Lari 367km sebulan, berbasikal 1,300km seminggu, 'terlebih' bersukan lelaki hampir maut, perut terpaksa dibedah
AKTIVITI fizikal seperti berlari dan berbasikal bermanfaat untuk kesihatan. Kedua-duanya ialah senaman dalam bentuk aerobik yang boleh dilakukan di mana sahaja.
Pun begitu, senaman yang dilakukan secara keterlaluan boleh mendatangkan kemudaratan kepada tubuh.
Justeru, berpada-padalah dalam membuat sebarang aktiviti senaman, laksanakan ia mengikut keperluan tubuh dan kemampuan diri.
Berbicara mengenai senaman, baru-baru ini, seorang pengguna Facebook, Nazirul Anwar Rahmat berkongsi keadaan dirinya yang yang terpaksa menjalani pembedahan kerana masalah hernia yang semakin teruk susulan rutin senaman yang berlebihan.
“Throwback last run dan last ride sebelum operation Lepas ni cuti panjang, tiada sudah aktiviti pagi dan petang.
“Doktor sudah nasihatkan tiga hingga enam bulan jangan buat sebarang aktiviti lasak termasuk angkat berat dan bersukan.
“Ingat ya kawan-kawan, bersukan untuk kesihatan bukan kesakitan. Cukuplah sehari sekali atau seminggu lima kali buat aktiviti. Elok-elok sihat jadi sakit pun susah juga,” tulis Nazirul.
Dalam pada itu, Nazirul mengakui sudah mengalami hernia sebelum ini. Namun tabiat senam berlebihan dilakukannya memburukkan lagi keadaan.
“Baru-baru ni saya kena operation, buat saya sedar jangan over train. Penyakit saya bukan 100 peratus daripada bersukan, tetapi dia menjadi bertambah kronik disebabkan saya bersukan tak ingat dunia.
“Mentang-mentang anak bini jauh, duduk sorang-sorang, habis pagi petang dihentam. Sekarang menyusahkan anak bini sudah, bikin mereka risau sahaja.
“Dalam dua tiga bulan ni kerja gila saya pernah buat running 367km dalam masa sebulan.
“Cycling 1300km dalam masa seminggu. Bodohkan tuan puan? Macam mana tak sakit.
“Ramai yang tanya sakit apa? Macam mana boleh jadi? Tiba-tiba sakit, sampai di kecemasan doktor bilang kena operation (bedah) sebab ada risiko kematian. Uii tanjat boboi.
“Katanya indirect hernia, usus menekan dinding perut yang lemah. Jadi doktor tanya ada buat kerja berat? Tiada. Merokok? Tiada. Batuk kering? Tiada. Selalu angkat berat? Pun tiada.
“Tapi saya selalu amalkan set up, push up and tekan tubi setiap pagi dan petang. Dan saya kebiasaannya akan berbasikal waktu pagi dan berlari pada waktu petang.
“Ada kemungkinan cara saya yang berlebihan atau tidak betul mengakibatkan tekanan yang melampau kepada otot perut.
“So jalannya ialah operation, tolak balik lemak dan usus yang jatuh, tampalkan jaring dinding yang baru kemudian jahit semula,” kongsi Nazirul.
Nazirul pada awalnya berbasikal dan berlari untuk menurunkan berat badan sama sekali tidak menyangka obses menyertai virtual run memakan diri.
Beliau juga sempat berpesan kepada para penggemar dua aktiviti ini agar melakukannya dengan berpada-pada.
“Jangan keterlaluan melakukan sesuatu, bersederhanalah,” katanya kepada SinarPlus.
Menurut portal MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia, hernia berlaku apabila kandungan dalam satu-satu ruang badan (biasanya abdomen) membonjol keluar daripada kawasan yang biasa mereka berada.
Kebanyakan angin pasang berlaku pada bahagian perut tetapi ia juga boleh terjadi di bahagian paha dan pangkal dada.
Inguinal hernia tidak langsung (indirect) kerap terjadi kepada orang muda.
Sumber: FB Nazirul Anwar Rahmat, MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang