ALLAH dah jentik hati, kenapa perlu saya bertangguh lagi? Transisi Dahlia bukan ikutan

A
A
A

IMPAK iklan Trivago kepada empunya nama, Dahlia Shazwan sememangnya telah membawanya menerjah gelanggang populariti yang tidak pernah terlintas dalam benak fikirannya.

Bukan sahaja orang dewasa malah pemimat cilik pun akan terpegun seketika melihat wajah dan suara Dahlia tatkala iklan itu muncul menerusi layar kaca sejak tahun 2016. Anak kesayangan, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Siti Aafiyah Khalid pun antara yang teruja melihat kelibatnya.

Seluruh jiwa yang ditumpahkan untuk memberi yang terbaik dalam iklan berkenaan, nampaknya berhasil. Barangkali, sehingga ke hari ini, Dahlia tidak berhenti mengungkap ucapan syukur dengan kejayaan yang dikecapinya. Masakan tidak, jolokan 'Gadis Trivago' masih melekat sekali gus menunjukkan keutuhan pengaruh diri Dahlia dalam dunia pengiklanan.

Puas diulit kerdipan bintang dalam dunia glamor, Dahlia berkata, dirinya umpama memperoleh kekuatan luar biasa sebaik menjejakkan kaki ke Tanah Suci.

"Sepanjang saya tunaikan umrah di sana pada awal tahun ini, hati rasa lebih tenang, rendah diri dan mensyukuri nikmat ALLAH SWT. Memang dah niat selepas balik nanti nak bertudung. Pada awalnya nak pakai ketika Ramadan. Bagaimanapun saya takut tak sempat, tanpa menoleh ke belakang, saya terus ubah penampilan," bicaranya.

dahlia trivago

Pada pagi Jumaat minggu lalu, cahaya mata sulungnya yang comel, Freda Shafiq, 2, turut hadir menemaninya pada sesi fotografi di Studio Sinar Karangkraf, Shah Alam.

Ah! Kata-kata sinis manusia sentiasa menerpa. Bagi anak kelahiran Kuala Lumpur itu, beliau nyahkan sahaja sogokon pernyataan yang menyebut bahawa dirinya mentransisikan diri hanya untuk seketika.

"Apa yang penting, saya berubah kerana diri sendiri dan bukannya orang lain. ALLAH dah jentik hati dengan semua urusan (kerja, keluarga dan anak) dipermudahkan, jadi kenapa perlu saya bertangguh lagi?

"Jika saya masih tak berubah dan abaikan perasaan (nak berubah), ia seolah-olah saya cuba buang satu nikmat yang ALLAH dah bagi. Bukan senang nak dapat hidayah sebenarnya.

"Untuk menjadikan diri lebih baik daripada sebelumnya, kita perlu tambah ilmu sebab iman pun kadang-kadang ada turun naiknya. Kena rajin-rajin cari jawapan hidup," katanya dengan nada meyakinkan.

Kosongkan almari

Melihat kepada penampilan Dahlia, boleh dirumuskan bahawa tuan punya badan sangat menitikberatkan auratnya. Transisinya bukan sekadar melepaskan batuk di tangga.

Hal itu diakui oleh warganet yang memuji prinsipnya. Bukan sahaja memakai busana jenis longgar malah cara pemakaian hijab dan stoking, membuatkan ramai terinspirasi dengan penghijrahan wanita tinggi lampai itu.

dahlia trivago

Ketika penulis bertanya kepada Dahlia, mudahkah untuk berubah? Graduan Ijazah Komunikasi Massa, Universiti Teknologi Mara itu lantas menjawab:

"Saya mengosongkan almari untuk pakaian yang lebih sopan dan sesuai. Banyak baju yang saya beri orang dan ada yang disimpan. Cakap soal tudung, memang tak nafikan banyak koleksi ditambah dengan tajaan lagi. Alhamdulillah, saya selesa dan lebih tenang dengan penampilan sekarang."

"Setakat ini, belum ada orang mempertikaikan imej dan penampilan. Ramai yang beri sokongan dan tip bertudung termasuk perkongsian pengikut dalam media sosial," beritahu pengacara hiburan sensasi H!Live itu.

Arikel berkaitan: ‘Mental ‘koyak’ sehingga saya takut nak keluar rumah, tengok handphone’- Sharifah Rose

Pun demikian, terdapat momen yang menggeletek hati. Wanita yang bersuara lunak dan petah berbicara itu mengakui, ketika mula berhijrah, beliau mengambil masa agak lama untuk bersiap.

"Saya masih ingat lagi, masa mula-mula nak lilit tudung tu, ambil masa sampai 40 minit, memang sampai berpeluh-peluh dan tertekan, suami yang tolong bagi kipas. Saya akui, saya memang tak ada pengalaman sangat memakai tudung sebelum ini. Alhamdulillah, saya banyak belajar dan dapat tip daripada kawan-kawan. Sekarang ni, nak bertudung dalam 15 minit sahaja," ceritanya sambil terketawa.

Mengacara program agama

Sesungguhnya lidah manusia lebih tajam daripada pisau atau parang. Terdapat individu memang sikap hakikinya suka mengecam. Dahlia tidak terkecuali menjadi mangsa apabila cakap-cakap nakal apabila menyebut program hiburan yang dikendalikannya tidak seiring dengan penampilannya.

Mendengar soalan klise itu, anak ketiga daripada lima beradik itu hanya tersenyum lalu beliau memberi penegasan yang berbunyi: "Kepayahan setiap orang tidak sama. Jujur saya katakan, perubahan ini untuk diri sendiri dan tuntutan agama. Semua orang ada versi kesederhanaan yang berbeza. Bagi saya, bersederhanalah dalam penampilan.

"Dalam dunia yang suka mencari kekurangan dan jatuhkan orang, lebih baik kita doakan mereka dan diri sendiri. Apa yang penting, kita buat untuk ALLAH dan mencari rezeki dengan niat yang baik-baik."

dahlia trivago

Dahlia meneruskan naratif kata-katanya yang penuh bermakna. Tutur isteri kepada Shafiq Ismet itu, kekurangan dirinya akan cuba diperbaiki dari semasa ke semasa. Katanya lagi, dirinya sesekali tidak akan ambil mudah tentang urusan duniawi.

"Saya bukannya nak tunjukkan diri lebih baik daripada orang lain, tetapi jika perubahan ini memberikan inspirasi kepada orang, apa salahnya. Bila kita berubah, ALLAH jua dekatkan orang-orang yang baik,” tambahnya.

Kepada yang masih tidak tahu, Dahlia kini mempunyai akaun Youtube yang dinamakan Dahlia Shazwan Channel yang mempunyai 21,000 pengikut dengan sembilan video.

Antara yang menggamit pandangan ramai adalah kandungan berbentuk Islamik yang dimuat naiknya. Antaranya video Khusyuk Bukan Hanya Dalam Solat dan Bagaimana Melawan Perasaan Riak?

Artikel berkaitan: “Nina ubah hidup saya”: Noh Salleh

Bersembang mengenainya, Dahlia dengan rendah diri berkata, dirinya masih berjinak-jinak mendokumentarikan perjalanan hidupnya demi menimba ilmu agama.

"Masa mula-mula berhijab, banyak persoalan yang timbul. Jadi saya panjangkan kepada ustaz yang lebih arif. Apa-apa yang saya nak belajar mengenai Islam, saya rekod dan videokan untuk perkongsian bersama," katanya yang terbuka untuk mengacara mengacara program santai agama namun setakat artikel ini ditulis, beliau masih belum menerima sebarang tawaran.

Iklan antarabangsa

Melepaskan sesuatu yang sudah sinonim dengan diri memang sukar. Untuk Dahlia, ramai merasakan percaturannya berhijab telah menjadi titik utama utama beliau terlepas menghiasi wajah Trivago.

Namun, persepsi itu tidak benar. Kata Dahlia, kontraknya bersama aplikasi percutian itu tamat selepas empat tahun, tiada kena mengena dengan transformasi dirinya.

"Sewaktu mengikat kontrak dengan Trivago, mungkin ramai tak tahu saya memiliki kerja sepenuh masa sebagai pengacara, wartawan dan penerbit. Namun, saya akui orang kenal saya sebab iklan itu yang disiarkan di semua saluran.

dahlia trivago

"Bila sudah tamat kontrak, jujur saya akui, saya tidak rasa 'kehilangan'. Kini, saya fokus dengan kerjaya yang ada, tetapi tidak menafikan, populariti itu (iklan) hadir dan ia sebagai satu bonus dalam hidup saya," katanya.

Pun demikian, Dahlia memahami bahawa penghijrahannya sedikit sebanyak berupaya membataskan peluangnya untuk tampil sebagai jurucakap iklan jenama antarabangsa.

"Ya, ia agak mustahil, namun apa yang boleh saya katakan, saya tak rasa rugi pun bawa imej berhijab jika tak dapat peluang seumpama itu sebab ada tawaran lain yang sebelum ini saya tak dapat. Jika tiada rezeki itu, ALLAH bukakan pintu yang lain.

"Lagipun apa yang saya ada (pendedahan dan tawaran kerja) sekarang ini pun datang secara organik dan sedikit pun tidak beri tekanan walaupun tiada lagi tawaran iklan-iklan popular," tegas Dahlia.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca