MULIANYA hati sang penderma darah yang bekerja sebagai penghantar makanan ini. ‘Sambil lalu’ menyelesaikan tugasnya, sempat singgah untuk menderma darah lagi…

Bagusnya.. Dalam bekerja, sempat beliau beramal.

Kebaikan dilakukan pemuda ini antara yang menarik perhatian netizen dalam posting yang dikongsikan Facebook Kementerian Kesihatan (KKM).

Foto lelaki terbabit ‘beruniform’ turut serta dalam kempen derma darah anjuran KKM di Johor itu antara yang meluluhkan hati warganet.

Ramai yang mendoakan agar ‘abam’ penghantar makanan tersebut dimurahkan rezeki, selain melahirkan penghargaan.

Netizen yang kagum dengan kemurahan hati penghantar makanan ini.

Penderma darah beragama Islam 70 peratus masa Ramadan

Selain itu, jangan tak sangka mengikut statistik pada 2019, penderma darah beragama Islam mendominasi bilangan penderma darah ketika Ramadan iaitu 70 peratus! Wow..

Itu kongsi Pengarah Kesihatan, Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Dr Aman Rabu

Menariknya, menurut beliau bekalan darah kekal stabil sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Ramadan juga bukti perpaduan.

“Pengurangan penderma darah tetap ketika Ramadan menjadi kerisauan petugas-petugas Pusat Pendermaan Darah di Negeri Johor bagi memastikan bekalan darah kekal berada di paras yang selamat ketika wabak pandemik Covid-19 dan pelaksanaan PKP.

“Namun, tahun ini pula, Johor berjaya melakar sejarah, apabila hampir 90 peratus penderma darah pada Ramadan adalah dalam kalangan penderma bukan beragama Islam sekaligus membuktikan perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini,” katanya dalam kenyataan media baru-baru ini.

Bagus sampai tak perlu beroperasi waktu malam

Apa yang menarik, tahun ini juga merupakan kali pertama, Jabatan Perubatan Transfusi, Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB) tidak perlu beroperasi pada waktu malam disebabkan kutipan darah yang amat baik.

Menurut Dr Aman, ini adalah hasil kerjasama persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan yang sentiasa menawarkan bantuan dari segi penganjuran kempen derma darah.

Sebaran maklumat tetap rancak dilakukan oleh mereka meskipun terpaksa mengorbankan masa, wang dan tenaga demi membantu pihak hospital.

“Setinggi-tinggi penghargaan wajar diberikan kepada penderma darah dan penganjur Kempen Derma Darah di Negeri Johor yang telah turut berjuang bersama-sama dalam ‘peperangan’ ini.

“Hasil usaha keras semua pihak berjaya membuahkan hasil, apabila bekalan darah dapat dikekalkan melebihi paras selamat sejak bermulanya PKP pada 18 Mac 2020 lalu sehingga ke hari ini.

Iklan

“Sepanjang tempoh PKP sehingga 21 Mei 2020, sebanyak 10,400 beg darah telah berjaya dikumpulkan di seluruh Pusat Pendermaan Darah Negeri Johor,” katanya.

Johor hulur bantuan kepada hospital memerlukan

Negeri Johor juga berbesar hati menghulurkan bantuan kepada beberapa hospital yang mengalami kekurangan bekalan darah sepanjang tempoh PKP seperti:
1. Hospital Queen Elizabeth II, Sabah (188 beg);
2. Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang (60 beg);
3. Hospital Tuanku Jaa’far, Seremban (139 beg); dan
4. Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh (90 beg).

Satu lagi yang menarik, gelaran #johorbloodwarriors diberikan kepada penderma yang menderma darah di mana-mana Pusat Pendermaan Darah Negeri Johor!

Kata Dr Aman, ia bagi mewujudkan satu identiti tersendiri serta rasa kekitaan dalam kalangan penderma darah yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, asal, pekerjaan dan lain-lain lagi.

Iklan

“Besar harapan kami, agar semua penderma darah di seluruh pelosok tanah air dapat bangkit dan tampil ke hadapan untuk menderma darah sekiranya berkelayakan.

“Semoga semangat kekitaan dalam kalangan masyarakat Malaysia dapat membantu negeri yang sedang berhadapan dengan kemelut kekurangan bekalan darah

“Darah anda mungkin memberikan sinar kehidupan kepada insan lain. Dermalah darah dan selamatkan nyawa!,” katanya.

SinarPlus berharap lebih ramai yang prihatin menderma darah seperti ‘Abam’ Foodpanda dan wira penderma darah yang lain.

Hari Penderma Darah Sedunia disambut pada 14 Jun setiap tahun. -AG #janganputusasamalaysia