Kantoi pemuda 20 tahun, menyamar jadi doktor di PPV Kuching

A
A
A

GARA-gara minat untuk menjadi doktor seorang pemuda sanggup menyamar menjadi pegawai perubatan di pusat pemberian vaksin (PPV) Stadium Perpaduan, Kuching, Sarawak.

Penyamaran itu akhirnya terbongkar sehingga lelaki berkenaan dihadapkan ke mahkamah.

Memetik laporan See Hua Daily menerusi portal Malaysiakini, pemuda berkenaan telah menyamar sebagai doktor dari Hospital Umum Sarawak, Sarawak sekurang-kurangnya 32 kali antara 16 Jun hingga 1 Julai lalu.

Difahamkan, beliau memiliki cop, kad nama, peralatan perlindungan peribadi, peralatan perubatan dan kelengkapan lain.

Setelah membuat pertanyaan awal di PPV Stadium Perpaduan, beliau dikatakan sekali lagi ke PPV tersebut pada 16 Jun dan mendakwa telah menerima kebenaran orang atasan untuk bertugas di sana.

Pada 19 Jun, beliau didakwa mengendalikan kaunter pendaftaran PPV tanpa kelulusan daripada kakitangan pusat vaksinasi.

Laporan berkenaan, bagaimanapun tidak menyebut sama ada pemuda tersebut memberi suntikan vaksin ataupun melakukan prosedur perubatan yang lain.

Baca juga Remaja 16 Tahun Pengsan, Angkat Berat Di Gim, Selepas Enam Hari Vaksinasi

Keraguan terhadap pemuda berkenaan mula timbul pada 22 Jun lalu ketika berbual dengan doktor lain yang kemudiannya, mendapati beliau baru berusia 20 tahun.

Ketika disoal polis, pemuda berkenaan menjelaskan penyamaran itu kerana 'berminat untuk menjadi doktor' dan telah mempelajari perubatan secara online.

Beliau telah didakwa mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyamar sebagai penjawat awam yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Memandangkan tertuduh berusia di bawah 21 tahun tiada pengakuan direkodkan sementara menunggu laporan akhlak dikeluarkan.

Sebutan semula kes dijadualkan pada 17 Ogos depan di mahkamah majistret.

Sumber: Malaysiakini

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca