JIKA tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.

Demikianlah peribahasa yang tepat menceritakan kegigihan dan usaha keras seorang penghantar makanan yang bekerja sambil belajar sepenuh masa.

Penat lelah Mohd Akmal Azhar, 36 tahun, akhirnya membuahkan hasil apabila dia berjaya bergelar graduan Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam bidang Teknologi Farmaseutikal.

Baca juga :11 Tahun Kaji Mengenai Ketum, Pakar USM Menangi Anugerah Penyelidikan Antarabangsa

Berita itu menarik perhatian ramai termasuk Istana Pahang. Baru-baru ini Mohd Akmal telah diundang ke Istana Abdul Aziz mengadap Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang tertarik dengan semangat yang ditunjukkannya.

Dalam pertemuan itu, Tengku Hassanal  turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada Mohd Akmal atas kecekalan dan kejayaan beliau menyiapkan tesis pengajian dengan sempurna.

Mohd Akmal berkata, dia bersyukur kerana dapat menyelesaikan kajiannya berkaitan penghasilan produk probiotik dalam bentuk tablet yang mempunyai ketahanan dari asid dalam perut.

“Tiga tahun pertama saya sememangnya fokus dalam tugasan di makmal. Tahun keempat saya mula fokus dalam penulisan tesis.

“Memandangkan ketika itu negara dilanda pandemik Covid-19, justeru saya memilih untuk bekerja di waktu siang sebagai penghantar makanan untuk menambah pendapatan dan menyiapkan penulisan tesis pada waktu malam,” katanya.

 

Bapa kepada lima cahaya mata itu pernah bertugas sebagai pensyarah di Universiti Malaysia Pahang  selama enam tahun sebelum kontraknya tidak disambung pada tahun 2017.

Mohd Akmal kemudiannya menyambung pengajian ke peringkat PhD setelah UMP menawarkan pembiayaan selama tiga tahun bagi menyiapkan tesisnya.

Bagaimanapun pada tahun keempat pengajian, beliau perlu mencari sumber pendapatan sendiri bagi membiayai pengajiannya itu.

Baca juga : Suami Isteri Genggam PhD Usia 26 Tahun, Berkahwin Dan Ada Anak Bukan Penghalang

Lelaki itu mengakui bekerja sebagai penghantar makanan dan dalam masa yang sama menyiapkan tesis PhD adalah sangat mencabar.

Mohd Akmal menghabiskan masa antara 10 hingga 12 jam sehari menghantar makanan yang dipesan pelanggan di sekitar Kuantan.

“Cabaran paling utama sebenarnya dari segi masa. Ia kerana apabila sekatan dilonggarkan dan sewaktu itulah juga menjadi sibuk.

“Apabila buat penghantaran itu, dapatlah pulangan dan perasaan itu membuatkan saya untuk terus mencari duit selagi boleh.

“Namun, dalam masa sama kita ada tanggungjawab lain kerana kita perlu selesaikan urusan pengajian, jadi saya kena pandai bahagikan masa,” katanya.

Mohd Akmal memperuntukkan masa satu jam sekurang-kurangnya setiap malam bagi penulisan tesis.

Dia yang turut memiliki Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana dalam Bidang Pengajian Bioteknologi dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata buat masa ini akan meneruskan pekerjaannya sebagai penghantar makanan sementara mendapat tawaran dari mana-mana pihak.

Berusahalah bersungguh-sungguh mencapai apa yang dicita-citakan. Semoga kisah kejayaan Mohd Akmal ini menjadi pembakar semangat dan inspirasi buat kita semua.

Jangan lupa follow kami di Instagram!