Dr Noor Hisham jawab isu takut mati, Menteri Agama turut tambah fakta menyokong

"Kullu nafsin zaa iqatul maut" - Dr Noor Hisham jawab isu takut mati
"Kullu nafsin zaa iqatul maut" - Dr Noor Hisham jawab isu takut mati
A
A
A

". إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ. كُلُّ نَفْسٍ ذَآئِقَةُ الْمَوْت . Tidak timbul isu takut mati kerana kematian boleh berlaku di mana- mana dan bila-bila masa sahaja."

Begitu jawapan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah semalam di sidang media harian perkembangan Covid-19.

Katanya, tidak timbul isu yang kita takut mati kerana sebagai orang Islam kita kena terima kematian itu akan berlaku bukan hanya turun padang atau tidak.

Tegas beliau ketika menjawab dakwaan takut mati dan tidak turun padang yang dilemparkan terhadapnya.

Beliau turut menjelaskan pengurusan Covid-19 di Sabah telah dirancang sebaik mungkin dengan matlamat utama bagi memutuskan rantaian jangkitan pandemik dan menurunkan kadar kematian.

"Bukan hanya turun padang atau tidak. Apa yang lebih penting adalah kita pasangkan niat untuk kita laksanakan tugas kita.

"Niat kita ketika ini adalah putuskan rantaian Covid-19... itu tujuan utama kita. Kita boleh berselisih pendapat tetapi apa yang pasti adalah kita laksanakan tanggungjawab untuk selamatkan negara kita daripada peningkatan kes dan kadar kematian," jelasnya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri turut mempertahankan beliau semalam dan mengataan bahawa Dr Noor Hisham sudah buat yang terbaik, sesuai dengan posisi beliau.

Tulisnya di Facebook, jawapan KP Kesihahan terhadap kenyataan tersebut dalam sesi sidang media petang semalam pun sudah padat dan memadai.

"Saya cuma ingin menambah beberapa noktah penting, sebagai kefahaman semua yang membaca dan ikut isu ini.

"Dr Noor Hisham adalah antara individu terpenting dalam usaha memerangi pandemik Covid-19.

"Saya yakin, kita semua bersetuju bahawa beliau perlu kekal sihat, bersemangat dan terus berjuang bersama-sama semua barisan hadapan demi maslahah negara," katanya.

Dr Zulkifli turut berkongsi kisah Sahabat Nabi SAW, Abu Ayyub al-Ansari.

"Saya teringat sebuah kisah berkaitan Sahabat Nabi SAW, Abu Ayyub al-Ansari radhiallahu ‘anhu. Diriwayatkan ketika tentera Muslim berperang dalam rangka menawan kota Konstantinopel, mereka berhadapan dengan jumlah tentera Rom yang amat ramai.

"Ada dalam kalangan tentera Muslim itu, seorang pahlawan yang menawarkan diri untuk menyusup masuk bersendirian dalam pasukan tentera Rom walaupun akibatnya yang bakal diterima pasti dia dibunuh. Lalu orang ramai mengatakan,

"Kenapa sanggup membinasakan diri? Tidakkah Allah mengatakan dalam al Quran, “Jangan kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan?”

"Kebetulan Abu Ayyub al-Ansari yang menjangkau 80 tahun pada ketika itu (juga termasuk dalam tentera Musllim), terdengar ayat al-Qur’an itu digunakan untuk menghalang pahlawan tersebut. Beliau berang dan membalas dengan menyatakan bahawa ayat itu diturunkan sebagai teguran kepada golongan Ansar yang segelintirnya mula berfikir-fikir untuk meninggalkan jihad dan balik ke kampung halaman untuk bercucuk tanam dan mengumpul harta. Ini kerana telah banyak siri kemenangan Islam dalam peperangan yang dilalui.

"Lalu turunlah peringatan Allah SWT: “Jangan kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan...” (Surah Al-Baqarah: 195)," kongsinya.

Baca juga “Macam mana kita nak lena jika ada orang memerlukan air,” Ustaz Ebit Lew

Kata beliau lagi, kisah itu sentiasa tersemat di hati dan menjadi pegangan hidup.

"Sekali kita berjuang, menegakkan prinsip dan kebenaran, apatah lagi perjuangan untuk keselamatan dan keamanan Negara, kita tidak akan berundur!

"Saya percaya, itulah semangat KP Kesihatan, jua seluruh barisan hadapan. Tak ada apa-apa yang boleh mengganggu fokus kita dalam usaha ini. Justeru, tidak timbul isu “takut mati”.

"Konsep kematian dalam Islam amat mudah. Kami yakin kematian akan menjengah bila-bila masa. Hanya Allah SWT sahaja yang Hidup Kekal dan tidak mati. Hanya Dia Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa Yang Kekal Abadi. Muslim tidak takut mati tetapi kami sentiasa digalakkan untuk mengingati mati.

"Apa yang kami risau dan takutkan adalah, adakah amalan kami cukup untuk menjadi bekalan bertemu Pencipta kita semua di alam sana?

"Kerana itulah Muslim yang sebenar, mewakafkan seluruh hidupnya untuk manfaat manusia lain. Sabda Rasulullah SAW:

خَيْرُ الناسِ أَنْفَعُهُمْ لِلناسِ"

“Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia” (Riwayat Ahmad)

"Moga kita menjadi insan yang sentiasa memberi manfaat kepada yang lain," doa beliau.

Terdahulu, sidang perbahasan Rang Undang-undang Pembekalan (Belanjawan) 2021 semlam kecoh apabila Datuk Seri Tiong King Sing (GPS-Bintulu) mengeluarkan kenyataan yang antara lain menyebut Dr Noor Hisham takut mati. Tiong mendakwa Dr Noor Hisham tidak berani

turun ke Sabah, ketika negeri itu mengalami kesan paling teruk akibat gelombang ketiga Covid-19. Dakwaan itu menyebabkan RSN Rayer (PH-Jelutong) bangkit membantah kenyataan itu, yang beliau sifatkan sebagai penghinaan kepada Dr Noor Hisham dan petugas barisan hadapan.

Sumber: Facebook Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca