Mulia hati wanita ini! Sediakan 'pondok sedekah' keperluan dapur percuma buat keluarga kurang mampu

A
A
A

MULIA hatinya! Seorang wanita tampil mengambil inisiatif menghulurkan barangan keperluan percuma kepada golongan memerlukan sejak seminggu lalu.

Ya itu yang berlaku di Kuala Nerus, Terengganu. Wanita yang juga peniaga kedai makan, Haslinda Wahab, 40, itu sebelum ini merupakan asnaf dan penerima zakat.

Katanya, inisiatif membuka Pondok Sedekah itu adalah sebagai tanda kesyukuran selepas dia berjaya keluar daripada kepompong kemiskinan berkat bantuan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Saya pernah merasai kesusahan kehidupan sewaktu bergelar ibu tunggal selama 13 tahun sehingga menerima zakat dan bantuan daripada Maidam dan JKM.

"Kehidupan saya mula be­rubah apabila membuka kedai makan dengan pinjaman dari Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM). Selepas itu, rezeki saya terus murah apabila bertemu jodoh dengan suami pada tiga tahun lalu,” katanya ketika ditemui di Pengkalan Maras di sini semalam.

Ujar Haslinda, dia menyediakan barangan keperluan seperti beras lima kilogram, minuman coklat, kicap, minyak, biskut, mi segera dan susu formula bayi di pondok sedekah bersebelahan premis perniagaannya di Pengkalan Maras.

"Susu bayi yang saya sediakan di sini dari jenama Dutch Lady yang biasa digunakan oleh ibu-ibu. Ramai juga yang datang untuk dapatkan susu anak.

Baca juga Berkat rezeki Tiara Candy, Achey beli MPV jadikan van jenazah, wakaf percuma untuk golongan memerlukan

"Tetapi, paling ramai datang nak dapatkan beras. Ramai mengadu sangat terkesan dengan kenaikan harga beras. Bayangkan yang 5kg dari belasan ringgit naik sehingga RM20 ke atas. Yang kampit 10kg pula harganya kini lebih RM40 mencecah RM50.

"Kalau keluarga anak ramai sekampit beras tu tahan dalam dua tiga hari sahaja. Biasanya mereka yang datang ambil barangan ini kita akan tanya dulu untuk pastikan penerima adalah mereka yang benar-benar memerlukan," katanya.

Ibu kepada empat anak itu berkata, kesemua barangan keperluan tersebut boleh diambil secara percuma oleh golongan memerlukan.

Dalam pada itu, Haslinda turut mendedahkan pelbagai ujian dilalui orang ramai ketika ini di mana dia sendiri tidak menyangka ada yang seminggu terputus bekalan beras di rumah.

"Saya tak sangka ramai yang datang ke sini sebab rumah tiada beras. Ada yang minta izin ambil beras sebab sudah tiga hari terputus bekalan makanan itu.

Baca juga Jangan terlalu lokek, tak kurang sedikit pun harta kita kalau bersedekah atau berwakaf

Gambar fail.

"Ada juga yang telah seminggu rumahnya tiada beras. Kalau mampu beli pun beras siap bungkus sikit-sikit dari kedai runcit seberat 1 kilogram (kg) untuk sekali masak.

"Kebanyakan mereka yang berdepan situasi ini mempunyai ahli keluarga yang ramai mungkin lebih dari lima orang anak.

"Saya bersyukur sebab saya kini mampu membantu untuk meringankan bebanan mereka yang susah. Saya nekad untuk tidak berhenti dan doakan saya dapat teruskan sumbangan ini," ujarnya.

Haslinda memberitahu, terdapat juga insan pemurah yang ingin turut sama menyumbang dengan menyalurkan wang ringgit bagi membeli barangan yang akan diagihkan di pondok itu.

Alhamdulillah! Moga lebih ramai insan mulia seperti wanita ini tampil sama-sama membantu mereka yang memerlukan.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca