Enggan bakal anak derita, pasangan doktor ini sanggup putus tunang selepas disahkan pembawa talasemia. Sebaknya baca!
Enggan bakal anak derita, pasangan doktor ini sanggup putus tunang selepas disahkan pembawa talasemia. Sebaknya baca!
SETAHUN berkenalan dan hampir menjejakkan kaki ke jenjang pelaminan, namun pasangan doktor ini akur tiada jodoh di antara mereka.
Perpisahan yang berlaku bukan disebabkan kehadiran orang ketiga atau campur tangan keluarga, sebaliknya mereka terpisah oleh penyakit talasemia.
Rupa-rupanya pasangan tersebut merupakan pembawa penyakit berkenaan.
Dalam satu thread di Twitter, doktor wanita yang menggunakan username Dr Farra itu berkata, beliau hanya mengetahui dirinya seorang pembawa selepas mengikat tali pertunangan.
Sedari awal, dirinya sudah maklum bahawa tunangan beliau seorang pembawa talasemia.
Sebelum bercerita lanjut tentang kisah yang bikin ramai terharu ini, SinarPlus akan menerangkan kepada anda serba ringkas tentang talasemia.
Talasemia merupakan penyakit genetik yang menyaksikan pesakit tidak dapat menghasilkan sel darah merah yang berkualiti dalam kuantiti mencukupi. Lelaki dan perempuan mempunyai peluang yang sama untuk mendapat penyakit berkenaan.
Disebabkan itu, penting bagi pasangan menjalani saringan talasemia bagi mengetahui status sekali gus mencegah perkahwinan dengan pembawa, selain serta mengelakkan daripada mendapat zuriat yang tidak sihat.
Ini adalah kerana jika pasangan anda seorang pembawa kepada genetik penyakit itu, ia akan memberi kesan talasemia major terhadap anak yang dilahirkan kelak.
Antara implikasi yang bakal dideritai oleh anak adalah:
1) Perlu melakukan pemindahan darah sepanjang hayat.
2) Si kecil mudah penat.
3) Kurang darah.
4) Limpa membengkak.
5) Berlaku kerosakan hati.
6) Masalah jantung.
7) Potensi tumbesaran terbantut.
8) Boleh berlaku perubahan pada struktur tengkorak dan wajah.
DEMI CINTA & PENGORBANAN
Berbalik kepada cerita Dr Farah, pengamal perubatan yang terbuka mengisahkan segalanya berkata, beliau tidak menyangka diri sendiri juga memiliki penyakit yang sama.
"Sejak awal lagi beliau sudah memaklumkan diri seorang pembawa (talasemia). Saya awalnya menyangka diri normal sehinggalah membuat pemeriksaan selepas bertunang. Rupa-rupanya, saya juga mengalami situasi yang sama.
“Justeru, risiko untuk mendapat talasemia major tu ada. Kami tak mampu nak tanggung sesuatu yang tak pasti dan akhirnya mengambil keputusan untuk berpisah," katanya dalam bebenang di Twitter.
Ujar Dr Farra, keputusan tersebut walaupun berat, namun perlu dilakukan kerana ia membabitkan masa depan mereka berdua termasuk anak yang bakal dilahirkan kelak.
Sementelah, mereka pernah sama-sama bertugas di sebuah Jabatan Pediatrik di sebuah hospital.
Justeru, kedua-duanya sedia maklum bagaimana situasi yang perlu dilalui kanak-kanak yang menghidap talasemia.
"Kami ingat kanak-kanak yang kami jaga sebelum ni. Kami kena masukkan darah mereka setiap malam dan mereka perlu bergantung kepada pemindahan darah. Cukup sedih mengenangkan ada dalam kalangan si cilik yang memberontak dan meluahkan rasa mengapa perlu menghidap penyakit seumpama itu.
“Itu antara sebab kenapa kami akur untuk berpisah dan tidak mahu mementingkan diri sendiri. Kasihan anak-anak nanti,” ujar Farra.
Meskipun tidak disatukan, wanita berhati murni itu mengakui bertemu dan jatuh cinta dengan tunangnya itu adalah satu rahmat yang tak terhingga.
“Terima kasih untuk setahun yang cukup indah. Mengenalimu adalah perkara terbaik yang berlaku pada saya.
“Namun perancangan ALLAH lebih baik. Saya sudah cuba, saya menangis, tetapi saya lepaskan anda. Semoga anda berbahagia selalu, saya akan tetap sayangkan anda. Terima kasih sayangku,” ungkap Farra dengan cukup sebak.
UJIAN GENETIK PRAIMPLANTASI UVF
Kisah sedih pasangan berkenaan yang tular itu bukan sahaja meraih simpati orang ramai, bahkan turut mendapat perhatian Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Canselor Tunku Mukhriz Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Mohd Faizal Ahmad.
Menerusi satu perkongsian di thread Twitter juga, Dr Mohd Faizal, mencadangkan pasangan itu supaya mencuba kaedah rawatan persenyawaan invitro (IVF).
"Sebenarnya ramai pembawa talasemia yang berkahwin di Malaysia. Kebanyakan pasangan dapat anak-anak normal melalui kaedah PGT-M (Ujian Genetik Praimplantasi) IVF. Malah, ada juga yang mendapat anak normal menerusi kaedah tersebut.
“Justeru, pada saya, tiada isu untuk mendapatkan cahaya mata dan pihak kami boleh membantu. Pesanan saya, kalian boleh merujuk berkenaan PGT-M IVF untuk pasangan pembawa Talasemia. Semoga Dr Farra dan pasangannya dimudahkan jodoh," jelas beliau lagi.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang