meninggal dunia, sumbangannya jadi inspirasi

BELIAU adalah wanita pertama di Malaysia yang memperoleh gelaran profesor. Kini Puan Sri Prof Emeritus Dr Fatimah Hamid Don tiada lagi, namun semangat dalam menimba ilmu dan curahan jasa baktinya kepada dunia pendidikan wajar dijadikan inspirasi dan pendorong buat kaum Hawa untuk terus menggapai kejayaan.

Meninggal dunia pada usia 89 tahun, balu kepada Allahyarham Tan Sri Ishak Pateh itu menghembuskan nafas terakhir pada 2.35 pagi 26 April 2023 dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Medan, Petaling Jaya. Semoga rohnya dicucuri rahmat.

Berikut adalah 16 fakta berkenaan pencapaian Allahyarhamah Dr Fatimah:

1-Beliau dilahirkan pada 10 Julai 1933 di Batu Gajah, Perak adalah anak ketiga daripada sepuluh adik-beradik. Bapanya, Hamid Don Mohd. Hashim merupakan kerani di Pejabat Tanah Batu Gajah manakala ibunya, Siti Fatimah Sham Sheikh Omar adalah suri rumah.

2-Fatimah mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Paloh, Ipoh (1941), dan Sekolah Melayu Penanti, Kubang Semang, Bukit Mertajam (1943) sebelum melanjutkan pelajaran ke Sekolah Perempuan Anglo-Chinese, Ipoh.

Baca juga: 10 fakta Tun Tengku Maimun, lakar sejarah Ketua Hakim Malaysia wanita pertama

Kredit foto: Facebook Dr Dima Marlina Mohd Rafi

3-Pada awalnya beliau menjadi guru sementara di beberapa sekolah rendah dan menengah (1952 hingga 1954) dan berkhidmat sebagai pegawai di Kementerian Pelajaran (1956).

4-Pada tahun yang sama, beliau memperoleh ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Geografi (1956) dari Universiti Malaya (UM), Singapura. Beliau kemudiannya berangkat ke London dan memperoleh Diploma Fonetik dan Linguistik serta Sijil Fonetik Inggeris dari African Studies, University of London (1958).

5-Sekembalinya ke Kuala Lumpur, beliau berkhidmat sebagai guru bahasa (fonetik) dan penterjemah di Pusat Latihan Harian (1958). Beliau kemudiannya dilantik menjadi pensyarah di Maktab Perguruan Bahasa (1959-1964).

6-Minat yang mendalam terhadap bidang pendidikan telah mendorong beliau mendapatkan Diploma Pendidikan di UM, Kuala Lumpur (1964). Beliau seterusnya ke Los Angeles untuk mendapatkan Ijazah Sarjana (Geografi) di University Southern California (1968) dan Ijazah kedoktoran (Pengajaran dan Kurikulum) pada 1971.

7-Beliau memulakan kerjayanya sebagai pensyarah pada tahun 1972 di Fakulti Pendidikan, UM dan dinaikkan pangkat kepada prof madya pada tahun 1974 seterusnya menjadi Dekan Fakulti Pendidikan pada tahun 1975.

Baca juga: Siti Hurrairah pengerusi negara Shell wanita pertama, 10 info menarik mengenainya

Kredit foto: Facebook Abdullah Hassan

8-Fatimah dilantik sebagai Profesor Perkembangan Kurikulum merangkap Pakar Runding Kurikulum, Kementerian Pendidikan. Beliau merupakan wanita Melayu pertama yang dilantik menjadi professor.

9-Semasa menjadi pendidik, beliau telah menulis dan mengeluarkan lebih 250 kertas kerja untuk majalah dan sebaran am. Antara makalah yang memuatkan tulisan beliau ialah Jurnal Pendidikan, Wanita, Commonwealth Education Liaison Committee Newsletter dan prosiding persidangan-persidangan lain. Beliau juga diberi amanat untuk terlibat menghasilkan draf Dasar Wanita Negara, Pelan Tindakan Pembangunan Wanita, laporan persidangan wanita sedunia PBB dan laporan Convention on the Right of the Child (CRC) serta Convention on the Elimination of All Forums of Discrimination Against Women (CEDAW).

9-Sumbangan beliau sangat besar terhadap bidang pendidikan di Malaysia. Beliau juga aktif dalam membangunkan dasar dan meningkatkan tahap kehidupan golongan wanita.

Kredit foto: Facebook Dr Dima Marlina Mohd Rafi

10-Dalam sektor pendidikan, tokoh ini pernah berkhidmat sebagai pakar dan menjadi ahli jawatankuasa dalam pelbagai organisasi serta pertubuhan. Antaranya ialah Ahli Task Force B bagi Kurikulum dalam jawatankuasa Kabinet yang melaksanakan Dasar Pelajaran Kebangsaan. Selain itu, beliau juga merupakan ahli dan penasihat bagi Rancangan Latihan Guru-guru Panduan, Kementerian Pelajaran, Ketua Pasukan Mid-Term Review of Teacher’s Education, RMK-2, Ahli Jawatankuasa Kurikulum Teknik dan Vokasional Bahagian Kajian dan Pelajaran dan Penasihat Projek Pelajaran Penduduk bagi Pusat Perkembangan Kurikulum.

11-Beliau juga pernah dilantik sebagai penasihat Pusat Perkembangan Kanak-kanak Yayasan Sabah, ahli Majlis Perpaduan Negara, Ahli Jawatankuasa Istilah Dewan Bahasa dan Pustaka, ahli Yayasan Pelajar MARA, ahli perseorangan Suruhanjaya Institut of Strategic and International Studies (ISIS) dan ahli Majlis Kebudayaan Nasional.

12-Fatimah merupakan mantan Presiden Malaysian Education for Science of Creative Intelligence, ahli tetap Dean’s Council, Graduate of School of Education, University of Southern California (sejak tahun 1973) dan ahli Persatuan Kakitangan Akademik UM serta Ahli Jemaah MARA (sejak 1976).

Baca juga: Tahniah Janushaa! Ini 7 info pegawai wanita TLDM pertama negara tamat pengajian di USNA

Iklan
Kredit foto: Pusat Kajian Kecemerlangan Melayu

13-Beliau adalah pengasas dan mempengerusikan beberapa institut pendidikan seperti Pusat Prasekolah EDUCARE dan Malaysia Child Resource Institute, Gender Focus Consult, Kesatuan Guru-guru Perempuan Cawangan Kuala Lumpur dan Majlis Pergabungan Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO).

14-Sepanjang kerjayanya, wanita hebat ini telah dianugerahkan pelbagai pingat dan darjah kebesaran. Antaranya ialah Darjah Setia Diraja Kedah (1989), Pingat Emas Tun Fatimah daripada Majlis Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Wanita Malaysia dengan gelaran Srikandi (1988), Ijazah Kehormat Doktor Persuratan daripada Universiti Perguruan Sultan Idris (2001) dan Profesor Emeritus oleh UM (2004).

15-Di peringkat antarabangsa pula, beliau diberi pengiktirafan Pi Lambda Theta (daripada Alpha Delta, University of California, Los Angeles 1971), Citizen of the Age of Enlightenment Award (World government of the Age of Enlightenment-Maharishi European Research University, 1976), Honorary Fellowship of the International Understanding Honor Society, Ohio University, Athens (1985) dan menjadi ahli seumur hidup International Council on Education for Teaching, Washington, Amerika Syarikat.

16- Beliau bersara  pada tahun 1990 selepas 26 tahun menabur bakti di Universiti Malaya.

Semoga sumbangannya kepada masyarakat menjadi pahala yang terus mengalir.

Iklan

Bukan sedikit jasa bakti dan pencapaian Puan Sri Prof EmeritusDr Fatimah Hamid Don dalam bidang akademik dan pendidikan sehingga menjadi profesor wanita yang pertama.

Mudah-mudahan ia menjadi pencetus semangat serta motivasi kepada kaum wanita untuk meraih kejayaan dalam bidang akademik. Semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat, al-Fatihah.

Baca juga: Anak jati Muar Timbalan Ketua Juruteknologi NASA, 6 fakta menarik Florence Tan

Sumber: Bernama, Pusat Kajian Kecemerlangan Melayu, Perpustakaan Negara Malaysia

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.