HAMPIR putus asa pasangan suami isteri ini apabila mengenangkan perniagaan kedai makan yang menjadi sumber rezeki keluarga tidak dapat dijalankan dek Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Rosnizam Ishak, 43, dan Roazian Md Noor, 43, masing-masing akui bimbang hilang punca pendapatan dan mencuba pelbagai cara termasuk menjual nasi lemak dari rumah ke rumah.

Namun disebabkan persaingan terlalu banyak lebih-lebih lagi jualan berasaskan nasi, pasangan yang berasal dari Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang ini cuba mempertaruhkan menu baharu.

kambing perap

Ternyata, rezeki tidak pernah salah alamat. Kegigihan mereka menjalankan perniagaan kambing perap menjadi rezeki luar biasa sehingga memberikan inspirasi kepada orang ramai.

Masakan tidak, kesungguhan mereka memanfaatkan bantuan Geran Khas Prihatin (GKP) serta Bantuan Prihatin Nasional (BPN) ternyata mendapat perhatian menteri kewangan.

Artikel berkaitan: Bekas pilot ini kongsi nasihat berharga kepada yang hilang pekerjaan

Dalam satu perkongsian dalam akaun Facebook milik Rosnizam, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berpeluang menyantuni bapa kepada tiga cahaya mata itu melalui rakaman perbualan FaceTime berdurasi satu minit 48 saat.

Selain bertanyakan mengenai sambutan perniagaan yang dijalankan, bekas Ketua Kumpulan Pegawai Eksekutif CIMB Group Holdings Berhad itu turut berbangga dengan pencapaian Rosnizam yang memanfaatkan bantuan kerajaan.

Agak terkejut apabila dimaklumkan Rosnizam bahawa jualannya hanya bergantung kepada media sosial 100 peratus, bahkan bantuan RM1,000 digunakan sebagai modal jualan bermula lima kilogram (kg).

Kongsi Rosnizam, perniagaan yang dimulakan dengan hanya lima kg kambing perapan yang diolah dengan resipi tersendiri meningkat kepada 100 kg dalam tempoh tiga minggu sahaja.

Iklan

kambing perap

“Bermula dengan modal RM1,000 yang dibekalkan oleh BPN dan kerajaan. Jadi, kami berterima kasih sebab itu adalah satu modal yang amat penting untuk kami memulakan perniagaan kambing perap ini,” ceritanya.

Wah! Permintaan kambing perap dengan jenama Kambing Perap MBEKKK ini memang agak luar biasa.

Iklan

Jika lihat video yang dikongsikan mengenai cara perapan dan pembungkusan kambing perap ini membuat ramai yang menelan air liur dek saiz yang besar dan nampak menyelerakan itu.

Apa pun SinarPlus solute usaha keras pasangan suami ini yang tidak pernah mengalah untuk meneruskan kelangsungan hidup dengan mencipta menu tersendiri.

#janganputusasamalaysia