BIBIRNYA berkali-kali mengungkapkan perkataan maaf. Masakan tidak, pertemuan yang dijadualkan bersama kru SinarPlus pada pukul 2 petang, Isnin lalu terpaksa dilewatkan sejam. 

Itu semua gara-gara terperangkap dalam kesesakan lalu lintas dari Jalan Ampang, Kuala Lumpur menuju ke Studio Kumpulan Karangkraf di Shah Alam, Selangor. 

Jujur kata pemilik nama model dan Instafamous, Sharifah Rose Sabrina Syed Mohd Mazfir, beliau memenuhi jadualnya dengan menjalani sesi fotografi fesyen pada sebelah pagi. 

Pun begitu, penulis memahami situasi yang tidak disengajakan itu. Apatah lagi, kini sudah ramai kembali bekerja sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula.

Begitu juga dengan Sharifah Rose atau mesra disapa dengan Rose yang memiliki jumlah pengikut seramai 663,000 menerusi  Instagramnya @sharifahrose_.

“Sama seperti kebanyakan individu lain, jadual harian saya juga kembali padat. Selain menjalani fotografi produk tudung dan busana, saya juga perlu bertemu klien dan pada masa sama menghadiri kuliah online.

“Biarpun penat ke sana dan ke sini sehingga kadangkala tak sempat menjamah makanan, tetapi saya gembira kerana berpeluang menikmati semula kehidupan yang proaktif. Cuma bezanya kini, perlu berwaspada dengan penularan virus Covid-19,“ tutur anak kelahiran Shah Alam, Selangor itu yang tampak anggun dalam persalinan dres rona coklat gelap.

Bagi golongan hijabi moden, wajah Rose sememangnya tidak asing lagi dalam platform media sosial. Banyak jenama kosmetik dan fesyen lokal selesa menggunakan khidmat beliau untuk mempromosikan produk.

Barangkali, wajahnya yang fotogenik, senyuman manis dan gaya bersahaja ketika melakukan kempen iklan digital antara faktor Rose dilamar pelbagai pihak. 

Menelusuri perjalanan karier yang dilihat semakin bersinar, beliau menzahirkan bahawa kejayaan manis tersebut hadir tanpa dirancang.

Dunia glamor sedikitpun tidak pernah terbit dalam kamus hidupnya, kata gadis berusia 22 tahun itu.

“Segala-galanya bermula selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lima tahun lalu. Enggan goyang kaki di rumah, saya memilih untuk bekerja sambilan di sebuah kafe di Shah Alam.

“Ketika waktu rehat, saya rakam gambar selfie  dan muat naik dalam Instagram peribadi kerana baru sahaja membuka akaun laman sosial tersebut. Dua hari kemudian, saya kaget seketika apabila melihat jumlah pengikut mencanak naik.

“Walhal, dalam Instagram saya hanya ada  dua keping foto selfie sahaja. Tiada sebarang content (kandungan) yang menarik pun,“ cerita Rose anak sulung daripada dua beradik itu sambil tersenyum menampakkan barisan giginya yang tersusun cantik. 

Ilmu jadi keutamaan 

sharifah rose
BIARPUN memperoleh pendapatan lumayan dalam bidang modelling, namun Rose tidak pernah mengabaikan ilmu untuk bekalan masa depan.

Bertitik tolak daripada episod tersebut dan sebagai tanda penghargaan kepada para pengikutnya, Rose yang kini sedang melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Perniagaan (Pemasaran) di UOW Malaysia Kolej Universiti Damansara Utama memutuskan untuk ‘mencipta‘ intipati kandungan yang bermanfaat.

Bicara model setinggi 160 sentimeter itu, beliau bukan sahaja berkongsi tip kecantikan dan solekan, malah turut mempamerkan tutorial gaya tudung yang ringkas dan menarik.

“Alhamdullilah, berkat perkongsian terbabit, saya menerima sokongan dan maklum balas positif daripada warganet. Paling mengejutkan apabila jenama muslimah popular, Alhumaira memilih saya sebagai model tutorial tudung produk mereka.

“Bermula saat itu, lama-kelamaan ia telah membuka pintu rezeki saya dengan jenama-jenama lain sehingga berjaya memperoleh pendapatan sendiri,“ jelasnya tidak berselindung.

Luah bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9, Shah Alam itu, jika dihitung jumlah bayaran yang diraih sepanjang kira-kira empat tahun, beliau boleh sahaja memberi fokus kepada karier sahaja tanpa perlu mempedulikan soal akademik.

Justeru, mengapa perlu bersusah payah menelaah buku dan menghadiri kuliah dari pagi hinggga petang, sedangkan bidang  modeling sudahpun menjanjikan pulangan lumayan? Bukan itu sahaja, hampir setiap masa  berpeluang menggayakan pakaian dan hijab yang cantik.

Mendengar sogokan soalan itu, Rose lantas berkata: “Kalaulah formula sifir itu menjadi pilihan, ini bermakna saya meletakkan diri dalam fasa bahaya. Benar, impaknya bukan sekarang, tetapi kemudaratan tersebut akan tiba beberapa tahun akan datang.

“Kiraan saya untuk mengecapi masa depan yang cerah, karier dan ilmu harus berjalan seiring. Bersandarkan rupa paras semata-mata bukan solusi bijak. Lagipun kecantikan akan pudar seiring dengan peningkatan usia.

“Oleh itu, sekiranya pada masa depan khidmat diri ini tidak diperlukan lagi, saya tidak bimbang kerana ilmu yang digenggam kemas akan digunakan untuk meneruskan kehidupan kelak,“ katanya.

‘Mental koyak’

sharifah rose
AKSI Rose (dua dari kiri) bersama pelakon, Mira Filzah (kanan) ketika menjayakan satu kempen promosi pelancongan.

Lumrah apabila bergelar Instafamous, sudah pasti ada warga maya yang meminati dan tidak kurang yang membenci. Bagi Rose yang berdarah campuran Arab (sebelah bapa) dan Melayu-Jawa (sebelah ibu), beliau juga tidak terkecuali berdepan situasi berkenaan.

Tutur pencinta rona kelabu itu, hidup ini umpama roda yang mana sekejap di atas dan esok lusa di bawah. Selepas mengecapi kemanisan berpanjangan, namun pada awal tahun ini, beliau dijentik dengan satu ujian. 

Fotonya yang tidak bertudung ketika bercuti bersama sahabat di Phuket, Thailand sekitar Januari lalu membuatkan namanya menjadi trending di Twitter.

“Segala-galanya berlaku dalam sekelip mata sahaja. Tak sangka percutian bersama sahabat bertukar duka apabila foto berkenaan tersebar dalam laman sosial.

“Ia dirakam tanpa sedar menerusi IG Story milik salah seorang rakan yang turut sama menyertai percutian tersebut. Bagaimanapun, saya enggan menyalahkan sesiapa dan sedar akan kekhilafan diri sendiri. Semua berlaku ada hikmah dan saya belajar daripada kesilapan,“ kata beliau yang menyesali tingkah laku itu.

Pun begitu, biarpun empunya diri cuba untuk melupakan momen pahit berkenaan, tetapi warganet berterusan melontarkan kecaman. 

Mana tidaknya, bermacam-macam dakwaan tidak masuk akal dan perkataan kurang manis dilemparkan kepadanya sehingga Rose hilang keyakinan diri.

“Bayangkan nak keluar rumah, apatah lagi ke kelas pun saya bimbang. Perasaan takut itu sangat menebal dan mental saya ‘koyak‘. Saya banyak muhasabah diri di dalam kamar dan menghabiskan masa bersama famili. 

“Bukan itu sahaja, telefon pintar saya jauhkan bagi mengelakkan diri membaca komen-komen negatif netizen,“ ulasnya yang kini berkawan rapat dengan Aazief Khalid iaitu anak tiri kepada penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin.  

Sebelum menutup bicara untuk urusan kerja seterusnya, Rose sempat menitipkan kata-kata pemangkin khas untuk pembaca SinarPlus: 

Iklan

“Bagi adik-adik (remaja) yang memasang impian untuk menjadi Instafamous pastikan ilmu tersemat di dada. Mungkin anda nampak golongan Instafamous tersenyum dan beruntung mendapat pelbagai produk.

“Namun begitu, ketahuilah di sebalik ‘kegembiraan‘ itu, kami perlu bijak mengatur masa antara kehidupan harian dan karier. Pada masa sama, harus pantas menyusun story board, content dan susunan kata yang dapat menambat hati pengguna.”

Profil

Nama penuh: Sharifah Rose Sabrina Syed Mohd Mazfira

Umur: 22 tahun

Tempat lahir: Shah Alam, Selangor

Kerjaya: Model dan Instafamous

Adik-beradik: Anak sulung daripada dua beradik

Nama bapa: Syed Mohd Mazfira Syed Mohd Bakar

Nama ibu: Noraini Dahlan

Pendidikan:

Iklan

– Sekolah Kebangsaan Seksyen 13, Shah Alam, Selangor

– Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9, Shah Alam, Selangor

– Ijazah Perniagaan (Pemasaran), UOW Malaysia Kolej Universiti Damansara Utama (KDU) KDU, Glenmarie, Shah Alam, Selangor

– Asasi Undang-Undang, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Dengkil, Selangor

Hobi: Menonton wayang, membaca buku

Tinggi: 160 sentimer

Berat: 46 kilogram

Warna kegemaran: Kelabu

Antara jenama pernah bekerjasama: Al-Humaira, Alia Bastamam, Urban Delay dan Guardian

Instagram: @sharifahrose_ (663,000 jumlah pengikut)