SUKAR untuk menidakkan situasi seumpama ini. Acap kali mendengar perkataan ‘kanser’ daripada mulut doktor, pesakit mulalah berasa dunia menjadi gelap seketika dan masa ibarat terhenti.

Seolah-olah kanser itu adalah penamat kehidupan yang mana pesakit hanya menunggu kematian.

Walhal, penyakit itu ada penawarnya, asalkan kita berusaha, merujuk pakar perubatan profesional dan bertawakal kepada ALLAH. Bukannya, terus meratapi kesedihan di bucu katil.

Berbicara soal kanser, Bibir Merah mendapati sesetengah individu lebih cenderung mendapatkan rawatan alternatif berjumpa bomoh atau ‘ustaz’ berbanding berurusan dengan doktor pakar.

Mengapa? Adakah mereka berpendapat rawatan di hospital terlalu mahal? atau terpengaruh dengan ayat-ayat manis dan penawar lebih murah ditawarkan pengamal perubatan alternatif? Jawapan hanya ada pada kelompok terbabit.

pesakit
BAYANGKAN pada tahun 2021 masih ada pesakit yang lebih cenderung mendapatkan rawatan daripada pengamal perubatan ‘ghaib’ berbanding hospital.

Nampaknya situasi sedemikian turut dialami oleh dua pakar perunding daripada Hospital Pantai Kuala Lumpur sepanjang merawat pesakit kanser.

Bayangkan, dek terlalu terkejut disahkan menghidap kanser ada pesakit terus menghilangkan diri dan tidak mendapatkan rawatan segera.

Pakar Bedah Kanser Usus Besar, Dr Luqman Mazlan memberitahu, beberapa tahun kebelakangan ini, kanser kolon menunjukkan peningkatan drastik dalam kalangan lelaki dewasa di Malaysia.

Menurut Laporan Registri Kanser Kebangsaan Malaysia 2012-2016 terbitan tahun 2019, sebanyak 14.8 peratus daripada kes kanser dialami lelaki adalah kanser usus besar dan diikuti kanser paru-paru (13.2 peratus).

lelakiWalaupun secara amnya, penyakit kanser lebih banyak dikesan dalam kalangan masyarakat Cina, tetapi penghidap kanser berbangsa Melayu majoritinya menunjukkan reaksi lebih dramatik.

Menurut Dr Luqman, ada pesakit terus membuat keputusan mendapatkan rawatan alternatif.

“Kita perlu faham. Sekiranya sel kanser tersebut tidak dikesan dari awal, ia akan merebak lebih jauh hingga menjejaskan organ sekitarnya akibat tidak mendapatkan rawatan.

“Apatah lagi dengan kedudukan usus yang berhimpit dengan organ lain dalam abdomen. Ini menyukarkan pembedahan dan rawatan selanjutnya,” katanya.

Bukan itu sahaja, beliau juga berkongsi situasi pesakit kanser yang lebih mempercayai rawatan alternatif sehingga menyebabkan penyakit itu melarat.

dr luqman
DR LUQMAN menasihatkan individu yang menunjukkan tanda-tanda seperti perubahan kekerapan membuang air besar dan sakit perut segera berjumpa pakar perubatan profesional.

“Saya pernah berjumpa seorang pesakit yang menghilangkan diri lebih kurang enam bulan selepas disahkan menghidap kanser usus besar. Dia datang berjumpa saya membawa sampel kanser di dalam beg plastik.

“Katanya kanser usus besar tersebut berjaya dibuang dengan bantuan seorang ‘ustaz’. Saya meminta izin daripada pesakit untuk membuat ujian terhadap sampel yang dibawa itu.

“Selepas dihantar ke makmal, rupa-rupanya ‘kanser’ terbabit adalah cebisan daging ayam!. Akhirnya pesakit itu terpaksa menjalani pembedahan lebih kompleks kerana kanser sudah melarat,” ujarnya yang turut menitipkan nasihat.

Tutur Dr Luqman: “Individu yang menunjukkan tanda-tanda seperti perubahan kekerapan membuang air besar, sakit perut berpanjangan dan pembuangan najis berdarah sila ke ke hospital segera untuk pemeriksaan lanjut.”

Itu ragam pesakit lelaki yang menghidap kanser. Jangan tak tahu golongan wanita juga tidak terlepas dalam situasi serupa.

Pakar Bedah Payudara dan Endokrin, Dr. Azlina Firzah Abdul Aziz, misalnya berkongsi cerita hampir sama.

Berbekalkan pengalaman lebih 20 tahun beliau sentiasa berdepan dengan ramai wanita yang mengalami tekanan selepas mendengar hasil diagnosis.

sedih“Sebagai seorang wanita, saya juga memahami perasaan wanita lain apabila mendengar tentang kanser payudara.

“Mereka takut kehilangan ‘aset kewanitaan’ sehingga sanggup mencari pengamal perubatan ghaib yang menjanjikan kesembuhan tanpa perlu pembedahan.

“Seorang pesakit saya juga pernah menghilangkan diri. Kami cuba menghubunginya, tetapi gagal. Tidak lama selepas itu, dia datang berjumpa dengan saya dan menunjukkan kesan parut di payudara,” imbas Dr Azlina Firzah.

Beliau kaget melihat keadaan pesakitnya, apatah lagi mengetahui ‘alatan pembedahan’ yang digunakan pengalaman perubatan tradisional terbabit.

“Masha-ALLAH! Rupa-rupanya bomoh merawatnya menggunakan pisau untuk mengeluarkan ketulan kanser tersebut.

“Saya terkejut, tetapi sebagai pakar perubatan profesional saya perlu menjalankan tugas menyelamatkan pesakit walaupun sudah melarat sebegitu,” terang beliau.

Tambah Dr Azlina Firzah, kanser payudara merupakan kanser paling banyak menyerang wanita di Malaysia pada kadar 34.1 peratus berbanding jenis kanser lain.

Walaupun inisiatif kebangsaan mengesyorkan ujian saringan mamogram dijalankan terhadap wanita berusia 40 tahun ke atas, namun beliau berharap agar wanita muda juga mengadakan ujian pemeriksaan payudara sendiri secara bulanan dan diikuti saringan ultrasound.

Dr Azlina Firzah,
DR Azlina Firzah (gambar kecil) menyarankan agar wanita muda turut menjalani ujian pemeriksaan payudara sendiri secara bulanan dan diikuti saringan ultrasound.

“Sekiranya seorang wanita itu mempunyai sejarah kanser payudara dalam kalangan keluarga terdekat seperti ibu dan adik-beradik dinasihatkan untuk membuat ujian saringan dan mendapatkan rundingan secepat mungkin oleh doktor pakar.

Iklan

“Bukan hendak menakut-nakutkan, tetapi jika rawatan kanser payudara ditunda, kos perubatannya juga mungkin bertambah,” tegasnya.

Bibir Merah juga bersetuju dengan pandangan dua pakar perubatan profesional tersebut. Ingatlah! kita kini berada dalam tahun 2021.

Justeru, nasihat Bibir Merah adalah lebih baik pemikiran dan tindakan yang kita lakukan khususnya berkaitan kesihatan selari dengan modenisasi hari ini.

Jangan kerana ingin berjimat, kesihatan dan nyawa diperjudikan atas tangan mereka yang tiada kepakaran.

 

Foto: Canva dan Hospital Pantai Kuala Lumpur 

 

 

 

Iklan