ISLAM tidak membataskan umatnya saling melakukan kebaikan tanpa mengira agam, kaum, budaya ataupun warna kulit.

Orang yang berbuat baik akan disukai dan dikasihi ALLAH, malah diberikan ganjaran pahala.

Seperti mana dilakukan oleh pengacara dan usaha popular, Neelofa yang mengambil inisiatif menyumbang katil kepada pihak hospital ekoran peningkatan kes harian jangkitan Covid-19.

Pemilik nama sebenar, Noor Neelofa Mohd Noor itu telah membantu barisan hadapan Hospital Melaka, Melaka dengan memberi sumbangan kelengkapan katil bernilai hampir RM100,000.

Sumbang RM105,000 keperluan

Justeru, terinspirasi dengan tindakan selebriti tersebut, Asri Ahmad Academy bersama Murtadha Dakwah Centre (Madad) tampil memberi sumbangan mesin perubatan Arterial Blood Gases (ABG) kepada Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah.

Pengarah Urusan Madad, Yaakub Yusra Mohd Yusoff berkata, sumbangan itu dibuat selepas mendapat maklumat berkaitan keperluan mesin ABG di beberapa buah hospital di Kedah.

“Kami memang dimaklumkan secara spesifik tentang keperluan segera mesin ABG di tiga hospital ini. Oleh itu, berbekalkan sedikit dana yang ada kami cuba bantu sedaya mungkin.

“Hospital terlibat ialah hospital di Alor Setar, Hospital Jitra dan Hospital Baling,” katanya yang menganggap sumbangan tersebut sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat syarikat.

Baca juga #SiBibirMerah: Percaya ‘ustaz’ rawat kanser usus, rupanya cebisan ayam. 2 pakar kongsi cerita…

Iklan

Jelasnya, situasi itu secara tidak langsung membuktikan bahawa kemudahan peralatan perubatan amat diperlukan oleh pihak hospital, tambahan kes Covid-19 meningkat sejak kebelakangan ini.

“Sebenarnya, keperluan untuk bantuan perubatan adalah sangat banyak memandangkan lebih banyak Unit Rawatan Rapi (ICU) terpaksa dibuka,” jelas beliau.

Beliau turut menambah, pihaknya berharap lebih ramai individu, pertubuhan ataupun syarikat tampil membantu dari segi peralatan perubatan.

Iklan

“Kita ibarat sedang berperang dan wajarlah bersama-sama mempertahankan kesejahteraan negara.

“Lagi cepat pandemik ditangani, maka lagi cepat kita menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya.

Alhamdulillah, moga lebih ramai insan tampil membantu bagi keselesaan orang ramai.