BUKAN mudah untuk membawa jenama Jehan Kerepek dan D’Chip Chipy ke persada antarabangsa. Namun, Zaihan Kaswar bersyukur kerana mampu membuktikan kemampuan selepas merentasi pelbagai liku dan halangan.

Menurut Zaihan, Ramadan pada kali ini begitu menggembirakannya.

Masakan tidak, jualan kerepek dan makanan ringan jenamanya meningkat 100 kali ganda berbanding hari-hari biasa.

zaihan jual kerepek

“Alhamdullillah dengan rezeki ini. Selain kerepek ubi masin, pisang abu dan pisang tanduk yang sentiasa mendapat tempahan, terdapat lebih 250 produk lain yang sentiasa menjadi buruan pemborong,” katanya ketika ditemui di kilangnya di Banting, Selangor baru-baru ini.

Menurut Zaihan, tempahan pemborong dan pasar raya untuk pelbagai jenis kerepek dan produk D’Chip Chipy sepanjang bulan puasa memang membuatkan pekerjanya tidak menang tangan.

“Dalam sehari, kami perlu proses lima tan bahan mentah yang diambil daripada projek contract farming di Selangor, Johor dan Pahang seluas 148.52 hektar. Ada juga hasil dari kebun sendiri.

zaihan jual kerepek

“Kadang-kadang stok sedia ada memang tidak mencukupi kerana berdepan musibah bencana alam, kecurian dan sebagainya. Dugaan pekerja tidak cukup pun ada juga,” ujarnya.

Kongsi anak jati Selangor itu lagi, momen Ramadan tahun lalu yang diselubungi dengan wabak Covid-19 masih berbekam dalam sanubarinya.

“Penangannya memang susah nak cakap, namun saya jadikan ia sebagai cabaran. Ramadan tahun lepas juga memang memberi pengalaman cukup berbeza apabila strategi syarikat terpaksa ditukar 360 darjah.

Kami beralih menjual secara dalam talian disebabkan lambakan stok.

zaihan jual kerepek

“Berkat kempen jualan berterusan dan hasil usaha bersama, kami berjaya menjual 50 kotak berisi pelbagai jenis kerepek setiap hari. Sambutan memang menggalakkan,” katanya yang berbangga apabila jenama Jehan Kerepek dan D’Chip Chipy berjaya menembusi pasaran ke Taiwan dan Singapura.

Bercakap dengan pokok

Berbicara mengenai rahsia kejayaan sehingga berhasil membawa produk lokal ke peringkat global, Zaihan percaya prestasi dan reputasi yang baik yang dipamerkan memberikan kelebihan buatnya.

“Kepercayaan yang diberikan pemborong membuatkan saya terus berusaha sebaik mungkin memenuhi permintaan khususnya sepanjang Ramadan supaya tempahan mencukupi.

“Dahulu saya berjuang untuk membawa masuk jenama Melayu, apabila sudah dapat, saya perlu buat yang terbaik demi membuktikan orang kita pun mampu berjaya,” kongsinya penuh semangat.

zaihan jual kerepek

Iklan

Di sebalik kejayaan yang dikecapi bapa kepada dua anak itu, sebenarnya ada cerita memilukan yang sukar untuk dilupakan buat selama-lamanya, bahkan meninggalkan trauma dalam jiwanya.

“Kegagalan dalam perniagaan rangkaian pasar raya pada tahun 2006 sehingga diisytihar muflis membuatkan saya hilang arah, tertekan memikirkan hutang keliling pinggang,” katanya.

Akui Zaihan, daripada menghuni rumah banglo, beliau terpaksa menyewa rumah dan hanya memiliki sebuah motosikal untuk ke mana-mana.

Mahu beli barang dapur pun, terpaksa berkira.

“Saya banyak termenung. Apa yang selalu saya lakukan adalah menghabiskan masa bercakap dengan pokok pisang di kebun. Ya, nampak seperti orang gila.

“Ketika itu, saya memang tiada sesiapa untuk mengadu dan meluahkan rasa hati. Hanya pada pokok-pokok sahaja saya boleh luahkan sebab saya percaya, hidupan ALLAH ini juga mendoakan yang baik-baik untuk kita.

Iklan

“Selepas lega meluahkan rasa hati, saya mula bercucuk tanam semula dan bergantung pada hasil untuk meneruskan hidup. Dari situ, saya mula mengumpulkan stok untuk membuat jualan kerepek secara kecil-kecilan,” ujarnya.

zaihan jual kerepek

Pun begitu, keperitan hidup selepas jatuh terduduk itu membuatkan diri usahawan itu lebih mengenali erti kehidupan.

Katanya, rezeki yang diperolehnya kini bukan hanya untuk dirinya sahaja, tetapi untuk keluarga dan penduduk setempat.

“Alhamdulillah, perusahaan kerepek dan makanan ringan bertambah baik. Kisah saya ini umpama satu mimpi ngeri, namun kembali indah kerana saya tidak mudah mengalah, sentiasa positif dan kerja kuat selain bertawakal kepada ALLAH.

“Memang tidak dinafikan, dunia perniagaan ini kita bertemu dengan pelbagai jenis orang yang banyak karenah, bersabarlah dan berusaha yang terbaik kerana rezeki ALLAH tidak pernah salah alamat,” tuturnya.