Mudahnya proses menerima vaksin, kurang dari 45 minit semuanya siap dah
FASA tiga Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang membabitkan vaksinasi terhadap 13.7 juta penduduk Malaysia berumur 18 tahun ke atas, sudah bermula di tujuh negeri dan wilayah.
Penulis antara jutaan penduduk di negara ini yang baru sahaja lengkap menerima dua dos vaksin di Setia City Convention Centre (SCCC), Shah Alam, Selangor.
Seperti yang tertera dalam MySejahtera, penulis perlu menuju ke HCO A untuk suntikan vaksin Covid-19 untuk dos pertama dan kedua.
HCO A, SCCC dikendalikan Kumpulan IHH Healtcare Malaysia dengan sejumlah tenaga kerja yang cekap, ramah, berdedikasi dan bersedia untuk menjawab segala pertanyaan dan keraguaan yang mungkin bermain di dalam minda anda.
Apa yang penulis dapat simpulkan, pengambilan vaksin dos pertama dan kedua berjalan dengan sangat lancar.
Oh! Sebelum terlupa, di HCO A, kesemuanya menerima vaksin jenis Sinovac.
Penulis mulakan kronologi cerita dengan perjalanan untuk dos pertama.
Secara keseluruhan hanya mengambil masa kira-kira 40 minit.
Untuk dos pertama, terdapat beberapa prosedur yang perlu dilakukan.
Selepas beratur di hadapan dewan yang dijaga oleh anggota Rela dan menjalani pemeriksaan suhu, petugas IHH akan meminta kita mengisi borang perakuan bersama butiran yang diperlukan seperti nama penuh, nombor kad pengenalan, jenis vaksin yang diterima dan menurunkan tandatangan tanda persetujuan.
Kepada anda yang lupa bawa pen, jangan risau, pen sudah 'ditambat' pada kerusi dan boleh digunakan.
Namun, nasihat penulis, bawalah pen sendiri ya.
Sekejap sahaja prosesnya, lebih kurang 10 minit, penulis diminta terus ke kaunter pendaftaran yang memerlukan orang ramai menunjukkan kad pengenalan masing-masing sebelum dipanggil untuk sesi konsultasi bersama doktor.
Okey, di sini 'part' yang menarik. Pada fasa dos pertama, terdapat seorang doktor yang akan memberi konsultansi kepada setiap penerima.
Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan, boleh diajukan terus kepadanya.
Misalnya, semasa penulis bersama beberapa penerima lain berada di meja sama, seorang lelaki menunjukkan jenis ubat yang dibawanya.
Beliau bertanyakan sama ada ubat itu boleh dimakan mengikut jadual rutinya.
Di situ, penulis melihat, doktor menerangkan kepadanya secara terperinci. Menarik bukan?
Selepas semuanya selesai, peserta akan terus dipanggil untuk menerima suntikan.
Di sini, penulis mahu remind kepada anda semua, pakai pakaian yang sesuai bagi memudahkan suntikan dibuat.
Sudah tiba masanya, penulis divaksin. Sebelum itu, doktor yang mahu menyuntik penulis menerangkan jenis vaksin dan menunjukkan botol vaksin itu sekali.
Beliau siap tunjuk jarum sekalilah. Penulis jenis yang berani, jadi tiada masalah dengan jarum. :)
Baca juga: Wah! 7 jenis vaksin di Malaysia, terbaru Sinopharm, Johnson & Johnson
Jika anda terpilih ke HCO A, jangan risau, doktor dan petugas-petugas di sini sangat ramah sehingga membuatkan anda rasa tak sedar bahawa proses vaksinasi sudah berakhir. Kurang dari 5 minit!
Kepada yang bertanya, adakah suntikan dilakukan secara terbuka yang mana semua orang tengok, di HCO A, SCCC, tidak.
Mereka mempunyai bilik khas dan hanya seorang penerima sahaja dibenarkan masuk dan berurusan dengan petugas IHH.
Kemudian, setelah mendapatkan suntikan, peserta akan diajak ke stesen terakhir.
Di sini, penulis dan semua yang lain diminta berehat. Sejumlah petugas yang ramai akan memantau 'prestasi' kita.
Jika semua okey, lebih kurang 15 minit, nombor giliran akan dipanggil dan petugas memberi kad khas yang memaklumkan tarikh untuk suntikan dos kedua.
Untuk suntikan pertama vaksin jenis Sinovac, alhamdulillah, penulis berasa sihat dan tidak ada simptom.
Pun demikian, penulis mengambil pendekatan berehat di rumah selepas divaksinasi dengan tidak keluar ke mana ataupun melakukan senaman.
Pada keesokan harinya, kehidupan berjalan seperti biasa.
PERJALANAN SUNTIKAN DOS KE-2
Sabtu lalu, pada jam 1 tengah hari penulis ke lokasi sama, HCO A, SCCC yang dikendalikan oleh IHH.
Jumlah penerima nampaknya terkawal dan tidak dilimpahi terlalu banyak orang.
Kali ini, proses vaksinasi lebih pantas kerana butiran kita sebelum ini telahpun direkodkan.
Penulis sampai tepat jam 1 tengah hari, masuk ke dewan yang berhawa dingin, dipanggil duduk oleh sukarelawan/petugas IHH untuk mengisi borang dan tidak sampai 5 minit dipanggil ke kaunter.
Baca juga: Tiada lagi isu tinggal di Pulau Pinang, janji temu vaksin di KL, klik saja MySejahtera
Di situ, para petugas akan bertanya, sama ada penulis terdapat simptom yang teruk tak semasa pengambilan dos pertama.
Apabila jawapannya tidak, penulis terus diajak untuk disuntik.
Oh ya, untuk suntikan kedua, penulis berterus terang yang tangan penulis berasa lenguh sedikit berbanding suntikan pertama.
Namun, jangan risau, dalam tempoh dua hari segalanya, okey. Tiada simptom yang menakutkan seperti sesak nafas atau demam, cuma itu sahaja.
Sebelum disuntik, sekali lagi petugas atau doktor akan memaklumkan jenis vaksin yang bakal disuntik dan kuantiti vaksin Sinovac itu.
Seperti biasa, kami diminta berehat sebentar sebelum dipanggil untuk mendapat sijil digital.
Ya, penulis sudah ada sijil digital yang tertera pada MySejahtera dalam tempoh 24 jam selepas suntikan.
Itu menunjukkan penulis sudah lengkap mempunyai dua dos seperti yang disarankan oleh kerajaan. Alhamdulillah.
Kepada petugas IHH, terima kasih kepada anda kerana memastikan kelancaran proses vaksinasi di HCO A, SCCC. Terima kasih juga kepada petugas Rela yang mengawal kelancaran kenderaan.
Jangan risau tentang parking, insya-ALLAH memang cukup!
Jadinya, kepada anda yang mungkin ada rasa takut ataupun malas mahu dapatkan vaksin, buang sikap itu jauh-jauh.
Pertama, proses vaksinasi tak lama mana, para petugas semua baik-baik belaka dan yang penting vaksin menguatkan lagi imuniti badan anda.
Eh, sebelum meninggalkan PPV jangan lupa mengambil gambar di booth yang telah disediakan ya. Boleh simpan sebagai tanda kenang-kenangan nanti.
Dalam pada itu, memetik kenyataan media IHH, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jean-Francois Naa berkata, IHH akan meneruskan sokongan kepada Program Imunisasi Kebangsaan yang dilaksanakan kerajaan dengan menyediakan Hospital Gleneagles, Hospital Pantai dan Hospital Princecourt Medical Centre sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
Ujar Jean-Francois, setiap hospital yang dipilih akan menjalankan pengubahsuaian terhadap salah satu fasilitinya untuk menjadi pusat vaksinasi untuk mengurangkan jangkitan Covid-19.
"Kami amat berbangga untuk menerima tanggungjawab daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk Program Imunisasi Kebangsaan dan kami berhasrat untuk membantu dalam apa cara yang kami mampu lakukan untuk berkhidmat kepada masyarakat bagi menangani pandemik ini dan memutuskan rantaian Covid-19," katanya.
Sebagai tambahan, IHH juga menjadi sebahagian daripada pusat PPV mega KKM di Selangor dan Kuala Lumpur berkuat kuasa 1 Jun lalu untuk mempercepatkan lagi proses vaksinasi.
Semua PPV di bawah kendalian hospital-hospital IHH akan beroperasi dari Isnin hingga Jumaat dari pukul 9 pagi hingga 5 petang dan semua temu janji adalah berdasarkan aplikasi MySejahtera.
Selamat menerima suntikan vaksin buat anda semua!
#lindungidirilindungisemua
#kitalaluibersama
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang