SUNTIKAN vaksin Covid-19 merupakan salah satu kaedah membantu mengawal penularan, sekali gus membentuk antibodi dan mengurangkan kebarangkalian kejadian koronavirus.

Pun begitu, selepas menyempurnakan proses vaksinasi individu disarankan berehat dan elak melakukan aktiviti fizikal.

Di Singapura misalnya, seorang remaja berusia 16 tahun dirawat di jabatan kecemasan Hospital Khoo Teck Puat (KTPH) selepas pengsan di rumahnya pada Sabtu lalu.

Pesakit kemudiannya dipindahkan ke Hospital Universiti Nasional (NUH) dan dilaporkan kritikal di unit rawatan rapi.

Menurut Kementerian Kesihatan Singapura remaja terbabit telah menerima suntikan dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech (Comirnaty) pada 27 Jun lalu.

“Dia dinilai oleh petugas kesihatan terlatih dan didapati sesuai untuk vaksinasi Covid-19, dipantau di lokasi sekitar 30 minit selepas suntikan dan dalam keadaan baik.

“Dia juga sihat sepanjang lima hari setelah vaksinasi.

“Sebelum pengsan, remaja itu melakukan aktiviti angkat berat di gimnasium yang mana beban diangkat melebihi berat badan,” katanya dalam satu kenyataan.

Iklan

Sehubungan itu, kementerian merujuk bahawa diagnosis awal keadaannya adalah serangan jantung berlaku di luar hospital.

Ujian klinikal dan makmal sedang dijalankan untuk mengetahui punca.

Iklan

Ini termasuklah penelitian menyeluruh sama ada membabitkan miokarditis parah akut iaitu keradangan otot jantung teruk yang mempengaruhi fungsi jantung sebagai kemungkinan diagnosis.

Dalam pada itu, pihak kementerian juga akan bekerjasama dengan pasukan perubatan NUH untuk menentukan sama ada ia berkaitan dengan vaksinasi Covid-19.

Berikutan itu, Kementerian Kesihatan Singapura bersetuju dengan cadangan Jawatankuasa Pakar dan Berkuasa Sains Kesihatan (HSA) yang mana remaja dan belia tempatan berusia kurang 30 tahun dinasihatkan menghindari aktiviti fizikal dalam tempoh tujuh hari selepas menerima vaksin Covid-19 pertama atau kedua sebagai langkah pencegahan lanjut.

Foto: Freepik