Kronologi menyayat hati 3 beradik sehidup semati, maut renjatan elektrik tika harung air banjir
MUSIM tengkujuh yang melanda Pantai Timur semakin parah terutamanya di Terengganu dan Kelantan. Kisah wanita tiga beradik maut selepas terkena renjatan elektrik benar-benar menyentuh hati.
Tragedi renjatan elektrik di sebuah rumah yang ditenggelami air di Kampung Bendang Surau, Morak, Tumpat, Kelantan menjadi tumpuah warga maya. Apatah lagi apabila memikirkan keluarga mangsa yang terpaksa menerima tiga kehilangan sekali gus.
Mangsa, guru tadika Nurul Syazwani Mohd Nadzir, 33, Nurul Sakinah Mohd Nadzir, 29, bersama adik mereka Nurul Fatihah Mohd Nadzir, 27 pergi buat selama-lamanya di pekarangan sebuah rumah.
Berikut kronologi kejadian yang meragut nyawa:
1-Kejadian berlaku pada jam 12 tengah hari ketika salah seorang daripada mereka tergelincir dan terpegang tiang pada garaj di sebuah rumah.
2-Saksi kejadian yang juga jiran yang dikenali sebagai Nor, 50, berkata Nurul Syazwani telah memegang sebatang tiang sebelum jatuh ke dalam air banjir pada paras buku lali di hadapan rumah tersebut
3- "Melihat Nurul Syazwani terjatuh, dua lagi mangsa iaitu Nurul Fatihah, 27, dan Nurul Sakinah, 29, telah bergegas membantu kakak mereka dan dipercayai turut terkena renjata elektrik.
4-"Saya yang kebetulan berada berhampiran lokasi kejadian terus bergegas meminta bantuan penduduk kampung sebelum menghubungi bantuan kecemasan," katanya yang sempat bertegur sapa dengan ketiga-tiga mereka semasa mengharung air banjir di hadapan rumahnya.
5- Nor terkejut selepas melihat ketiga- tiga beradik itu rebah ke dalam air selepas salah seorang daripadanya memegang tiang garaj berhampiran rumah.
6-"Difahamkan, terdapat sambungan dawai yang pecah sekali gus menyebabkan ada aliran elektrik pada tiang garaj terbabit. Saya sangat sedih melihat mayat mereka bergelimpangan di hadapan mata,” kata Nor.
7- Ketiga-tiga mangsa dibawa ke Hospital Tumpat untuk proses bedah siasat dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Morak sebaik proses itu selesai.
Baca juga: Bermain dengan kakak di anjung rumah, bayi 15 bulan lemas banjir, 7 info kronologi kejadian
Guru yang berdedikasi
Lebih memilukan Alahyarham Nor Syazwani yang berkhidmat di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Kota Kubang Labu Tumpat adalag guru yang berdedikasi. Pemergiannya adalah kehilangan besar buat warga pendidik PASTI.
Pasti Malaysia melalui laman sosial Facebook merakamkan ucapan takziah keluarga,
“Pasti Malaysia mendoakan agar seluruh ahli keluarga Almarhumah dapat bersabar atas ujian ini. Semoga ALLAH SWT merahmati, mengampunkan dosa dan ditempatkan bersama para solihin,” katanya.
Takziah buat keluarga Allahyarham Nurul Syazwani, Sakinah dan Nor Fatihah Mohd Nadzir. Moga rohnya dicucuri rahmat.
Nurul Sakinah pula merupakan seorang guru di Tadika Al-Munir.
Baca juga: 2 beradik maut, adik direnjat elektrik ketika selamatkan abang, 13 info ibu-ibu perlu tahu
Bencana banjir meningkatkan risiko orang ramai kepada renjatan elektrik. SinarPlus kongsikan 17 tip mengelakkan ia berlaku pada musim bencana ini:
TIP KESELAMATAN ELEKTRIK SEWAKTU MUSIM BANJIR
Sebelum banjir
Sekiranya mempunyai masa sebelum diarah berpindah, pastikan perkara berikut dilakukan:
-MATIKAN bekalan masuk utama ke rumah di papan agihan dengan meletakkan suis utama pada kedudukan ‘OFF’.
-PASTIKAN semua suis dalam keadaan ‘OFF’ dan cabutkan palam kuasa daripada soket kuasa semua kelengkapan elektrik.
-SIMPAN kelengkapan elektrik di tempat yang tinggi dan selamat daripada ditenggelami atau terkena air banjir.
-LAPORKAN segera kepadaTNB jika air telah mula naik untuk pemantauan atau pemotongan bekalan elektrik bagi mencegah bahaya.
-PASTIKAN menyimpan nombor telefon untuk hal-hal kecemasan seperti nombor balai polis, bomba, hospital, pejabat TNB yang berdekatan, dan pastikan nombor tersebut mudah diakses semasa kecemasan.
Semasa banjir
- Bagi rumah yang menggunakan pintu pagar elektrik atau pam air elektrik, pastikan motor elektrik diletak di lokasi yang lebih tinggi bagi menggelakkan ianya ditenggelami air banjir.
-ELAKKAN berenang atau meredah air di kawasan yang mempunyai talian elektrik, kerana paras air yang tinggi akan menyebabkan talian tersebut mudah disentuh, terutamanya pada waktu malam di mana kadar penglihatan tidak begitu jelas.
Sekiranya paras air meningkat dan bersentuh dengan talian hidup tanpa pengetahuan anda, renjatan berlaku pada sesiapa yang berada dalam air.
-JAUHKAN diri daripada lokasi yang terdapat talian elektrik jatuh atau putus, bagi mengelak daripada renjatan elektrik akibat talian yang masih berarus elektrik.
-JANGAN menghampiri atau pegang tiang elektrik atau dawai umbang (stay wire) semasa banjir atau hujan kerana kemungkinan terdapat arus bocor.
-DILARANG menggunakan tiang elektrik dan dawai umbang sebagai tiang ampaian.
-JANGAN hampiri pepasangan elektrik seperti pencawang atau bilik suis elektrik yang ditenggelami air.
-JANGAN mengalih atau membaiki tiang elektrik tumbang atau talian elektrik putus atau jatuh ke tanah dan hendaklah laporkan segera kepada pihak pemegang lesen/utiliti (TNB) sekiranya terdapat kejadian tersebut.
-JANGAN menggendalikan peralatan elektrik atau memetik suis elektrik dengan tangan yang basah atau semasa berdiri dalam air.
-SEKIRANYA ternampak individu terkena renjatan elektrik akibat terkena talian elektrik, jangan sekali-kali menyentuhnya atau cuba membantu mengalihkan talian elektrik tersebut.
– AWASI anak-anak. Usah biarkan mereka bermain di dalam kawasan pencawang elektrik yang telah ditenggelami banjir atau berhampiran dengan tiang elektrik yang patah atau disekitar talian elektrik yang kendur atau jatuh di atas tanah.
Selepas banjir
– BERHATI-HATI apabila berada di kawasan banjir kerana kelengkapan elektrik dan pepasangan elektrik yang ditenggelami air berpotensi mendatangkan bahaya.
Ia boleh mengalirkan arus elektrik di kawasan persekitarannya dan boleh membawa kepada
kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda.
-JANGAN gunakan kelengkapan elektrik yang terendam di dalam air atau pastikan semuanya diperiksa dan berkeadaan kering sebelum menggunakannya.
-ELAKKAN mengguna kelengkapan elektrik yang diragui keselamatannya.
Sebelum menghidupkan suis utama, PERIKSA semua pendawaian rumah dan kelengkapan elektrik yang terdapat di dalam rumah.
Pemeriksaan ini hendaklah dilakukan oleh kontraktor elektrik yang bertauliah atau berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga.
Harap kita semua berhati-hati pada musim tengkujuh ini. Kecuaian boleh mengundang padah.
Baca juga: Renjatan elektrik kerap terjadi semasa banjir, lakukan 17 perkara ini
Sumber: Sinar Harian, Suruhanjaya Tenaga, Giat Mara Parit Sulong
Kredit foto utama: Bernama
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang