Nabil, Azad dan Radin mohon maaf isu video kontroversi

No Image Caption
A
A
A

TIGA penyampai radio Era bagi slot 3 Pagi Era, iaitu Nabil Ahmad, Azad Jazmin dan Radin, tampil memohon maaf secara terbuka berikutan video tular yang dikatakan mempersendakan tarian kavadi, satu elemen penting dalam upacara Thaipusam masyarakat Hindu.

Video yang dimuat naik di laman sosial rasmi Era itu memaparkan salah seorang penyampai melakukan tarian berkenaan sambil menyebut 'Vel Vel' disusuli dengan gelak tawa.

Tindakan tersebut mengundang reaksi kurang senang daripada pelbagai pihak, terutamanya masyarakat India beragama Hindu.

Menyedari kesilapan yang telah berlaku, ketiga-tiga penyampai itu segera tampil membuat permohonan maaf menerusi Instagram Era.

No Image Caption

"Salam sejahtera kepada semua sahabat kami yang sedang menonton 3 Pagi Era. Saya, Nabil Ahmad, Azad Jazmin dan Radin ingin memohon maaf kepada semua pihak berkaitan dengan video kami yang telah dimuat naik di laman sosial Era.

"Kami sedar bahawa aksi tersebut kurang menyenangkan dan telah menyinggung hati segelintir pihak serta sahabat kami berbangsa India," ujar Nabil.

Azad turut menegaskan bahawa mereka sentiasa terbuka menerima komen dan kritikan daripada pendengar setia dalam usaha memperbaiki diri.

"Sekali lagi, kami menyusun jari memohon maaf atas kesilapan yang dilakukan tanpa sedar," katanya.

Radin pula menambah, "Kami akui kesilapan ini dan berjanji perkara sebegini tidak akan berulang pada masa akan datang."

Pihak Era ambil tanggungjawab

Selain penyampai, pihak pengurusan tertinggi Era juga mengambil tanggungjawab penuh dengan memohon maaf kepada semua yang terkesan.

"Kami menyusun jari memohon maaf berkaitan dengan video yang dimuat naik baru-baru ini di platform media rasmi kami. Kami sedar bahawa aksi tersebut kurang menyenangkan dan mencetuskan perasaan kurang senang dalam kalangan sahabat berbangsa India, terutamanya yang beragama Hindu serta rakyat Malaysia secara amnya.

"Selepas ini, kami akan lebih peka dan memastikan insiden sebegini tidak berulang. Sekali lagi, kami mohon maaf di atas kekhilafan kami," menurut kenyataan yang dikeluarkan.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, turut mengesahkan bahawa pihaknya telah menerima aduan daripada pelbagai pihak dan telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menjalankan siasatan terperinci.

"Saya telah mengarahkan SKMM memanggil pihak Astro serta pengurusan stesen radio terbabit ke ibu pejabat SKMM bagi memberikan penjelasan penuh. Ini bertujuan untuk memastikan tindakan yang boleh diambil berdasarkan peraturan dan undang-undang sedia ada," katanya dalam satu kenyataan.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang