'Saya trauma sampai tak boleh tengok bunga api'. Ibu kepada Aleesya masih mengharapkan keajaiban buat anaknya

LULUH hati ibu dan ayah melihat keadaan anak yang masih kecil berselirat dengan wayar terbaring kaku di katil. Lebih memilukan, tidak diketahui punca yang menyebabkan penyakit itu.
Semuanya berlaku dengan pantas. Pada 27 September 2024, Norshamira Mohd Nazmin yang juga ibu kepada Raja Nur Aleesya Inaara mendapati suhu badan anaknya tinggi sedikit daripada kebiasaan. Disangka hanya demam biasa sahaja. Pada pagi hari yang sama selepas sarapan pagi, Aleesya kelihatan mengantuk dan mahu ditidurkan oleh ayahnya. Sebaik sahaja dimasukkan ke dalam buaian, si kecil itu dilihat kekejangan seluruh badan dan mulutnya berbuih.
Dalam keadaan mengandung lima bulan pada ketika itu, Norshamira menggagahkan diri bersama suami membawa anak perempuan mereka ke klinik kesihatan berdekatan. Sebaik sahaja sampai ke klinik, Aleesya dibawa ke Hospital Teluk Intan dengan menaiki ambulans. Di hospital, semuanya baik sahaja. Tiada sawan, cuma demam yang biasa sahaja. Sebaik pulang ke rumah, keesokan harinya, si kecil itu tiba-tiba meronta-ronta dengan melonjakkan badannya berkali-kali.
Menambah kerisauan, Aleesya juga tidak boleh tidur selama 26 jam dan kerap menangis.
“Kami jadi buntu ketika itu dan mengambil keputusan untuk pergi mendapatkan rawatan tradisional kerana menyangka dia terkena buatan orang.
“Pulang ke rumah, keadaannya masih sama sehinggalah pada jam 1.30 pagi, saya perasan matanya mula ‘lari‘ dan dia bernafas menggunakan mulut. Saya kejut suami dan segera bawanya ke hospital.
“Sampai di ruang kecemasan, Aleesya dimasukkan ke zon merah dan doktor terpaksa melakukan prosedur intubasi kerana oksigen sudah tidak sampai ke otak“ kongsinya sebak.

Hasil CT scan mendapati terdapat ketulan pada otak dan keadaan Aleesya ketika itu amat kritikal. Dia dihantar ke Hospital Ipoh untuk mendapatkan rawatan lanjut. Apabila pihak hospital membuat MRI, keputusannya amat mengejutkan. Terdapat kuman yang banyak di selaput otak kiri dan kanan anaknya. Radang sawan juga terlampau agresif sehingga doktor tidak dapat membaca keputusan graf EEG.
Ibu yang berusia 27 tahun itu dan suaminya, Raja Mohd Asnawi Raja Ahmad Hashim, 28, menerima takdir ALLAH dengan hati terbuka walaupun berasakan dunia gelap tanpa sinarnya.Doktor memberitahu mereka bahawa Aleesya menghidap Fires Epilepsy, penyakit sawan jarang berlaku di Malaysia. Anaknya ketika itu berusia setahun sembilan bukan antara pesakit termuda ketika itu.
“Sawan yang menyerang Aleesya bukan sawan biasa. Doktor beritahu anak saya ada harapan 50/50 sahaja kerana tiada ubat khusus untuk menghentikan serangan kuman pada otak Aleesya. Doktor terpaksa komakan dia sebab nak bagi sawan itu berhenti.
“Bacaan tekanan jantung dia terlalu tinggi ketika itu walaupun sudah intubasi. Sawan masih menyerang setiap hari dan setiap masa. Sehinggalah doktor berjumpa kami sekali lagi keesokan harinya dan memberitahu mahu memasukkan ubat biologi.
“Doktor ada beritahu ubat ini sangat berisiko kerana Aleesya masih kecil. Kemungkinan dia akan lumpuh sepenuhnya dan kalau sedar sekali pun, tidak akan normal seperti kanak-kanak lain“ jelasnya yang kini sedang berpantang selepas melahirkan anak kedua pada Januari lalu.
Kongsinya lagi, rawatan seterusnya memerlukan doktor mengambil cecair tulang sum-sum untuk mengenal pasti kuman sebenar yang menyerang anak kecil tersebut.
“Bila doktor cakap tiada antibiotik untuk kuman ini, kami rasakan seperti tiada harapan untuk Aleesya. Hampir putus asa saat itu,“ dedahnya.

Empat bulan berada di hospital bukanlah satu jangka masa yang pendek. Semasa sarat mengandung dan kini sudah pun melahirkan, tanpa sokongan kuat daripada keluarga pasti ibu dan bapa Aleesya sudah pun kecundang di tengah jalan. Perkembangan terbaharu, doktor terpaksa menebuk leher Aleesya untuk memudahkannya bernafas selain perlu minum susu khas yang tidak bergula. Lebih memilukan, si kecil itu perlu makan 21 jenis ubat sehari. Walaupun sedar tetapi pandangannya kosong.
Ramadan kali ini kata Norshamira cukup memilukan. Sementelah ketika Aleesya sihat, si kecil itu suka mengikut ayahnya ke bazar Ramadan.
“Begitu juga setiap kali saya masak di dapur, pasti dia akan ikut sekali. Rumah ini rasa sunyi tanpa suara dia.
“Saya trauma sampai tak boleh tengok bunga api sebab itu kesukaan Aleesya.
“Ujian ini sangat berat tapi kami kena reda,“ujarnya yang mengakui Aleesya kini menunjukkan semangat juangnya.
Ibu muda itu turut memohon orang ramai untuk menitipkan doa buat kesembuhan anak perempuan kesayangannya itu.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang