BENARLAH ungkapan rezeki memang tidak pernah salah alamat. Frasa itu sesuai menggambarkan situasi yang dilalui personaliti televisyen yang semakin meningkat naik, Hawa Rizwana Ahmad Redzuan.

Kepada SinarPlus, empunya diri yang senang disapa sebagai Hawa berkata, beliau tidak menyangka sesi latihan amali sebagai wartawan lokasi untuk program bual bicara, Wanita Hari Ini (WHI) sekitar tiga tahun lalu membuka lembaran baharu dalam profil kehidupannya.

Cerita personaliti yang berkeyakinan tinggi ini, semuanya bermula selepas beliau menikmati hidangan di kafe bangunan Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor.

“Usai menjamu selera, saya memanfaatkan masa yang ada dengan membaca skrip. Kebetulan pula Datuk Manja Ismail (kini merupakan Pengarang Ehwal Semasa & Faktual Primeworks Studio) dan Eksekutif Editor Berita TV9, Wan Sabariah Shikh Ali berada di meja sebelah.

hawa rizwana

“Barangkali, selepas melakukan ‘penilaian‘ dan pemerhatian sepanjang latihan itu, saya diminta hadir uji bakat untuk jawatan pembaca berita slot Berita TV9,“ imbas Hawa yang pada ketika itu sedang menjalani latihan praktikal sebagai wartawan WHI.

Dipendekkan cerita, seusai latihan praktikal berakhir, Hawa, 25, ditawarkan sebagai wartawan di Unit Berita Media Prima sekali gus menduduki kerusi pembaca berita Berita TV9.

Putaran waktu telah menyaksikan karier gadis cantik manis yang dilahirkan di Illinois, Amerika Syarikat ini semakin menyerlah dalam dunia penyiaran.

Beritahu Hawa, selepas genap setahun bersiaran melalui saluran TV9, beliau dilamar pula menerajui barisan pembaca berita Buletin Utama (BU) di TV3 bermula pada 1 Januari tahun lalu sehingga kini.

Beliau sendiri tidak menduga diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab besar untuk membaca berita dalam slot perdana yang ditonton jutaan penonton pada setiap hari.

hawa rizwana

“Sejujurnya, saya terkejut kerana tak sangka transisi kerja berlaku dalam tempoh masa yang singkat. Mudah kata, belum sempat bernafas (ketawa). Perasaan pada ketika itu memang bercampur baur.

“Sukar untuk diterjemahkan memandangkan rasa gementar, bimbang dan teruja, semuanya hadir serentak. Namun begitu, berkat sokongan keluarga dan pelbagai pihak, sedikit demi sedikit saya semakin serasi dengan peranan baharu sebagai pembaca berita BU,“ ujarnya yang mula meminati bidang pengacaraan dan kewartawanan seawal usia lima tahun.

BU telah melahirkan ramai penyampai berita disegani dalam tempoh 36 tahun. Antaranya, Christine Ling, Datin Seri Normala Samsudin, Wan Zaleha Radzi, Datin Sharifah Shawati dan Ezzah Aziz Fawzy.

Artikel berkaitan: Allahu… seringgit je upah servis graduan ni untuk buang sampah

Tambah wanita bertubuh genit ini, bapanya, Profesor Datuk Dr Ahmad Redzuan Abdul Rahman merupakan individu yang bertanggungjawab mengesan bakat beliau.

Stail penyampaian

“Ayah memaklumkan, sejak kecil lagi saya suka melaram dan berlakon sebagai pengacara televisyen. Mungkin bakat ini (pengacara) diwarisi daripada ayah yang pernah mengacarakan rancangan Selamat Pagi Malaysia di RTM sekitar 1990-an.

“Sehingga hari ini, saya sentiasa belajar dan merujuk ayah sekiranya diberikan tugasan besar memandangkan beliau juga merupakan pensyarah jurusan penyiaran di UiTM (Universiti Teknologi Mara) Shah Alam,“ ujar Hawa yang wajahnya boleh ditonton sebagai pengacara pada program WHI dan Hello Doktor yang bakal disiarkan.

hawa rizwana

Tidak kira apa jua bidang yang diceburi, cabaran dan dugaan tetap datang membelenggu. Disogok tentang persoalan itu, pemegang Ijazah Sarjana Muda Kewartawanan, UiTM Shah Alam ini terdiam sejenak sebelum menghela nafas panjang.

Luah beliau kepada kru SinarPlus, biarpun bernaung di bawah jenama media arus perdana, tetapi ia bukan tiket untuk mereka berasa selesa.

Apatah lagi, dunia moden pada hari ini telah menanamkan ‘firasat‘ masyarakat untuk lebih mempercayai berita yang tular menerusi media sosial tanpa dipastikan kesahihan sumbernya.

“Namun, saya percaya, lambat-laun pembaca tetap mendapatkan berita daripada media yang berdaftar,“ katanya.

Meneruskan butir bicara, Hawa berkata, sebagai individu yang menjadi tunjang utama di depan televisyen, beliau perlu bijak membawa personaliti berbeza-beza ketika mengendalikan program yang berlainan.

hawa rizwana

Iklan

“Untuk BU, penyampaiannya perlu serius dan matang selari dengan konsep rancangan tersebut. Saya sentiasa memastikan ‘kematangan‘ yang ditonjolkan dapat menarik perhatian penonton baik golongan dewasa mahupun generasi muda.

“Sementara itu, ketika bersiaran langsung untuk program WHI pula, saya harus pantas menyusun kata dan soalan supaya tidak kelihatan janggal. Pada masa sama, sentiasa mencipta keserasian bersama rakan pengacara di set.

“Bagi mengelakkan tidak ketinggalan dengan topik wanita dan kekeluargaan yang dibincangkan pula, saya akan melakukan kajian dan mengumpul info terlebih dahulu menerusi pembacaan pelbagai bahan ilmiah,“ jelasnya yang menyifatkan tugasan membuat liputan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong XVI di Istana Negara, Kuala Lumpur antara momen paling istimewa.

Percikan aura Neelofa

Wah! Ramai yang mengatakan iras wajah Hawa saling tidak tumpah dengan selebriti terkemuka negara, Neelofa. Kalau disorot semula kata-kata penonton melalui catatan alam maya, memang ramai mengakuinya.

Macam kembar Neelofa! kata warganet.

Sehinggakan timbul suara nakal bahawa faktor persamaan itulah yang menyebabkan Hawa dipilih menjadi ‘pelaris‘ dan penghias program utama di TV3 dan TV9.

Artikel berkaitan: Banduan wanita belajar buat kuih, mahu jual apabila keluar penjara nanti

Mendengarkan persoalan itu dibangkitkan SinarPlus, Hawa yang pernah mewakili Malaysia untuk persembahan tarian di Hungary sempena Festival Royal Days (Kiralyi Napok) pada tahun 2015, cepat-cepat menepis sopan dakwaan terbabit.

Iklan

Tegasnya, setiap perkara dilalui hari ini adalah berkat usaha dan ilmu yang dikutip sejak di bangku sekolah rendah.

“Saya yakin pihak majikan melakukan pemilihan berdasarkan kebolehan dan bakat dimiliki bukannya disebabkan paras rupa.

hawa rizwana

“Lagipun, seawal usia tujuh tahun, ayah telah mendidik saya membaca berita menggunakan akhbar bahasa Melayu dan Inggeris. Saban hari, saya akan mempertingkatkan skil dan intonasi bacaan.

“Kemudian, menginjak sekolah menengah, saya banyak melibatkan diri dalam aktiviti seni dan penulisan termasuk menyertai kelab kewartawanan. Bertitik tolak dari situ, saya memasang impian untuk lebih mendalami dunia kewartawanan di peringkat universiti pula,“ ujarnya membulatkan kata.

Sebelum menutup bicara lantaran perlu bersiap siaga untuk membaca BU yang disiarkan tepat pukul 8 malam, Hawa menitipkan pesanan ringkas: “Saya berbesar hati apabila wajah disamakan dengan Neelofa. Lagipun beliau merupakan ikon anak muda yang berjaya dalam industri seni dan perniagaan.

“Pun begitu, diharapkan orang ramai tidak membanding-bandingkan dan timbulkan persepsi kononnya karier saya pada hari ini ‘diikat‘ disebabkan wajah salin tak tumpah seperti beliau (Neelofa).“