HURAIAN kisah Siti Huraizah Ruslan memberi kesimpulan bahawa kehidupan manusia mampu bahagia dan berjaya meskipun tidak sempurna. Berpeluang mewawancara Siti Huraizah meskipun melalui corong telefon membuatkan penulis berasa kagum dengannya.

Bukan mudah untuk seseorang yang pada satu ketika boleh melihat keindahan ciptan ALLAH SWT, tetapi secara perlahan-lahan nikmat itu ditarik ketika usianya mencecah tujuh tahun.

Kepada SinarPlus, Siti Huraizah menceritakan segala-galanya. Katanya, semuanya bermula apabila beliau berasa gatal pada mata dan pandangannya menjadi kabur.

huraizah blind

Ujar wanita yang kini berusia 37 tahun itu, dunianya terus gelap sebaik disahkan mengalami trakoma iaitu sejenis penyakit mata ketika berumur empat tahun. Ia terjadi akibat jangkitan bakteria yang dikenali sebagai chlamydia trachomatis.

“Saya masih ingat lagi, mata saya sangat sakit, tetapi kadang-kadang rasa okey. Bila tak rasa sakit, saya akan gunakan peluang itu untuk menulis dan mewarna,“ kata anak sulung daripada empat beradik itu.

Pelbagai usaha dilakukan oleh keluarganya termasuk berubat secara tradisional, namun sudah ditakdirkan, ia tidak mendatangkan hasil.

“Doktor pakar pun ada maklumkan penyakit saya ini akan menyebabkan saya buta buat selama-lamanya. Pada masa itu, saya hanya mampu pasrah. Mahu menangis pun rasanya tiada guna lagi,“ luahnya.

Tidak mahu ketinggalan dalam pelajaran, Siti Huraizah bersetuju dengan keputusan keluarga untuk menghantarnya belajar di sebuah sekolah pendidikan khas di Johor pada usia sembilan tahun.

Menurutnya, di situlah beliau belajar erti berdikari demi survival hidup bersama rakan seperjuangan lain yang turut berdepan nasib serupa.

“Apabila bercampur dengan golongan senasib, saya jadi lebih tabah dan bersemangat. Saya pujuk diri untuk berubah.

huraizah blind

“Tekadkan dalam hati dan fikirkan semua orang tidak kira normal mahupun kurang upaya, semuanya sama. Masing-masing ada kekurangan dan hanya diri sendiri sahaja perlu berubah untuk berjaya,“ katanya.

Ternyata semangat, kecekalan, ketabahan, kekentalan dan keyakinan yang ditanam dalam diri, telah membawa Siti Huraizah menjejakkan kaki ke menara gading.

Bukan sahaja beliau dan ahli keluarganya, warga Universiri Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor turut berbangga dengan pencapaian itu apabila beliau berjaya memperoleh segulung ijazah Sarjana Muda Teknologi Kreatif dan Artistik (Penulisan Seni Layar).

Artikal berkaitan: “Saya pernah hidup susah sampai nak makan pun tak ada duit…..”

Lebih manis, Siti Huraizah, menjadi satu-satunya penuntut kurang upaya pertama mengambil jurusan tersebut dan berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang.

Luar biasa

Barangkali ramai tertanya-tanya bagaimana wanita tabah itu menelaah pelajaran dalam keadaan seperti itu?

Jawab Siti Huraizah, perkembangan teknologi semasa telah banyak membantunya.

Sebelum itu, beritahunya, beliau menulis skrip menggunakan perisian Job Access With Speech yang membantunya mencatat sesuatu berpandukan suara.

Artikal berkaitan: “Selagi ada kudrat dan daya, anak kalian dijaga sehabis baik,” – Pengalaman guru pendalaman ini buat ramai tersentuh hati

“Zaman itu sebenarnya perisian yang ada agak terhad. Saya perlu bergantung kepada kawan-kawan yang berkelapangan untuk bantu bacakan soalan ataupun teks yang diperlukan untuk menyiapkan tugasan.

“Bila hidup bergantung dengan orang, kadang-kadang buat saya tak semangat kerana bukan semua orang ada masa untuk bantu saya.

Iklan

“Pernah saya terfikir dan tanya diri, konvokah aku nanti? Bolehkah aku habiskan ijazah ini? Namun semua fikiran negatif itu saya tepis dan buat sehabis baik,“ ujarnya penuh ketegasan.

huraizah blind

Dari semasa ke semasa, kemajuan teknologi moden yang mencipta aplikasi mesra orang kurang upaya (OKU) telah memudahkan beliau dan rakan-rakan yang lain.

“Jika ada orang WhatsApp atau telefon, saya boleh ‘membaca‘ nama atau teks tertera menggunakan perisian yang ada. Sekarang lebih mudah kerana banyak aplikasi canggih untuk orang kelainan upaya seperti saya,“ katanya.

Oh! Ya, kini Siti Huraizah merupakan Eksekutif Kanan Aksesibiliti dan Advokasi di Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia.

Beritahu anak kelahiran Kelantan itu, kerjayanya itu memerlukan beliau sentiasa berjumpa dengan orang ramai.

“Selain perlu sentiasa yakin, saya tidak mahu kekurangan diri menjadi halangan untuk membuktikan keupayaan diri,“ tuturnya.

Segala rintangan dan dugaan yang pernah dirempuh, seboleh-bolehnya mahu dibuang jauh-jauh dan tidak mahu diingati lagi, kata Siti Huraizah.

Iklan

Nampaknya iltizam itu berjaya mengubah kehidupannya menjadi semakin ceria dan bermakna.

Anugerah-anugerah yang diperoleh membuktikan keazamannya. Pada sambutan Hari Saiditina Khadijah 2018, beliau telah dinobatkan sebagai Tokoh Wanita Zinnirah Ar-Rumiyah Negeri Kelantan.

huraizah blind

Beliau juga penerima Tokoh Aksesibiliti Harapan sempena Anugerah Aksesibiliti Sejagat Datuk Bandar Kuala Lumpur 2018.

Lebih membanggakan dan barangkali pencapaiannya paling hebat apabila Siri Huraizah melakar rekod dalam Malaysia Book of Records sebagai kumpulan pendaki sulung OKU penglihatan pertama yang menakluk Gunung Tahan pada tahun 2007.

Kepada individu senasib dengannya, berikut pesanan ikhlas Siti Huraizah: “Jangan sesekali meratapi nasib dan jangan salahkan takdir. Apa yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya.

“Kita kena ikhlaskan diri kerana tidak tahu apa perancangan ALLAH buat kita, paling penting kena bangkit dan teruskan hidup.

“Kekurangan yang ada pada diri jangan sesekali dijadikan alasan untuk tidak berjaya. Saya pun masih berusaha untuk menjadi lebih baik demi keluarga tercinta.“