Sanggup kayuh 77km, 21 penghantaran sehari semata-mata demi…

June 11, 2020
Arziana Mohmad Azaman

SANGGUP berkayuh sejauh lebih 77 kilometer (km) untuk melakukan 21 penghantaran sehari. Semua penat lelah itu hanyalah untuk membantu pesakit cilik barah di Singapura.

Anthony Houlahan yang berasal dari Britain itu bukannya penganggur tegar, bahkan memiliki kerjaya yang bukan ‘kaleng-kaleng’.

Beliau adalah Naib Presiden jabatan strategi sebuah syarikat sistem dan telekomunikasi global.

Barangkali dek bosan keterlaluan akibat pelaksanaan ‘circuit breaker’ di Kota Singa itu gara-gara wabak Covid-19, lelaki mat saleh berusia 49 tahun membuat sesuatu yang ekstravaganza.

Perkongsian beliau dalam sebuah laman web turut menceritakan keterujaan membantu kanak-kanak yang mengidap barah yang memerlukan dana kewangan.

Artikel berkaitan: ‘Abam panda’, sempat derma darah lagi… Terbaik bro!

“Jadi, saya tekad untuk sumbang masa dan tenaga untuk mereka,” tulisnya yang berkhidmat sebagai penghantar makanan Grab sejak 22 April lalu dan berpindah kepada FoodPanda bermula 28 Mei lalu.

Nekadnya hanya satu. Mahu menyumbang semua pendapatannya kepada Yayasan Barah Kanak-Kanak Singapura sehingga sanggup bekerja lewat malam dan hujung minggu.

Usaha murni Houlahan turut mendapat perhatian ramai pihak apabila lapan individu prihatin turut menjayakan misi sehingga mengumpulkan dana sebanyak lebih S$20,000 (RM6,1275.04).

foodpanda

Hanya dalam tempoh dua minggu, dana kewangan itu berjaya dikumpulkan termasuk sumbangan penaja.

Kempen sama juga diteruskan selama tiga minggu bermula 1 Jun lalu sehingga 21 Jun nanti bagi merancakkan lagi dana sumbangan.

Siapa sangka, Houlahan berjaya mengumpulkan dana lebih S$56,000 (RM171,570.11) setakat 4 Jun lalu termasuk sumbangan penderma melalui laman web Giving.sg.

#janganputusasamalaysia

About Arziana Mohmad Azaman