Pemuda jual sebiji durian RM500 terkejut, Menteri Saravanan sanggup beli

A
A
A

DURIAN lazimnya gugur apabila sudah matang dan masak.

Bercakap mengenai durian gugur lain pula kisah yang berlaku terhadap seorang pemuda.

Beliau sama sekali tidak menyangka buah berduri itu gugur lalu menyebabkan cermin belakang keretanya pecah.

Justeru, bagi menampung kos membaiki lelaki terbabit dikatakan berhasrat menjual durian kampung tersebut pada harga RM500 sebiji.

Bagaimanapun, apa yang mengejutkan durian harga ‘kayangan’ itu mendapat tempahan daripada Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.

Menerusi hantaran di Facebook, individu dikenali Wan Mahussin Wan Zain memuatnaik beberapa tangkap layar perbualannya bersama menteri terbabit menerusi aplikasi WhatsApp.

Saravanan dikatakan berminat untuk membeli raja buah yang dijualnya.

“Terkejut tiba-tiba dapat panggilan daripada nombor yang tidak dikenali katanya hendak beli durian viral atas cermin kereta saya.

“Saya jawab yang saya sudah makan dan tanya tuan daripada mana?

“Beliau jawab daripada kerajaan, terkejut jugak, bila disemak rupa-rupanya YB Datuk Seri M. Saravanan Murugan, Menteri Sumber Manusia.

“Beliau minta nombor akaun dan sumbang untuk menampung kos. Rezeki saya hari ini,” tulisnya.

Difahamkan, Wan Mahussin sebelum ini pernah berkongsi sebuah video di group ‘Berkebun D Rumah’ di media sosial bagi menjelaskan bahawa durian itu ‘mahal’ kerana ia tidak jatuh di atas tanah.

Baca juga Wanita Kongsi Tip Kurier Buah Durian, Kos Murah, Cara-Caranya…

Video berkenaan bagaimanapun menjadi tular.

Terdahulu, sebiji durian dipercayai telah gugur dan menghempap cermin belakang kereta jenis Nissan Almera milik Wan Mahussin.

Rata-rata warganet berkongsi pelbagai reaksi pada kejadian tersebut.

Ada yang mengusik mencadangkan lelaki berkenaan membuat tuntutan insurans.

Susulan tularnya video berkenaan, Saravanan bermurah hati membantu walaupun durian itu telah dinikmati Wan Mahussin.

Bukan itu sahaja, bagaikan durian runtuh yang mana dalam hantaran terbaru, lelaki itu turut mendapat tawaran mempromosi satu jenama makanan berasaskan durian.

“ALLAHUAKBAR. Memang betul rezekinya jika kita bersangka baik dengan ALLAH. ALLAH nak ganti rezeki saya dengan ujian cermin kereta pecah.

“Menteri bantu dan semalam saya ditawarkan menjadi salah satu influencer #DurianMochi. Mohon doa semuanya,” katanya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca