PENERJUN wanita negara Nur Dhabitah Sabri mendapat tempat keempat di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Penerjun berusia 22 tahun itu menampilkan aksi konsisten pada setiap terjunan lima pusingan acara tersebut, namun nasib tidak menyebelahinya. Sorotan kamera ketika beliau mengalirkan mata membuatkan ramai tersentuh.

Penerjun berasal dari Kuala Lumpur mengumpul 326.15 mata selepas lima pusingan.

Dalam perkembangan terkini, tular di laman sosial tentang perkongsian beliau mengenai latihan yang berat dilaluinya pada tahun 2016. Dalam latihan itu, tubuh Dhabitah seolah -olah ‘dilipat’ untuk dilenturkan.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

“Begini cara Pasukan Penerjun Malaysia berlatih. Seperti yang saya beritahu sebelum ini, latihan untuk menjadi atlet kelas dunia bukan mudah.

“Sebab itulah saya amat menghargai segala sokongan dan dorongan daripada anda semua. 

“Jangan berhenti menyokong saya dan jangan membenci saya. Saya cuba melakukan yang terbaik untuk menjadi yang hebat.

“Itu salah saya (di dalam gambar), saya dipijak…tapi saya tidak mati,” tulisnya dalam hantaran pada 26 Ogos 2016 di laman sosial Facebook.

Rata-rata warga maya melahirkan kekaguman terhadap latihan yang dilalui Dhabitah.

Nur Dhabitah binti Sabri lahir pada 12 Julai 1999 ialah pemenang pingat gangsa di acara sukan terjun di Sukan Komanwel 2014 dalam acara wanita 10 meter platform berirama dengan Pandelela Rinong.

Dhabitah merupakan anak bongsu daripada empat adik-beradik mendapat pendedahan dalam sukan akuatik melalui kelab-kelab renang ketika berusia tujuh tahun.

Selepas terlibat dalam beberapa pertandingan, bapanya membuat keputusan untuk menukarnya ke bidang terjun kerana fizikal tubuhnya yang kecil.

Pingat pertama yang dimenangi Dhabitah ialah ketika Sukan Malaysia (SUKMA) di Terengganu pada 2008 semasa beliau baru berusia sembilan tahun.

Pada Jun 2012, Dhabitah menjadi penyelam termuda Malaysia untuk memenangi pertandingan antarabangsa senior dengan memenangi dua acara di Kejohanan Renang Asia Tenggara di Singapura.

Pada usia semuda 14 tahun, beliau memenangi pingat emas dalam platform seirama 10m bersama Leong Mun Yee di Sukan SEA 2013.

Memetik laporan portal berita tempatan, Dhabitah yang sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang Keselamatan dan Kesihatannya di Universiti Cyberjaya mengambil cuti untuk fokus pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.

Iklan

Baca juga Skuad Badminton ‘Berbisa,’ Penyumbang Pingat Paling Banyak Sukan Olimpik Buat Negara

“Tanpa banyak kejohanan (kerana pandemik Covid-19), saya benar-benar memberi tumpuan kepada latihan dan ia kadang-kadang melelahkan untuk melakukan perkara yang sama setiap hari tetapi saya berusaha untuk membuat diri tetap termotivasi.

“Saya melakukan ini sudah lama tetapi saya tidak mempunyai rancangan untuk berhenti. Saya  ingin meneruskan melebihi Sukan Olimpik Tokyo ini,” kata Dhabitah kepada The Star.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengucapkan syabas kepada penerjun negara Nur Dhabitah Sabri yang telah mempamerkan aksi dan tentangan yang amat mengagumkan.

Iklan

Beliau dalam hantaran di laman Facebook rasmi beliau malam ini berkata biar pun tanpa pingat, kelibat dan aksi Nur Dhabitah nyata menghiburkan bersama semangat yang tidak mudah mengalah.

“Layak ke final dan berada di tempat keempat daripada 12 peserta dalam temasya sukan tersohor, Sukan Olimpik Tokyo 2020, juga adalah satu kejayaan yang perlu anda banggakan.

“Jangan sedih. Perjalanan anda masih jauh. Masih banyak kejayaan yang boleh dilakar termasuk pada edisi Sukan Olimpik akan datang. Senyumlah Nur Dhabitah!” katanya.

Pada usia yang masih muda, sudah tentu ini lebih banyak lagi peluang untuk beliau beraksi di Olimpik pada masa akan datang.

Sumber: Facebook divingstardhabitah , olympics.com