Meya hanya mampu mengesot, anak penjual donut ini derita penyakit jarang jumpa di dunia
Meya hanya mampu mengesot, anak penjual donut ini derita penyakit jarang jumpa di dunia
YAKIN dan percaya bahawa setiap ujian yang hadir akan diiringi dengan hikmah daripada-NYA, Siti Norzurain Fatima Ab Razak, 34, terus tabah menjaga anak bongsunya, yang menghidap sindrom Vacterl sejak dilahirkan.
Sindrom Vacterl yang berlaku satu dalam 10,000 hingga 40,000 kelahiran itu membuatkan penderitanya mengalami kecacatan pada tulang belakang dan beberapa ciri gangguan lain yang cukup kritikal.
Namun, apa yang pilu untuk dikongsikan, adik Siti Nur Jannah Humaira Ahmad Zainuddin turut berhadapan dengan tujuh komplikasi kesihatan yang lain.
Baca juga: Miliki 23 adik-beradik, hidup susah, Wawa Zainal menitiskan air mata imbas jatuh bangun hidup
Ia terdiri daripada masalah jantung berlubang, buah pinggang tidak normal, sumbing pada lelangit, paru-paru kecil, kecacatan pada tulang, saluran pernafasan dan pemakanan sempit serta ekzema.
Natijahnya, si kecil yang manja dipanggil Meya tidak mampu bergerak.
Kata Siti Norzurain, anaknya yang cuma memiliki berat 8 kilogram itu hanya mampu mengesot menggunakan kudrat tangan kerana kedua-dua kakinya sudah bengkok.
Dengan nada yang penuh beremosi, wanita itu berkata, tidak pernah terjangkau dek fikirannya bahawa puteri bongsu yang sangat dinanti-nantikan itu diuji dengan dugaan sebegitu berat.
“Sesungguhnya, saya menunggu zuriat ketiga dengan penuh rasa syukur dan gembira. Apatah lagi bila dapat tahu, bayi ini ialah perempuan yang sememangnya saya impikan selepas dua abangnya.
“Namun selepas selamat melahirkan Meya secara normal, saya tak sempat nak cium peluk Meya kerana dia terus dibawa ke Unit Rawatan Rapi Neonatal di sebuah hospital,“ katanya yang menetap di rumah pusaka di Perumahan Banjir Kuala Teh, Jerantut, Pahang.
Benak Siti Norzurain semakin tidak keruan apabila doktor memaklumkan Meya menghidap sindrom Vacterl iaitu salah satu penyakit jarang jumpa yang terdapat di dunia.
“Lagi sukar nak terima, mereka kata peratusan Meya untuk hidup 50 peratus sahaja,“ katanya dengan nada sedih.
Daripada semua jenis kekalutan yang ditempuh, Siti Norzurain berkata, beliau tidak dapat melupakan peristiwa yang berlaku ke atas anaknya ketika berusia dua bulan.
Baca ni Peroleh RM2.6 Juta sebulan, wanita 23 tahun ini bergelar jutawan dengan hanya kerja bersih rumah!
Saat itu, paru-paru Meya telah dijangkiti kuman sehingga menyebabkannya tidak mampu bernafas seperti biasa. Wajah anak syurga tersebut kebiruan lantaran kekurangan oksigen.
“Jangkitan itu membuatkan Meya terpaksa bergantung dengan mesin pernafasan 24 jam pada dos yang tinggi untuk tempoh beberapa bulan,“ katanya.
Masa yang silih berganti menyaksikan Meya menginjak usia lima tahun. Melihat keletah dan semangat si comel itu yang jelas kelihatan, membuatkan semangat Siti Norzurain membuak-buak.
“Apa yang membuatkan saya yakin, dengan izin-NYA, Meya sudah boleh bernafas seperti biasa dan saya anggap ia satu keajaiban paling hebat. Selain itu, jantungnya yang berlubang sudah tertutup sendiri, manakala paru-paru pula sudah berfungsi dengan baik.
Cuma Meya bergantung kepada satu buah pinggang iaitu sebelah kiri sahaja,“ katanya sambil memberitahu anak beliau juga mengalami masalah pertuturan.
Kini, ahli keluarga dengan penuh harapan sedang menunggu tarikh untuk pembedahan mencantumkan masalah sumbing pada lelangit si kecil itu.
“Sepatutnya prosedur berlangsung pada April tahun lalu, tetapi terpaksa ditunda disebabkan Meya dijangkiti wabak Covid-19,“ ujarnya yang tidak pasti sama ada penyakit Meya mempunyai kaitan dengan genetik keluarga.
JUAL DONUT
Dalam pada kami berbual, wanita itu berkata, beliau sangat mengharapkan Meya untuk memiliki kerusi roda khas untuknya demi memudahkan si kecil itu bergerak.
Bukan tiada keinginan untuk membeli peralatan penting tersebut, namun kekangan kewangan membataskan segala-galanya.
Masalah berkenaan semakin menghimpit apabila anak sulung beliau, Ahmad Adi Putra, 13, menderita penyakit jantung berlubang dan memiliki kelainan dua saluran darah pada paru-paru.
“Adi (panggilan manjanya) disahkan mengalami isu kesihatan tersebut selepas dilahirkan dan setakat ini, dia sudah menjalani dua pembedahan,“ kata beliau yang sudah menitiskan air mata.
Kesemua yang berlaku membuatkan suri hati kepada Ahmad Zainuddin Abdul Rahman, 48, buntu.
Ia semakin membebankan apabila mengenangkan suami turut mengalami sakit saraf dan hanya mampu membuat kerja pendawaian elektrik ringan sahaja.
“Upah juga kadang-kadang tidak menentu. Sebab itu, saya cuba bantu dengan menjual donut viral sebagai pendapatan sampingan. Sekurang-kurangnya lepaslah duit nak ke hospital,“ katanya yang bergantung kepada bantuan kerajaan secara bulanan.
Sehubungan itu, ujar Siti Norzurain, jika ada pihak yang sudi membantu meringankan beban keluarganya amatlah dialu-alukan.
“Anak-anak saya sangat memerlukan susu khas dan keperluan lain seperti ubat-ubatan,“ tuturnya,
Justeru kepada pembaca SinarPlus yang prihatin, sumbangan anda boleh disalurkan terus ke akaun Bank Islam 06055020344689 atas nama Siti Norazurain Fatima Ab Razak.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang