Ekspresi seni benci rasuah, pelukis ini hasilkan 3 visual sindiran sebagai peringatan pemimpin korup
RAZAK ABDULLAH mempunyai cara tersendiri untuk meluahkan rasa benci dan tidak senangnya dengan amalan rasuah yang masih berleluasa di negara ini.
Ketika ditemui pada Selasa lalu, pelukis berusia 70 tahun itu tidak henti meluahkan rasa kagum dan penghargaannya terhadap usaha penuh Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub yang menggerakkan kempen Rasuah Busters sejak Januari lalu.
"Saya sebenarnya rasa takjub dengan kesungguhan Datuk Hussamuddin yang berjihad menghapuskan rasuah dalam satu kempennya, Rasuah Busters. Saya sentiasa mengikuti perkembangan perjuangan tersebut.
"Usaha murni beliau itu selari dengan pemikiran saya yang juga mahu membanteras rasuah, namun dalam bentuk sindiran visual terhadap mereka yang menyalahgunakan kuasa demi kepentingan peribadi," katanya.
Kepada SinarPlus, Razak memberitahu, ironinya, beliau telah menterjemahkan sokongannya kepada usaha Husammuddin melalui tiga karya yang dinamakan Red Carpet to Prison, Presidential Suite Cell dan Private Wing Cell yang memberi satu peringatan jelas kepada pemimpin masyarakat yang angkuh dan korup.
Tiga lukisan berkenaan belum diketengahkan kepada mana-mana media dan dibawakan secara eksklusif untuk pembaca akhbar ini.
Ujar pelukis berkenaan, naskhah Red Carpet to Prison membawa pengertian tersendiri.
"Untuk Red Carpet to Prison ini, saya memilih rona warna yang garang iaitu merah, kuning dan jingga. Warna itu antara lain menterjemahkan amaran rakyat kepada pemimpin-pemimpin yang masih bebas mengamalkan rasuah dan menyalahgunakan kuasa yang diberikan oleh rakyat.
"Jika melihat situasi sekarang, siapa sangka bekas pemimpin boleh diheret ke muka pengadilan? Kuasa rakyatlah yang menentukan kerajaan. Justeru, jangan sewenang-wenangnya culas akan tanggungjawab yang diamanahkan dan jangan makan duit demi kepentingan diri," tegas alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu.
Lantang
Bagi penulis, calitan seni di sebalik karya Presidential Suite Cell cukup menjerkah emosi. Razak dilihat ingin memberitahu mata yang sedang melihat bahawa karya berkenaan secara sinis mengekspresikan tentang kewujudan satu 'penjara kluster kayangan' untuk menempatkan pemimpin yang makan rasuah.
"Pastinya bukan tempat kurungan biasa-biasa untuk menempatkan individu berprofil tinggi kerana sehingga ke penjara, mereka mampu membayar sejumlah wang untuk hidup selesa di dalam sel.
"Maaf cakap, setiap hari kos mereka ditempatkan di 'penjara kluster kayangan' itu wajar dinilaikan dengan wang ringgit supaya wang yang mereka curi dipulangkan semula kepada rakyat. Pada masa sama, beri peluang kepada mereka untuk bertaubat ke jalan ALLAH," terang bapa kepada lima cahaya mata itu.
Kepada semua penjawat awam, Razak mempersembahkan naskhah Private Wing Cell untuk mengajak semua pihak beringat tentang amalan keji yang ditegah agama dan ditolak masyarakat itu.
"Saya melayangkan idea menghasilkan Private Wing Cell khas kepada golongan itu (penjawat awam) yang berani mengamalkan rasuah sehingga membuatkan rakyat muak dengan birokrasi berat sebelah.
"Untuk karya ini, ada sekuelnya yang menceritakan secara abstrak tentang kaki rasuah dalam kalangan pekerja kolar putih yang sentiasa mengharapkan imbuhan bawah meja.
"Mereka langsung tidak kisah melakukan itu semua walaupun telah membelakangkan ikrar yang dipegang. Pendek kata, ketiga-tiga hasil seni menunjukkan kekesalan saya terhadap penyalahgunaan kuasa yang menjijikkan dan mempermainkan kepercayaan rakyat," katanya dengan nada lantang.
Kesemua naskhah tersebut yang menggunakan material cat minyak telah dihasilkan dalam tempoh tiga bulan dengan saiz kanvas yang berbeza-beza setiap satu.
Bagaimanapun, lukisan itu bukan untuk dijual dan hanya dipamerkan di galeri seni milik Razak di Khaya Rendang, Sungai Buloh, Selangor.
"Nilai karya ini tidak boleh dinilai dengan wang ringgit kerana mempunyai makna cukup mendalam buat diri saya dan biarlah ia menjadi tontonan orang ramai," ujarnya.
- Nama: Razak Abdullah
- Umur: 70 tahun
- Asal: Kuala Terengganu, Terengganu
- Tahap pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Grafik UiTM
- Kerjaya: Pelukis
- Blog: razakabdullah.my
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang